Sunday, January 2, 2011

Dekorasi Krismas mesej hijau




FANTASI kanak-kanak sering mengaitkan Hari Natal dengan hadiah yang dihajat setelah bangkit daripada lena. Ada antara kejutannya diperoleh daripada dalam stoking yang digantung berhadapan dengan cerobong asap dan ada pula hadiah itu letaknya di bawah pohon krismas yang dihias cantik demi sambutan perayaan itu.

Namun, itu semua cuma muncul dalam dunia penuh imaginasi kanak-kanak lantaran pengaruh cerita kartun.

Penceritaan demi penceritaan diolah dan berubah-ubah sehingga ada yang menjadikan dekorasi perayaan yang disambut penganut agama Kristian itu sebagai hiasan sesetengah syarikat untuk menarik pengunjung bertandang ke premis-premis masing-masing.

Tidak ketinggalan, Genting Malaysia Berhad (Genting) turut mengorak inisiatif mereka hiasan sempena sambutan Hari Natal tahun ini menggunakan bahan-bahan terpakai.

Bahan-bahan terpakai

Menurut Timbalan Presiden Pemasaran Genting, Chow Wei Heng, keunikan hiasan tahun ini terletak pada material yang digunakan untuk mendirikan binaan dan bahan-bahan yang menghiasi keseluruhan dekorasi berdasarkan konsep yang disasarkan.

“Kita menggunakan bahan-bahan terpakai yang diperoleh dari Pusat Peranginan Genting Highlands itu seperti botol plastik bersama penutupnya, pakaian terpakai, butang, tin-tin kosong, cakera padat dan kertas,” ujarnya ketika sidang media bersama penaja di Tamarind Hill baru-baru ini.


ORANG ramai boleh menyaksikan dekorasi Hari Natal di World Resort Genting.


Projek itu dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial pihaknya untuk menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar yang kian tercemar.

“Selain itu, kita ingin menyedarkan orang ramai betapa pentingnya sikap kitar semula bahan-bahan terpakai yang akan memberi keuntungan kepada semua pihak dalam semua aspek.

“Kami juga melihat dekorasi ini menarik lebih ramai pelancong dari luar negara untuk datang ke lokasi percutian itu berikutan keunikan dan eksklusifnya hiasan yang ditampilkan kali ini,” tambahnya.

Peringkat penyediaannya melibatkan proses pengumpulan bahan-bahan mentah oleh kakitangannya yang digiatkan di sekitar kawasan tanah tinggi Genting dan Lembah Klang.

Setelah kesemua bahan yang diperoleh dikumpulkan, pengasingan mengikut jenis material, warna, bentuk dan saiz dijalankan.

Peringkat pengasingan itu mengambil masa selama lebih 207 jam untuk disiapkan sebelum proses membersihkan setiap cela pada bahan buangan terpakai tersebut dilaksanakan.

“Ini adalah proses yang rumit kerana kita memerlukan ramai tenaga kerja untuk membersihkan kotoran yang melekat pada bahan-bahan tersebut,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Kesemua proses itu memakan masa selama setengah tahun bermula dari bulan Jun tahun ini sehinggalah siap dibina sepenuhnya pada 1 Disember lalu.

“Prototaip keseluruhan dekorasi terutamanya pokok krismas gergasi siap sepenuhnya pada bulan Ogos lalu dan peringkat pengumpulan bahan selesai menjelang penghujung September lalu,” singkapnya.


Dekorasi yang menggunakan penutup botol pelbagai warna menghiasi taman tema Genting Highlands.


Proses memasang siap diteruskan setelah semua bahan-bahan terpakai itu dibersihkan dan disterilkan.

Peringkat paling sukar

Kemudian, pemasangan percubaan selama dua minggu selepas tamatnya peringkat pembersihan berjalan sehinggalah dekorasi sebenar diabadikan di taman percutian keluarga, Genting Highlands.

“Keempat-empat peringkat ini sememangnya memerlukan ketekunan yang teliti untuk menjamin kepuasan dalam hiasan yang dihasilkan.

“Namun, peringkat yang paling sukar adalah ketika memasang siap pokok krismas utama yang berispirasikan botol plastik bersalut mentol setinggi 14 meter dan 12 batang pokok krismas lain setinggi tiga meter di sekitar tanah tinggi tersebut,” kongsinya.

Menurut beliau, pemasangan pokok-pokok terbabit kian sukar apabila ribut angin sejuk sering melanda kawasan terbuka taman tema itu.

Tambahan pula, helikopter tidak boleh digunakan untuk mengangkut hiasan-hiasan bersaiz gergasi kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan pengunjung dan pekerja.

“Maka, setiap peringkat dan proses menggunakan kepakaran manusia secara manual dengan bantuan jentera yang amat minimum,” luah Wei Heng.

Kerjasama yang bermula sejak tujuh tahun lalu bersama pengeluar jenama lampu berkualiti, Panasonic Malaysia mencambahkan bibit-bibit kejayaan penghasilan dekorasi unik ini.


PERINGKAT penghasilan rangka asas pokok krismas gergasi setinggi 14 meter yang dibuat berdasarkan prototaip yang direka.


Selain menyumbangkan kelengkapan elektrik yang diperlukan, Panasonic yang diwakili oleh Pengurus Kewangannya, Yanly Choo turut menyokong dari segi kewangan.

Hasilnya, dekorasi indah yang dihiasi 1,412 kerdipan lampu PLC menghiasi dekorasi yang dihasilkan oleh jurutera syarikat Genting.

Menurut Yanly, usaha sama syarikatnya dengan Genting dilihat sebagai satu prospek untuk membangunkan produk dan sumbangan sosial kepada masyarakat.

“Hasil yang dicetuskan oleh Genting amat menakjubkan dan ini adalah satu peluang untuk semua pihak meneroka dan berkongsi idea untuk menghadiahkan sesuatu yang bernilai kepada masyarakat selain memulihara kesejahteraan alam sekitar,” getusnya.

Syarikat pengeluar air mineral Spritzer turut berganding bahu merealisasikan hajat pusat peranginan tanah tinggi tersebut. Diwakili oleh Penolong Pengurus Jenamanya, Elaine Ho, Spritzer menyahut seruan memastikan projek kitar semula bahan-bahan terpakai ini dilestarikan pada masa akan datang.

“Selepas tamatnya musim perayaan Krismas ini, semua barangan dekorasi akan dikitar semula atau disimpan untuk digunakan dalam sambutan perayaan lain tahun hadapan,” getusnya menyimpul bicara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...