Sunday, January 2, 2011

Melayu pun kena tutup aurat

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 31 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu juga mesti menutup aurat di dalam kawasan surau atau masjid.

Beliau menyatakan demikian ekoran isu yang ditimbulkan media mutakhir ini berhubung senamrobik yang dilakukan masyarakat bukan Melayu di kawasan berkenaan.

“Usahkan di dalam kawasan masjid, di dalam masjid pun tidak apa, termasuklah juga pembelajaran dan persoalan perlantikan ketua negara dan ketua perang serta urusan sakit demam. Semuanya dilaksanakan dalam masjid seperti yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Namun dari segi aurat, mestilah dijaga. Usahkan orang Cina, orang Melayu sendiri mesti menutup aurat. Tinggal lagi hendaklah ditegur orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna itu,” katanya kepada media pada kuliah mingguan di sini, hari ini.

Mengulas komitmen sesetengah masyarakat Cina terhadap rumah ibadah, beliau berkata walau pun kaum Cina, Orang Asli atau warga Afrika yang hitam, namun apabila mereka itu muslim dan muttaqin, maka adalah layak dilantik menjadi imam sembahyang.

“Ini kerana hina atau tidaknya manusia itu bukan terletak kepada tubuhnya tetapi adalah terletak kepada taqwanya.

“Walau pun dia hamba, tetapi apabila dia diangkat menjadi ketua (termasuk imam sembahyang) maka mesti diikuti.

“Oleh demikian, di Kelantan sendiri, saya sudah membina masjid di Rantau Panjang. Saya meminta orang Cina menjadi imam sembahyang dan saya menjadi makmum pada bulan Ramadhan yang lalu,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30118:melayu-pun-kena-tutup-aurat&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...