Sunday, January 2, 2011

Bandar baru sepi

MELAKA: Kewujudan Bandar Baru Sungai Udang, dekat sini, yang diharapkan membangun dengan pesat, sekali gus menjadi pusat tumpuan utama penduduk berikutan aktiviti perniagaan di kawasan itu sejak setahun lalu, nyata tidak kesampaian apabila ia mula menjadi bandar sepi.

Kesuraman kawasan bandar baru itu menjadi saksi pelbagai keluhan yang diluahkan kira-kira 30 peniaga selepas perniagaan yang diharapkan mampu memberi keuntungan mula menjadi bebanan kepada mereka.


Peniaga butik pakaian, Hassan Mohd Yusof, 43, berkata dia berasa tertekan melihat perkembangan kawasan persekitaran bandar baru itu kerana kurang mendapat tumpuan penduduk berhampiran, sekali gus menjejaskan pendapatannya.

“Pada mulanya saya menyewa satu lot di bahagian bawah rumah kedai di bandar baru ini bagi membuka butik pakaian meskipun kos sewaan ditetapkan tinggi, iaitu di antara RM1,500 ke RM1,600 untuk setiap satu lot.


“Saya menjangka perniagaan ini akan berjalan lancar memandangkan ia kawasan bandar baru dan bakal dipenuhi pelbagai kemudahan lain seperti perhentian bas dan juga institusi kewangan, sekali gus pasti mampu menarik pengunjung untuk datang ke kawasan ini.


“Namun selepas beberapa bulan, saya mendapati perniagaan di sini semakin membimbangkan kerana sukar mendapatkan pelanggan mahupun pulangan modal sehingga terpaksa menyewaka sebahagian lot kepada peniaga lain disebabkan tiada kemampuan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kos sewaan di kawasan itu didakwa jauh lebih mahal berbanding di bandar Melaka, malah turut berdepan kesukaran mendapatkan pelanggan meskipun kawasan ini baru dibangunkan kerana ketiadaan kemudahan infrastruktur seperti dijanjikan.


“Sebelum kami mula menyewa di sini, pihak pemaju meletakkan papan pelan kedudukan dan kemudahan yang ada di kawasan ini. Mereka memaklumkan kawasan ini bakal didirikan perhentian bas dan bank untuk kemudahan penduduk.

“Namun, selepas setahun menunggu kami tidak melihat pembinaan kemudahan yang dinyatakan sebelum ini. Kawasan bandar baru ini sudah setahun dibangunkan, namun seperti separuh mati dan kelihatan kosong hampir setiap hari,” katanya.


Peniaga barangan perhiasan, Syed Abdullah Syed Hussein, 59, berkata dia tertarik untuk membeli lot kedai berkenaan disebabkan pelan pembangunan di kawasan terbabit dilihat sangat terancang dan menjanjikan pulangan lebih baik.


“Sewaktu membelinya, saya percaya ia mampu menjadi kawasan tumpuan pengunjung dan penduduk sekitar daripada kalangan anggota tentera dan juga berdepan kawasan penjara baru (Sungai Udang).


“Sebelum ini, kami bersemangat untuk berniaga di kawasan ini dengan harapan ingin membuka lebih masa sehingga jam 9 malam seperti pasar raya di sini, tetapi selepas beberapa bulan mendapati ia tidak boleh diteruskan memandangkan kawasan ini sunyi sepi menjelang jam 6 petang,” katanya.


“Ada antara kami tidak berani mengambil risiko untuk terus berniaga hingga malam kerana bimbangkan keselamatan di kawasan sunyi seperti ini,” katanya.


Katanya, sebelum ini ada pihak memaklumkan kepada mereka, pemaju menghantar permohonan untuk mendapatkan kemudahan melalui pelan pembinaan perhentian bas di kawasan ini, tetapi ditolak oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).


“Kami pernah menghubungi pihak pemaju untuk meminta penjelasan dan mereka memberitahu sudah membuat permohonan bagi projek pembinaan perhentian bas, tetapi ditolak.


“Keadaan itu menyebabkan kami menjadi buntu apabila memikirkan perkara ini memandangkan sehingga kini 10 peniaga berpindah ke tempat lain.


“Malah, kebanyakan deretan lot kedai di kawasan ini juga sebenarnya dipenuhi peniaga lain, namun mereka menunda tarikh untuk membuka kedai kerana bimbang mengalami kerugian lebih besar,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha MBMB, Azmi Hussain berkata, pihaknya bukan menolak pelan pembinaan perhentian bas berkenaan tetapi berhasrat ingin melaksanakannya sendiri untuk kemudahan orang awam.


“Kami sedia maklum dengan permohonan (pembinaan perhentian bas) terbabit, dan memaklumkan kepada pemaju bahawa pembinaan terminal akan dilaksanakan oleh MBMB.


“Kami berharap peniaga bersabar dan menunggu penyelesaian yang dilakukan berikutan akan mengadakan mesyuarat bersama pihak pemaju bagi membincangkan projek pembinaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bandarbarusepi/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...