Monday, February 28, 2011

Amah haram jadi pilihan

MAKKAH: Permintaan terhadap pembantu rumah haram dari Indonesia meningkat dengan ketara selepas pengambilan pekerja dari negara itu digantung baru-baru ini.

Penduduk tempatan dipercayai berurusan dengan beberapa wanita Indonesia yang aktif bertindak sebagai orang tengah dengan mengeksploitasi keadaan berkenaan.


Menurut sumber, mana-mana majikan yang ingin mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia terpaksa membayar gaji bulanan sebanyak RM1,220, selain RM400 kepada ejen haram.

Katanya, sebelum ini, kadar gaji bulanan untuk pembantu rumah warga Indonesia hanya di antara RM733 dan RM815, manakala upah ejen tidak lebih daripada RM165.


“Permintaan terhadap pembantu rumah itu lebih meningkat ketika Ramadan dan musim haji,” katanya.


Kerajaan membekukan pengambilan pekerja Indonesia sejak 14 Februari lalu dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Arab Saudi menasihati ejen pekerja asing tidak memproses visa untuk mereka.

Antara lain, keputusan itu dibuat kerana Persekutuan Buruh Indonesia gagal mematuhi syarat dan peraturan dipersetujui dengan pihak Arab Saudi sebelum ini.


Sumber berkata, sesetengah wanita Indonesia yang tinggal di Makkah menawarkan pembantu rumah untuk disewa dengan syarat tertentu.

Kegiatan itu dikesan selepas pihak berkuasa menyerbu kawasan penempatan di al-Oteibiya baru-baru ini.


Pegawai Jabatan Pasport Arab Saudi berkata, 33 pendatang tanpa izin, termasuk dari India dan Indonesia, ditahan.


“Seorang daripada wanita itu mengaku menjadi orang tengah membekalkan pembantu rumah Indonesia kepada penduduk tempatan,” katanya.
- AN


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahharamjadipilihan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...