Monday, February 28, 2011

Kerdau: Bukan semua mahu pembangunan

Kerdau: Bukan semua mahu pembangunan
Jimadie Shah Othman
Feb 28, 11
4:53pm

Walaupun ramai beranggapan kawasan luar bandar di Kerdau, terutamanya di tiga kawasan Felda dan sebuah Felcra di DUN itu memerlukan lebih pembangunan, perkara itu rupa-rupanya tidak mewakili semua hasrat penduduknya.

Masih terdapat penduduknya, terutama di kawasan 3+1 - gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur – yang mahukan ilmu dan lebih bimbingan agama berbanding kemudahan material.

NONE“Macam pembangunan itu rasanya tak perlu sangat. Kami peneroka, ilmu itu kurang,” kata Rokiah Lob – peneroka selama 14 tahun di Felda Jengka 22 – dalam nada mengeluh.

Rokiah, 47, yang pada mulanya malu diwawancara memberitahu Malaysiakini, beliau kecewa kerana sejak awal berpindah ke situ – 65 kilometer daripada Temerloh – tiada ustaz yang masuk dan menyentuh tentang masalah akidah umat Islam.

“Memanglah ada bab agama (diajar di masjid), tetapi bab fadhilat (kelebihan amalan) itu, fadhilat ini. Kita nak akidah. Itu yang penting,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Cik Kiah.

Antara pengalaman sedihnya, cerita Cik Kiah lagi, apabila hendak berangkat menunaikan haji ke Mekah sebelum ini, beliau mendapat berita yang menggambarkan betapa buruknya “masalah sosial” di kawasan itu.

“Ya Allah, masalah sosial ini, ingat lagi masa pergi haji baru-baru ini, ada budak datang, (beritahu) 'Cik Kiah, Cik Kiah tahu, ada tiga orang bersalin anak luar nikah...'

“Tak dan ambil SPM pun. Salah seorang itu memang cerdik budaknya,” kata Rokiah lagi.

Tolak pi, tolak mai


NONEDitanya sama ada beliau yakin calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad sesuai dipilih bagi menyelesaikan masalah itu kerana mempunyai latar pendidikan agama, Rokiah menjawab ringkas:

“Kalau ustaz pun, kalau dia tak nak didik bab agama dulu, tak pentingkan agama dulu, rasanya sama saja.”

Dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac ini, Syed Ibrahim dicabar calon PAS Hassanuddin Salim – seorang bekas kontraktor untuk projek berskala besar.

Sementara itu, bagi tiga lagi peneroka Abd Hamid Mohd Zin, Abd Hamid Shafie dan Saifudin Ibrahim, isu sekitar kebajikan Felda nampaknya lebih penting kepada mereka berbanding siapa pun calon bertanding.

NONEAbd Hamid Mohd Zin, 58, sepanjang wawancara ringkas dengan Malaysiakini asyik ketawa bila ditanyakan soal calon pilihan hatinya.

“Calon macam mana? Macam biasalah. (ketawa) Kita tengoklah yang mana yang baik,yang mana yang tak baik,” katanya di atas motosikal ketika sampai ke kedai runcit berdekatan rumahnya.

Tetapi, selepas 31 tahun berhijrah daripada Kedah untuk menjadi peneroka di Pahang, bayaran RM1,500 untuk penduduk Felda yang ladangnya diuruskan oleh lembaga itu tidak memuaskan hatinya.

“Bayar sikit sangat. Dia bayar RM1,500. Tolak pi, tolak mai, tak banyaklah,” katanya yang masih pekat dengan loghat negeri kelahirannya.

Akhirnya PM pun umum...


NONERakan sebayanya Abd Hamid Shafie – yang kebetulan mempunyai nama dan umur sama- pula nampaknya gembira dengan perkembangan di Felda, khususnya selepas kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi semalam.

“Dalam pilihan raya umum dulu, kita sudah minta CESS, Alhamdulillah Datuk Najib dah umum terus boleh. Daripada (zaman) arwah Datuk Zaharuddin (Abu Kassim) meninggal kami minta. Akhirnya PM pun umum,” katanya.

Berterus terang mahu terus mengundi calon BN kali ini, beliau berkata isu lain yang menjadi perbualan di kalangan peneroka meliputi soal bayaran bagi tanah yang diusahakan Felda dan isu pertukaran nama di geran apabila pemiliknya meninggal dunia.

“Saya ada tanya, katanya tengah dok proses geran. Dok ada 50 orang lagi (di sini) belum selesai masalah hak milik bila suami meningggal,” katanya.

NONESementara bagi anak muda berumur 28 tahun, yang memilih bekerja sebagai peneroka, membuat pilihan antara kedua-dua calon bertanding nampaknya masih sukar.

Tetapi, bagi Saifudin Ibrahim, sebagai generasi kedua, beliau mahukan diberikan tanah kepada kira-kira 300 orang muda sepertinya di Felda tersebut.

“Bukan dapat pun tanah, janji nak buat,” kata lelaki pendiam itu yang sedang berehat di bawah teduh pokok tengah hari semalam.

Banyak tidak OK

Bagaimanapun, penilaiaan Saifudin jelas apabila beranggapan prestasi wakil rakyat daripada BN sebelum-sebelum ini tidak memuaskan.

azlan“Banyak buat teruk, ambil tanah. Nak dapat bukan senang, payah,” katanya yang berkata menuggu sejak pilihan raya umum pada tahun 2008 dahulu.

Beliau juga berpendapat, walaupun banyak projek memasuki kawasan itu akhir-akhir ini, masih banyak yang “tidak OK”.

“Banyak tak OK. Kawasan ini banyak tak OK. (Gelanggang) futsal itu mana buat. Dekat pilihan raya saja buat. Baru-bari ini nak buat dewan serbaguna, (tapi) belum siap lagi,” katanya lagi.

Pertembungan di kawasan 3+1 itu amat penting kali ini bagi menilai sama ada undi orang Melayu masih kekal bersama BN.

Dengan pengundi seramai 3,721 orang di empat kawasan itu, ia amat penting untuk kedua-dua parti bertanding kerana mewakili satu pertiga daripada keseluruhan 8,999 pengundi yang layak.


http://malaysiakini.com/news/157305

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...