shamsulmunir@hmetro.com.my
RAWAT...mangsa kini dirawat di wad kecemasan dan dilaporkan stabil.
KUALA LUMPUR: Seorang isteri beranak enam patah pinggang, bengkak di mata kanan dan cedera di dada akibat dibelasah suaminya yang tiba-tiba naik berang selepas mangsa enggan memberi wang, pagi semalam.
Mangsa, Norlela Hussin, 36, dan bekerja sebagai tukang cuci pejabat di sebuah syarikat swasta dipukul dengan besi serta disepak terajang di depan dua anaknya di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Taman Melati, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.
Suami mangsa yang tidak bekerja dan dipercayai penagih dadah sudah banyak kali memukul mangsa jika tidak diberi wang untuk membeli dadah.
Mangsa yang sudah 17 tahun berkahwin dengan suaminya yang berusia 39 tahun dikurniakan enam anak berusia empat hingga 17 tahun.
Abang mangsa yang datang ke rumah mangsa kira-kira jam 7 malam terkejut apabila mendapati adiknya tidak mampu berdiri dan hanya berbaring di atas lantai serta cedera di seluruh badan.
Berikutan itu, dia meminta izin suami mangsa yang berada di rumah untuk membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
Abang mangsa, Zakaria Hussin, 60-an, berkata, pasangan suami isteri itu pernah bergaduh, tetapi kejadian hari ini (semalam) paling teruk.
“Dalam pergaduhan sebelum ini, adik saya enggan membuat laporan polis kerana terlalu sayangkan suaminya itu tambahan pula memikirkan nasib enam anak mereka sekiranya bercerai.
“Tetapi kali ini, laporan polis akan dibuat,” katanya.
Katanya, adiknya kini dirawat di wad kecemasan dan dilaporkan berada dalam stabil.
Difahamkan, suami mangsa adik seorang penyanyi, pengacara, pelakon dan model yang pernah merakamkan album dan berlakon beberapa drama serta menjadi model syampu jenama terkenal.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dibelasahsuamidepan2anak/Article/index_html
No comments:
Post a Comment