Friday, February 18, 2011

Ghanouci yang cadang PAS terima bukan Islam

Subky Latif

SELAMA 22 tahun Rachid Ghanouci menjadi pelarian Tunisia yang berkelana di England. Selepas lebih seminggu Presiden Zaine al Abidene Ben Ali digulingkan oleh tunjuk perasaan rakyat Tunisia, pemimpin gerakan Islam, Annahdah ini pun pulang ke tanahairnya.

Beribu-ribu penyokongnya menyambut kepulangannya, antaranya gadis-gadis yang tidak pernah melihat wajahnya, mereka sekadar mendengar namanya. Malah ada yang lahir setelah Syeih Rachid (Rasyid) lari meninggalkan negaranya.

Mereka berdahuluan datang ke lapangan terbang untuk menyambutnya dan mereka amat gembira dapat melihat wajah pemimpin itu buat pertama kali.

Parti Islam yang dipimpinnya adalah rangkaian gerakan Ikhwanul Muslimun di negara Islam Afrika utara itu. Samalah seperti kebanyakan pemimpin gerakan Islam di negara-negara terpaksa melarikan diri dari buruan pemimpin kerajaan masing-masing.

Mana yang tidak sempat melarikan diri akan ditahan, diseksa malah ada yang hilang tidak dengar khabar hingga akhirnya.

Rachid Ghanouci terpaksa meninggalkan kaum kerabat, pengikut dan penyokong untuk meneruskan jihad di luar negara. Sama lamanya Rachid berada di England dengan lama pemerintahan kejam Zaine al Abidene di Tunisia.

Tuan Rachid tidak sekadar menjadi pemimpin Islam negaranya, tetapi beliau boleh dilihat sebagai seorang pemimpin yang hatinya begitu dekat dengan PAS yang menjadi rangkaian gerakan Islam di Malaysia. Hubungannya dengan pemimpin PAS seperti Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang amat rapat.

Para pemimpin PAS sering bertemu dengannya bagi bertukar maklumat bagi meneruskan perjuangan dakwah dan politik di peringkat antarabangsa dan di negara masing-masing.

Ketika PAS mula memperkenalkan dakwahnya kepada masyarakat bukan Islam, pimpinan PAS yang diketuai oleh Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor telah mendapatkan pandangan rakan-rakan gerakan dari negara-negara lain mengenai pendekatan yang wajar dibuat bagi mendekati masyarakat bukan Islam.

Satu pertemuan telah diadakan di London dan Rachid Ghanouci adalah antara tokoh yang memberi pandangan positif untuk membawa masyarakat Islam sebagai ahli PAS.

Pandangan betapa masyarakat bukan Islam yang menjadi rakyat di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia perlu diambil kira oleh PAS yang menjadi sebuah parti politik Islam negara ini. Pandangan itu telah dibuat seawal PAS ditubuhkan disebutkan oleh pengasasnya Haji Ahmad Fuad Hassan.

Kemudian Prof. Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan kepada muktamar parti untuk menerima mayarakat bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Prof. Zulkifli dikira telah mendahului zamannya. Cadangan itu dibuat ketika majoriti perwakilan belum merasakan masanya telah sampai.

Perbincangan timbul semula apabila PAS cuba memperkenalkan perjuangannya kepada masyarakat bukan Islam sekitar tahun 1985, berikut terbentukkan CCC, parti kumpulan masyarakat Cina yang menyokong PAS.

Perbincangan terus dibuat dari sudut politik dan tuntutan syariyah. Hidup semula cadangan menerima mereka sebagai ahli bersekutu.

Al-Marhum Ustaz Fadzil suka mengambil langkah yang cermat. Sebelum sebarang langkah dibuat, PAS perlu mendengar pandangan rakan-rakan gerakan Islam di negara-negara lain.

Dalam pertemuan di London yang dihadiri sama oleh pemimpin Islam Tunisia itu, rakan-rakan gerakan Islam serata dunia berpandangan betapa pentingnya PAS menyelaraskan perjuangan Islamnya dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Tidak dibantah lagi betapa PAS wajar disertai oleh orang bukan Islam.

Amat menasabah langkah membuka pintu bagi menerima mereka sebagai ahli bersekutu.

Ketika itu Rachid menyatakan pandangannya, mengapa sekadar menerima mereka sebagai ahli bersekutu? Mengapa tidak menjadi ahli penuh?

Dari segi politiknya ia adalah positif. Tetapi bagaimana dari segi hukum.

Lontaran Rachid itu merumuskan betapa hukumnya harus menerima bukan Islam sebagai anggota penuh PAS. Setiap yang harus boleh dilaksanakan dan boleh tidak dilaksanakan.

Para ulama PAS mengambil masa membincangkannya. Langkah pertama membentuk Kelab Penyokong PAS dulu. Setelah melihatnya begitu positif, maka dua tahun lalu PAS mula mengkaji meminda perlembagaannya dan sekarang terbentuklah Dewan Perhimpunan Penyokong PAS yang mengumpulkan ahli PAS dari kalangan bukan Islam dan ada perwakilannya dalam Muktamar PAS.

Apapun perkembangan dalam PAS Rachid Ghanouci yang baru pulang dari London ke Tunisia adalah salah seorang yang telah menumbangkan batu besar bagi melengkapkan PAS sebagai gerakan Islam yang merangkumkan masyarakat bukan Islam di dalamnya. Samalah pentingnya dengan pandangan yang diberi oleh Haji Ahmad Fuad dan Prof. Zulkifli Mohamad dulu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30927:ghanouci-yang-cadang-pas-terima-bukan-islam&catid=88:subky-latif&Itemid=130

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...