KUALA LUMPUR, 18 Feb: Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat mewakili seluruh masyarakat dan rakyat Malaysia berasa kesal dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik mahasiswa dalam mengorientasikan proses demokrasi di dalam kampus.
Demikian kenyataan media bersama terdiri daripada Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), Chan Ming Kai (Adun Simpang Pulai), Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat).
Menurut mereka, sekatan dan halangan sedemikian rupa terus-terusan menafikan hak kebebasan mahasiswa untuk berkempen dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan memilih kepimpinan di kalangan mahasiswa haruslah telus dan adil tanpa sebarang campur tangan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Bagi mereka, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memikirkan kembali kerelevenan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diserahkan kepada mahasiswa sendiri untuk mengendalikannya dan segala sistem yang meragukan harus dihapuskan serta merta kerana ini jelas mencabuli prinsip demokrasi yang bebas dan adil.
“Kami menggesa pihak Menteri Pengajian Tinggi untuk mengambil serius perkara Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa ini dan Pemilihan yang diadakan ini haruslah telus dan adil tanpa sebarang campur tangan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berkepentingan.
“Kami juga berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memberikan hak kepada mahasiswa untuk mengadakan pilihanraya sendiri tanpa sebarang campur tangan,” ujar mereka dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, mereka menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi memberikan kebenaran kepada mahasiswa untuk berkempen di dalam Pilihanraya Kampus dengan bebas dan adil.
Mereka juga menuntut masa berkempen dipanjangkan dari 3 hari kepada 7 hari bagi memberikan ruang dan masa yang panjang untuk sesi kempen dan menyampaikan manifesto kepada mahasiswa
Pihak berkenaan juga perlu menghormati autonomi mahasiswa dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa.
“Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia iaitu mahasiswa juga warganegara Malaysia.
“Memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara di dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),” ujar mereka lagi.
Mereka juga mendesak pihak terbabit memastikan ketelusan dalam proses Pilihanraya Kampus bagi kesemua kampus di Malaysia, dan bukan sahaja bagi dua (2) kampus yang dibangkitkan itu.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30934:suara-mahasiswa-disekat-idealisme-dikongkong&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment