CHRISTCHURCH: Gempa bumi mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang di bandar kedua terbesar New Zealand, semalam.
Selain bangunan runtuh dan kerosakan kenderaan, bencana itu turut menyebabkan beratus-ratus orang terperangkap dan panik.
Perdana Menteri New Zealand, John Key, berkata kejadian itu mungkin menjadi ‘hari paling gelap’ dalam sejarah negara berkenaan.
“Orang ramai terduduk di tepi jalan dan kebingungan. Komuniti ini berada dalam bencana,” katanya.
Key berkata, jumlah korban mungkin meningkat.
Gempa bumi sekuat 6.3 magnitud itu melanda Christchurch kira-kira enam bulan selepas bandar raya itu digegarkan dengan bencana sama.
Walaupun gegaran tahun lalu sekuat 7.0 magnitud, tiada sebarang korban dicatatkan, tetapi dipercayai ia melemahkan struktur bangunan.
Bencana terburuk New Zealand dalam tempoh 80 tahun itu terjadi ketika jalan raya dipenuhi orang ramai yang keluar makan tengah hari atau membeli-belah.
Antara binaan utama yang rosak adalah gereja mercu tanda Christchurch serta bangunan enam tingkat menempatkan stesen televisyen Canterbury TV.
Helikopter penyelamat sibuk memindahkan mangsa dari bumbung bangunan yang kehilangan tangga ke tempat selamat, manakala kakitangan kecemasan menggunakan kren besar menarik pekerja pejabat yang terperangkap di bawah runtuhan.
Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker, berkata dipercayai ada 200 orang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Parker turut mengisytiharkan darurat selama lima hari di bandar raya berkenaan, manakala penyelamat meneruskan operasi mencari.
“Hanya tuhan yang tahu bagaimana keadaan sebenar,” katanya. - AFP
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GempagegarChristchurch_65terkorban/Article/index_html
No comments:
Post a Comment