Thursday, February 24, 2011

Sambutan 3 tahun Kerajaan Pakatan Selangor

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 23 Feb: Tarikh 8 Mac nanti bakal menyaksikan usia Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor menjangkau tiga tahun setelah berjaya mengenepikan BN dalam PRU 12 pada 2008.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sambutan memperingati detik bersejarah itu tetap diadakan namun akan berjalan dalam suasana sederhana dan lebih kepada memberikan informasi kepada rakyat.

Menurutnya, selain terus mentadbir dengan lebih bertanggungjawab dan telus, fokus kerajaan negeri adalah lebih kepada memastikan pelaksanaan dasar-dasar melalui banyak program yang telah dirancang.

"Atas sebab itu, majlis dan program sambutan akan diadakan secara sederhana dan bersifat informasi agar rakyat peka dan tahu mengenai dasar-dasar dan program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor.

"Majlis sambutan ini akan dimulakan dengan Majlis Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor di Stadium Malawati di sini pada 5 dan 6 Mac," tegasnya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, petang tadi.

Pelbagai acara, ujarnya, disediakan untuk orang ramai antaranya, pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal, ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk pemimpin negeri.

Majlis malam itu dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah dan pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara, tambahnya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, 26 Mac pula, kerajaan negeri akan melancarkan gerak kerja Selangor Untuk Rakyat yang membabitkan pameran PBT dan anak syarikat, pelancaran buku Liku-Liku Reformasi termasuk program seni seperti deklamasi puisi.

Selain itu, jelasnya, turut dianjurkan siri jelajah seluruh Selangor yang melibatkan Menteri Besar, barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan turun padang ke pejabat daerah untuk mendekati masyarakat dan mendengar permasalahan rakyat.

Dalam Tsunami politik pada 2008, BN hanya mendapat 20 kerusi sahaja daripada 36 Dun yang terdapat di Selangor sekaligus terlepas negeri paling maju dan terkaya di Malaysia kepada Keadilan, DAP dan PAS sebagai pembangkang ketika itu.

Dengan kekalahan itu, hasrat bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo yang berazam menjadikan Selangor sebagai negeri sifar pembangkang memakan diri yang dengan kehendak rakyat, Khir pula menjadi ketua pembangkang di Dun Selangor selepas itu.

Namun jawatannya itu pun terlucut dengan sendirinya apabila beliau didakwa di mahkamah berkaitan tanah kediaman yang dibelinya.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta.

Harga ini mendatangkan curiga hingga SPRM melakukan siasatan kerana hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Baru-baru ini, pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri juga ditarik balik oleh pihak Istana Selangor.

Berbagai usaha dilakukan oleh BN untuk merampas semula tampuk kerajaan Selangor termasuk merancang mengambil alih pentadbiran seperti berjaya dilakukan di Perak namun gagal.

Mutakhir, Umno Selangor dikatakan menerbitkan akhbar palsu, Selangor Terkini yang menyerupai akhbar rasmi kerajaan Selangor, SelangorKini dalam usaha mereka meyakinkan semula rakyat namun dapat dikesan.

Beberapa laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa terutamanya polis dapat menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab ini dengan segera termasuk meletakkan gambar Sultan Selangor dan logo negeri di muka hadapan.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31027:sambutan-3-tahun-kerajaan-pakatan-selangor&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...