PETALING JAYA: Selepas enam hari mencari anak daranya yang hilang, seorang ibu pengsan apabila dihubungi anaknya dan memberitahu sudah berkahwin dengan lelaki Indonesia dan berada di Lombok Timur.
Zaiton Jaafar, 43, dari Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang berkata, kehilangan Norbaizura Mohd Salleh, 19, yang juga anak keempat daripada enam beradik disedari selepas rakan serumah lelaki Indonesia di Felcra itu menghubungi keluarganya dan memberitahu rancangan melarikan gadis terbabit, 5 Februari lalu.
Dia berkata, anggota keluarga dengan dibantu penduduk kampung melakukan pencarian selama enam hari di Jerantut sebelum ke Melaka selepas mendapat maklumat Norbaizura ada dilihat di negeri itu.
“Sehari selepas mengetahui dia hilang, saya membuat laporan di Pondok Polis Kuala Tahan sebelum kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.
“Berdasarkan maklumat, kami cuba mencari Norbaizura di sekitar Jerantut sebelum pencarian diteruskan hingga ke Melaka apabila mendapat petunjuk baru.
“Bagaimanapun, minggu lalu saya terkejut, lemah semangat dan pitam menerima panggilan telefon daripadanya memaklumkan berada di Kampung Jobeng, Lombok Timur dan kahwin dengan lelaki dikenali sebagai Suparlan berusia 30-an yang juga penoreh getah tidak jauh daripada tempat kami,” katanya.
Menurutnya, perbualan telefon itu terputus selepas Norbaizura memberitahu sudah berkahwin dan apabila cuba hubungi semula, talian itu tidak berjawab.
“Jika benar mahu memperisterikan anak saya, saya sedia menerimanya sebagai menantu, tetapi biar kena caranya. Kami sekeluarga tidak mempunyai sebarang halangan jika lelaki itu kahwin dengan Norbaizura tetapi harus mengikut hukum Islam, adab serta adat Melayu di negara ini.
“Saya rasa golongan tua di sana (Lombok) juga tidak bersetuju dengan perbuatan tidak beradab ini, lebih-lebih lagi majoriti penduduknya berpegang teguh kepada ajaran Islam. Justeru, perbuatan sebegini harus dihentikan segera,” katanya.
Namun, Zaiton berkata, rakan serumah Suparlan yang bekerja sebagai penoreh getah di Kuala Tembeling pernah memberitahu suspek menyimpan perasaan terhadap anak perempuannya itu.
“Difahamkan, dia selalu mengekori anak saya pulang dari tempat kerjanya di pusat peranginan di Kuala Tahan, tetapi tidak pernah mengganggu Norbaizura.
“Dia dilarikan sehelai sepinggang dan dipercayai dibawa masuk secara haram ke Lombok melalui jalan laut dari Melaka kerana tidak mempunyai pasport antarabangsa.
“Saya berharap Norbaizura dapat dibawa pulang secepat mungkin kerana kami sekeluarga, terutama ayahnya yang uzur amat merinduinya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IbupengsananaktelefondariLombok/Article/index_html
No comments:
Post a Comment