KUALA LUMPUR, 24 Feb: Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia melihat insiden-insiden yang tidak sepatutnya berlaku di menara gading terutama di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia membuktikan ketidakmatangan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pentadbiran universiti di dalam mengendalikan pilihan raya kampus.
Pengarahnya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, pihaknya kesal dengan insiden-insiden yang berlaku itu dan mendesak pihak berkenaan supaya tidak memecahbelahkan kesatuan mahasiswa dengan label politik melampau seperti pro-pembangkang dan pro-kerajaan.
“Ini akhirnya akan membawa masuk budaya politik kotor seperti yang biasa diamalkan oleh parti pemerintah dengan budaya politik ugut, politik wang dan politik takut,” ujarnya.
Mahasiswa, katanya harus tidak dilihat seperti ‘budak sekolah’ sehingga segalanya dilarang untuk dilakukan.
Tambahnya, mahasiwa dilarang untuk adakan manifesto, sudut pidato malah adakan kempen secara berkumpulan juga dilarang akibat daripada takut yang tidak bersebab kepada gerakan mahasiswa.
Beliau menambah, adalah matang jika satu jawatankuasa khas antara KPT, HEP dan pihak mahasiswa ditubuhkan bagi membincangkan format baru pelaksanaan pilihanraya kampus pada masa akan datang.
Baginya, format yang terbaik yang harus dirangka adalah bagi membolehkan mahasiswa mengendalikan sendiri pilihan raya kampus mereka sendiri.
“Justeru itu, pihak Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya bahawa pilihan raya kampus mampu dilihat suatu medan melahir kepimpinan generasi muda melalui desakan yang dinyatakan,” ujarnya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31029:jangan-label-mahasiswa-dengan-politik-melampau&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment