Sunday, February 13, 2011

PAS lancar Tabung Buluh malam ini

Harakahdaily

RAWANG, 13 Feb: PAS akan melancarkan Tabung Buluh PRU-13 malam ini sebagai persiapan kewangan untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.

Majlis yang dianjurkan oleh PAS kawasan Selayang bersama PAS cawangan-cawangan di Bandar Tasik Puteri, Rawang ini akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Padang Oak, Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Turut serta malam ini adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli di samping Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Zaidy Talib dan Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Haji Mohamad Abdul Rahman.

Menurut jadualnya, lebih 100 tabung buluh akan diedarkan malam ini untuk membolehkan para ahli PAS di Selayang menggunakannya untuk mengumpul dana untuk PAS.

Di samping ceramah, satu video klip juga akan ditayangkan bagaimana tabung ini dibuat dan bagaimana usaha dibuat untuk menjadikan tabung ini sebagai sumber kewangan utama PAS dalam pilihan raya umum nanti.

"Kita berharap projek ini akan menjadi model kepada rakan-rakan ahli PAS yang lain di seluruh negara untuk membolehkan kita mempunyai kewangan yang cukup menjelang pilihan raya nanti," kata Pengarah projek ini Mazlan Moin.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim berkata, cadangan Tabung Buluh bertujuan untuk membolehkan PAS benar-benar bersedia dari segi kewangan di samping mempersiapkan calon PAS yang hendak bertanding agar setia dengan jamaah.

Beliau mencadangkan, tabung itu nanti hendaklah diserahkan sendiri oleh ahli PAS berkenaan kepada calon PAS yang hendak bertanding dan disertakan dengan amanat agar calon itu sedar bahawa mereka menjadi wakil rakyat nanti atas keringat semua ahli.

Secara simboliknya, beliau mencadang, tabung itu akan diserahkan kepada calon berkenaan ketika beliau diumumkan sebagai calon PAS nanti.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau mendapat idea itu berdasarkan kunjungan beliau ke satu majlis di Johor baru-baru ini yang menyaksikan satu majlis penyerahan tabung buluh dari ahli PAS untuk Unit Peti Undi (UPU) kawasan berkenaan.

"Saya ingin ubah sedikit. Dari kita serahkan kepada UPU, apa kata kita serahkan terus kepada calon yang hendak bertanding nanti dan kita tuliskan amanat kepada beliau di tabung itu nanti," kata Tuan Ibrahim.

"Apabila kita semua menyumbangkan wang untuk calon kita dan dengan amanat itu, kita yakin tidak akan ada mana-mana calon kita akan khianat kerana mereka sedar mereka menang adalah atas usaha semua ahli dan penyokong.

"Jadi secara spiritualnya, kita akan menghalang dari wakil rakyat kita lompat parti, khianat dan sebagainya," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30837:pas-lancar-tabung-buluh-malam-ini&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...