isma@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Biarpun novel nukilannya dikatakan tersenarai antara buku terlaris di pasaran, hati penulisnya yang juga ibu malang, Elis Syuhaila Mokhtar, 35, masih terkilan kerana usaha mendapatkan bantuan bagi mengembalikan anaknya yang terpisah hampir dua tahun lalu tidak menampakkan tanda positif.
Impiannya untuk bertemu anak tunggal kesayangannya masih jauh tetapi dia tetap tidak berputus harapan melihat Ferris Mokhtar Ven De Ven, 8, yang dilarikan bekas suaminya ke Belgium, kembali ke Malaysia.
“Saya reda dengan apa yang berlaku sekarang tetapi terkilan kerana pihak Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara seakan-akan belum memberi reaksi konkrit mengenai permohonan saya untuk mendapatkan bantuan mereka.
“Wisma Putra memberitahu akan menghantar satu delegasi ke negara terbabit tetapi saya tidak diberitahu apa-apa perkembangan mengenainya, sama ada mereka sudah pergi atau tidak.
“Pegawai yang saya berurusan sebelum ini juga tidak dapat dihubungi, sekarang saya tidak tahu hendak berurusan dengan siapa pula di Wisma Putra,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia juga masih menanti jika Pejabat Peguam Negara dapat meneruskan usaha membantunya sekali lagi selepas usaha itu terbantut sebelum ini.
Mengenai novel karyanya, Ku Bawa Hati Ini terbitan Alaf 21 yang dilancarkan pada 22 Disember lalu, memang dia diberitahu mengenai sambutan menggalakkan terhadap hasil nukilan mengenai pengalaman hidupnya berkahwin dengan lelaki bangsa asing.
“Ada yang beritahu bahawa novel saya laris di pasaran, tetapi saya tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak penerbit. Saya bersyukur jika benar seperti yang dikatakan itu,” katanya.
Sementara itu, Metro Ahad mendapati novel setebal 468 halaman itu antara paling laris di MPHonline.com bagi kategori buku tempatan.
Novel terbabit berdasarkan catatan Elis Syuhaila menjadi isteri kepada lelaki bangsa asing dan idea untuk menghasilkannya sejak pulang ke Malaysia pada 2007.
Bagaimanapun, usaha menyiapkan novel berkenaan tergendala akibat krisis perkahwinannya dan kejadian Ferris dibawa lari, sebelum wanita terbabit bangkit menyiapkannya untuk mengumpul dana membawa pulang Ferris.
Elis Syuhaila turut pernah mendapat sokongan pencipta lagu, Aesar Mustafa menghasilkan lagu khas bertajuk ‘Lagu Untuk Ferris - Buaian Rindu’ untuk album single nyanyian pendatang baru, Arrora Salwa.
Melalui usaha itu, 50 peratus hasil jualan album single berkenaan dimasukkan ke tabung ‘Bring Back Ferris To Malaysia’ yang dibentuk untuk mengumpul dana membiayai pemergian Elis Syuhaila ke Belgium dan membiayai kos guaman yang dijangka menjangkau RM100,000.
Kisah duka ibu malang itu bermula apabila bekas suaminya, Frank Theodorus Van de Ven atau nama Islamnya, Firdaus Mokhtar yang bertugas sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat antarabangsa melarikan Ferris pada 3 Mac 2009.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penulisnovelterlaristerkilan/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment