Sunday, February 13, 2011

Roboh: AMK dakwa Utusan bohong

Fakhri Ali

BUKIT MERTAJAM,13 Feb: Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi dibidas oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang setelah memaparkan berita bertajuk ' MPSP roboh 1,000 gerai' sepertimana yang tersiar pada 8 Februari yang lalu.

Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali semasa ditemui berkata berita dan angka yang dipaparkan tidak benar dan berunsur fitnah untuk mengaibkan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Amir juga berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Direktorat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyatakan hanya 10 buah premis sahaja yang dirobohkan oleh pihak penguatkuasa MPSP pada hari kejadian iaitu 7 Februari yang lalu.

"Apa yang cuba ditimbulkan oleh akhbar tersebut adalah untuk mensensasikan isu perobohan gerai yang ternyata dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan dalam undang-undang penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan tersebut.

"Dalam operasi yang dilaksanakan MPSP telah bertindak mengikut garis panduan yang diberikan. Mereka juga tidak berpihak kepada mana-mana peniaga. Sebaliknya jumlah gerai yang dirobohkan melibatkan 4 kepunyaan orang Melayu, 2 Cina, 1 India dan selebihnya adalah milik warga asing, " katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis MPSP memberi jaminan usaha sedang dilaksanakan bagi menempatkan semula peniaga yang terlibat di satu lokasi yang akan dikenal pasti dalam kawasan yang sama bagi memberi peluang kepada mereka meneruskan perniagaan.

Namun begitu, katanya, ia memerlukan sedikit ruang sebelum proses pelaksanaannya dijalankan.

Amir juga mengingatkan Umno dan Barisan Nasional khususnya di Pulau Pinang supaya tidak mengeruhkan suasana dengan mengapi-apikan para peniaga melalui penyiaran berita mereka bagi menimbulkan kebencian masyarakat kepada Kerajaan Negeri.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Ong Chin Wen serta para peniaga yang terlibat dalam perobohan gerai mereka baru-baru ini.

http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30841:roboh-amk-dakwa-utusan-bohong&catid=55:negeri-pulau-pinang&Itemid=100

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...