Sunday, February 13, 2011

Penduduk dunia Arab rai kejayaan

BEIRUT: Penduduk di seluruh dunia Arab meraikan kegembiraan selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, malam semalam.

Dari Beirut ke Gaza, berpuluh-puluh ribu orang mengagihkan manisan, membakar bunga api dan melepaskan tembakan sebagai tanda sokongan kepada penunjuk perasaan selain kerajaan Jordan, Iraq dan Sudan turut menyampaikan ucapan kesyukuran di atas kejayaan rakyat Mesir.


Malah, di Israel yang mengikuti perkembangan 18 hari kebangkitan rakyat Mesir itu berpendapat, penunjuk perasaan sudah menang. Bekas Menteri Pertahanan Israel, Ben-Eliezer dalam kenyataannya kepada televisyen saluran 10 negara itu, berkata: “Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Tindakan Hosni itu yang terbaik.” Pemimpin Hamas pula menyeru kerajaan baru Mesir supaya membuka sempadan di Gaza.

“Hari ini, Mesir mencatat bab baru dalam sejarah dunia Arab dan saya lihat sekatan di Gaza mengalami keretakan sekarang,” kata Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh.


Beribu-ribu penduduk Gaza pula keluar beramai-ramai memenuhi jalan raya meraikan kegembiraan mereka. “Tuhan merahmati Mesir, hari ini hari yang penuh kegembiraan dan Insha-Allah, semua pemimpin yang zalim di dunia ini akan digulingkan,” kata penduduk, Radwa Abu Ali yang mengagihkan manisan.


Sementara itu, akhbar di Britain pula menyambut penyingkiran Hosni dan mengiktirafnya sebagai detik bermakna dalam sejarah walaupun terdapat kebimbangan terhadap masa depan yang belum pasti di Mesir. Kebanyakan muka depan akhbar di negara itu menyiarkan gambar penunjuk perasaan meraikan kemenangan mereka di Dataran Tahrir di Kaherah. ‘Sejarah Dicatat’, lapor tajuk muka depan akhbar The Times. Kejatuhan Hosni membawa kegembiraan, harapan dan kebebasan kepada rakyat Mesir tetapi turut menjanjikan keadaan tidak pasti terhadap perubahan di negara berkenaan, lapor akhbar itu. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PendudukduniaArabraikejayaan/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...