am@hmetro.com.my
TERBARING...pasukan perubatan HSA merawat mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil, Dewi.
TRAGEDI...lokasi kejadian dua beranak terbabit ditikam, semalam.
JOHOR BAHRU: Tidak tergambar kesengsaraan dialami seorang wanita yang hamil empat bulan apabila dia bukan saja ditikam bapa kandung di rumahnya di Kampung Sri Serdang, di sini, petang semalam, malah pisau berkenaan terpacak di belakang badannya kira-kira empat jam sebelum berjaya ditarik keluar.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Dewi, 43, maut ditikam di perut, manakala mangsa yang hanya dikenali sebagai Idah, 28, parah apabila pisau itu ditusuk sehingga hampir mengenai tulang belakangnya.
Difahamkan, pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menggunakan imbasan X-ray sebelum mengeluarkan pisau berkenaan bagi mengelak kecederaan lebih parah sekiranya senjata itu terkena tulang belakang mangsa.
Selain itu, pasukan perubatan perlu berhati-hati bagi memastikan bayi dalam kandungan mangsa selamat berikutan dia kehilangan banyak darah.
Dua beranak itu menyediakan khidmat mengurut badan secara sambilan di rumah berkenaan dan ketika kejadian, suami mangsa pulang ke Indonesia atas urusan keluarga.
Sementara itu, saksi, Farhana Zamir, 16, berkata dia tidak menyangka amaran yang didengarnya beberapa hari lalu menjadi kenyataan.
Katanya, dia terdengar seorang lelaki pernah memberi amaran kepada Dewi supaya tidak meneruskan perkhidmatan mengurut lelaki.
“Saya terdengar ‘kalau kau urut lelaki di rumah ini, aku tikam kau’, tetapi saya tidak menyangka ia menjadi realiti.
“Saya tidak tahu siapa yang melakukannya dan bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi itu amaran yang saya dengar kerana lelaki terbabit sering ke rumah Dewi dan bertengkar dengannya.
“Ketika kejadian, saya sibuk membasuh baju sebelum terdengar orang bertengkar di rumah itu.
“Pada mulanya, saya tidak mengendahkannya, tetapi keluar selepas mendapati ia berbeza berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, sebaik keluar rumah, dia melihat Dewi dan Idah terbaring di lorong belakang rumah lalu segera berlari ke depan untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
Jiran, Aizuddin Ramli, 22, berkata sebaik keluar rumah, dia melihat Dewi keluar dari pintu belakang sambil memegang perutnya dan berjalan terhuyung-hayang.
“Ia diikuti Idah dengan pisau masih tertusuk di belakang badannya dan ia mengerikan. Pada masa sama, saya melihat seorang lelaki berbadan gempal minum air di depan rumah dua beranak berkenaan.
“Saya mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengejar lelaki terbabit dan menahannya sebelum diserahkan kepada polis yang melalui kawasan ini,” katanya.
Bagaimanapun, difahamkan lelaki terbabit bukan suspek sebaliknya pelanggan mangsa kerana beberapa penduduk mendakwa terlihat kelibat suspek utama mengekori Dewi hingga ke lorong belakang rumah.
Penduduk mendakwa suspek mencium dahi bekas isterinya itu selepas wanita berkenaan rebah sebelum melarikan diri ketika orang ramai mengejar lelaki berbadan gempal terbabit.
Berikutan itu, polis menjejaki suspek dan menahannya ketika dia cuba mengambil motosikalnya yang diletakkan di lokasi berhampiran beberapa jam kemudian.
http://www.hmetro.com.my/articles/Akutikamjikakauurutlelaki/Article
No comments:
Post a Comment