Thursday, March 3, 2011

Bob Lokman berkempen di Kerdau pula

Jimadie Shah Othman
Feb 28, 11
8:27pm

Setelah muncul di Merlimau sebelum ini, pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman hari ini turun ke Kerdau dengan misi memenangkan calon PAS Hassanuddin Salim.

Beliau dijadual berada dua hari di DUN bagi menarik seramai mungkin sokongan orang ramai, khususnya golongan muda yang agak ramai daripada keseluruhan 8,999 pengundi.

Dalam penampilan pertama di majlis jamuan petang dan melawat pasar malam di Desa Murni dalam daerah mengundi Kerdau, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berucap kira-kira 30 minit sebelum bersalaman dengan orang ramai.

Kira-kira 100 orang hadir mendengar celotehnya yang masih lucu walaupun penampilannya kini berbeza apabila berjubah, berkopiah dan bertongkat ala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bila ada kopiah ini lain. Dulu saya buat apa sahaja sebab saya raja lawak.

"Sekarang bila sudah ada kopiah, lain," katanya sambil disambut gelak ketawa orang ramai yang kebanyakannya sudah berumur dan berkopiah.

Hassanuddin turut hadir dalam program itu ketika Bob, 47, sedang berucap dan disambut dengan gurauan juri program jenaka terkenal Raja Lawak musim lalu itu.

"Sama ke?" katanya sambil menunjukkan gambar calon.

Tak perlu sijil Al-Azhar

Dalam ucapannya yang penuh humor, Bob yang terkenal dengan lirik lagu "Isabella" nyanyian kumpulan rock Search itu menceritakan, beliau menyertai PAS secara tiba-tiba sejurus selepas keluar daripada pintu Raja Lawak.

"Tak ada sesiapa pengaruh, saya masuk saja," kata anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan yang juga cicit kepada ulama terkenal nusantara Tok Kenali.

Beliau juga mendedahkan beberapa kali terlibat dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil bagi membantu calon BN dan dibayar antara RM2,000 hingga RM3,000 ribu.


Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan itu dibuat secara serius memandangkan hampir separuh ucapannya petang ini diselangi dengan gurauan menyebabkan hadirin tidak kering gusi ketawa.

Bob juga berjenaka dengan menyentuh pelbagai perkara, antaranya bertanyakan penonton sama ada calon BN bernama "Side Effect" (kesan sampingan) dan tidak akan percaya lagi pada Datuk Seri Najib Razak walaupun walaupun perdana menteri berucap "dengan golek kepala".

Bob juga berkata calon PAS sebagai bekas juru ukur tanah patut dipilih sebagai wakil rakyat kerana beliau "tahu keluasan bumi Allah."

"Tak perlu ada sijil daripada (Universiti) Al-Azhar pun," katanya merujuk kepada calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, lulusan bahasa Arab daripada universiti paling terkenal dalam dunia Islam itu.

http://malaysiakini.com/news/157332

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...