Thursday, March 3, 2011

PKR dakwa BN ciplak Buku Jingga Pakatan

Mac 1, 11 1:34pm

PKR mendakwa pengumuman terbaru pimpinan BN tentang insentif tawaran baru untuk guru dan pembayaran CESS untuk peneroka Felda, menunjukkan BN menciplak dasar-dasar dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat.

NONE"Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga," kata pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara," tambahnya dalam satu kenyataan.

Katanya, begitu juga dengan tawaran baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau, termasuk insentif untuk guru besar dan insentif untuk guru berjumlah RM18.4 juta.

"Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara," tegasnya.

NONENik Nazmi berkata, di Kerdau pula Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bayaran CESS - yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka Felda - boleh dituntut menerusi tiga pilihan.

"Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula. Bayaran ini telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004.

"Bayaran sebanyak RM5,000 dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi Felda masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit," kata Nik Nazmi.

azlanKatanya, Pakatan telah mengumumkan bahawa Felda Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama Felda.

"Malang sekali, ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

"Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau, merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga," tambahnya.


http://malaysiakini.com/news/157375

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...