Thursday, March 3, 2011

Taib lawan Malaysiakini: Keputusan 17 Mac

Taib lawan Malaysiakini: Keputusan 17 Mac
Regina Lee
Mac 1, 11
11:57am

Saman fitnah ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke atas Malaysiakini akan diputuskan dalam tempoh kurang tiga minggu lagi.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O'Hara berkata beliau akan memberikan keputusannya berhubung permohonan Malaysiakini untuk mengketepikan saman itu pada 17 Mac ini.

Dalam hujahnya, peguam K Shanmuga yang mewakili Mkini Dotcom Sdn Bhd berkata saman itu merupakan perbuatan menyalahgunakan proses mahkamah dan plaintif (Abdul Taib) tidak mempunyai alasan untuk mengambil tindakan terhadap defendan.

Katanya, ini kerana Parlimen tidak pernah menggubal undang-undang yang menyekat kebebasan asasi defendan untuk menyatakan pendapat dengan cara mencipta tort fitnah, yang membolehkan seseorang pegawai kerajaan, seperti plaintif, untuk menyaman seseorang wartawan dan pertubuhan berita kerana memfitnah.


Dalam hujah balasnya, peguam Yee Mei Ken, yang mewakili Abdul Taib berkata mengikut undang-undang, hak seseorang untuk mengemukakan saman fitnah terhadap seseorang yang membuat fitnah termaktub dengan jelas dalam Common Law dan diiktiraf sepenuhnya di Malaysia.

Taib menyaman Malaysiakini pada 2007 kerana mendakwa portal berita bebas itu yang memetik sumber daripada akhbar-akhbar Jepun memfitnahnya.

Beliau mendakwa 12 artikel yang diterbitkan dari 6 April hingga 3 Mei 2007 itu mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Artikel berkenaan mendedahkan pihak berkuasa Jepun menahan ahli kumpulan kartel perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak.

Ahli kartel itu didakwa membayar Regent Star, sebuah syarikat kilang kertas yang berpangkalan di Hong Kong yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Taib dan keluarganya sebanyak RM32 juta sebagai habuan.

Isu berkenaan telah dilaporkan secara meluas di beberapa pertubuhan media di Jepun dan juga tempat lain. Berdasarkan sumber itu, Malaysiakini membuat laporan susulan seminggu selepas itu dengan artikel 'RM32 mil kickbacks - tip of the iceberg'.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Taib menamakan Mkini Dotcom dan ketua pengarang Malaysiakini Gan Diong Keng, yang juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan.

Beliau berkata perkataan berbaur fitnah yang terkandung dalam artikel berkenaan, daripada segi makna lazim dan biasanya, difahami, antara lain, bahawa beliau telah mengumpul wang secara tidak sah berjumlah RM32 juta melalui kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang berkaitan perniagaan balak di Sarawak dan telah melakukan tindakan jenayah, yang boleh didakwa kerana melakukan jenayah.

Dalam pernyataan pembelaaan diri, defendan berkata perkataan yang terkandung dalam artikel berkenaan disiarkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Menurut Malaysiakini, plaintif telah memperaku penerbitan artikel berkenaan dengan menyebut semula perkataan dan perkara yang menjadi sungutan itu dengan membuat kenyataan secara peribadi kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 14 Mei 2007.

Mereka mendakwa pernyataan peribadi beliau itu kemudiannya disiarkan secara penuh oleh akhbar yang mempunyai liputan meluas di Sarawak, The Borneo Post, pada 15 Mei 2007.


http://malaysiakini.com/news/157361

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...