Thursday, March 31, 2011

Nazri: Bantuan segera ketika p'raya bukan rasuah

Nazri: Bantuan segera ketika p'raya bukan rasuah
Mac 29, 11 4:54pm

Pemberian bantuan segera kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata ini kerana pelbagai bantuan yang disampaikan kepada rakyat menjelang pilihan raya adalah sebagai memenuhi manifesto atau janji yang dibuat kerajaan jika menang pilihan raya.

NONE"Kita dah berjanji kalau menang kita akan tunaikan (manifesto)...sebagai contoh bantuan mesin jahit, kalau kita tak bagi masa nak pilihan raya boleh segera bagi selepas pilihan raya, sama sahaja, adakah ini satu kesalahan?

"Kita juga tak boleh nak hentikan pemberian ini sebab kita akan bagi juga selepas itu (pilihan raya)," katanya ketika menjawab pertanyaan Ab Azizi Ab Kadir (PKR-Ketereh) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ab Aziz dalam soalannya ingin tahu sama ada pemberian bantuan segera ketika pilihan raya atau pilihan raya kecil merupakan satu bentuk rasuah dan adakah kerajaan bercadang menghentikan bantuan seumpamanya ketika kempen pilihan raya.

Menjawab soalan Ab Aziz mengenai jumlah aduan rasuah yang diterima Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pilihan raya kecil bagi tempoh 2008 hingga 2010, Mohamed Nazri berkata sebanyak enam kes diterima dan disiasat dalam tempoh itu.

RM11j kos 16 p'raya kecil

Sementara itu, Nazri berkata, kerajaan menanggung kos lebih RM11 juta bagi melaksanakan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Katanya, perbelanjaan yang besar diperlukan bagi menampung kos dan perkhidmatan bagi setiap pilihan raya kecil seperti pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan minuman.

"Anggaran kos yang digunakan bagi menjalankan pilihan raya kecil ialah antara RM318,000 dan RM1,290,000 bergantung kepada kawasan pilihan raya yang terlibat dalam pilihan raya itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai kos yang dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-12 dan adakah kerajaan bercadang untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil dengan menggantikannya dengan kaedah lain.

Mohamed Nazri berkata perincian setiap pilihan raya kecil ialah Permatang Pauh (RM409,000), Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367.93), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.290 juta), Galas (RM1.047), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Sementara itu, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.

"Setiap keputusan bagi pilihan raya kecil yang diadakan adalah muktamad dan perbelanjaan yang digunakan dianggap sah," katanya.

Mengenai kemenangan BN bagi pilihan raya kecil yang dianggap 'tidak halal' selain melaksanakan projek 'mee segera' dan memberikan 'durian
runtuh' kepada rakyat semasa pilihan raya kecil, Mohamed Nazri berkata projek itu bukan bersifat 'disegerakan' sebaliknya ia dipercepatkan semasa pilihan raya kecil kerana telah terdapat peruntukan yang ditetapkan.


Beliau berkata kerajaan sentiasa melaksanakan projek yang membolehkan rakyat di negeri yang terbabit menerima manfaat dengan segera.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/159996

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...