Thursday, March 31, 2011

PAS Kuala Krau desak henti operasi Lynas

Khairil Abdul Rahim

KUALA KRAU, 30 Mac: Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau Ahad lalu telah meluluskan usul menggesa Kerajaan Malaysia dan Pahang memberhentikan segera operasi kilang Lynas Corporation kerana boleh mengancam nyawa penduduk tempatan.

Menurut Yang Di Pertuanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kilang yang memproses bahan menghasilkan sisa radio aktif di Gebeng, Kuantan itu sukar diurus pembuangannya tetapi sangat bahaya kepada kehidupan manusia dan kelestarian alam.

”Lokasi kilang tersebut yang berada di pinggir laut dan terdedah kepada Tsunami, boleh menjadikannya seperti loji nuklear di Jepun baru-baru ini, tambahan pula berada di kawasan petrokimia,“ katanya.

Tambah Naib Presiden PAS itu, Tsunami di Jepun baru-baru ini membuktikan teknologi canggih yang cuba membendung sisa radioaktif tidak berkesan di loji nuklearnya.

“Justeru PAS mendesak dibatalkan projek mengancanm nyawa dan alam itu demi mendahulukan rakyat kerana kerajaan mesti mengambil kira pandangan penduduk sebelum meluluskannya.“ Jelasnya.

Mesyuarat Agung ke 25 itu berlangsung di Dewan Darul Hikmah, Kerdau dan dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, PAS Kuala Krau berjaya menubuhkan cawangan barunya dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau iaitu Desa Murni dan Rumpun Makmur.

“Walaupun kita kalah dalam pilihan raya kecil Kerdau baru-baru ini, tetapi kita mendapat khabar gembira dua cawangan berjaya ditubuhkan memberi makna peluang PAS tetap cerah pada masa depan,“ ujarnya.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, negeri ini akan menghantar kira-kira 40 orang petugas sepenuh masa daripada 1 April hingga 16 April.

Petugas dari Pahang akan bertumpu di Sembuyau, katanya.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31591:pas-kuala-krau-desak-henti-operasi-lynas&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...