TEMERLOH,30 Mac: Krisis air yang menjejaskan sekurang-kurangnya 12,000 penduduk di sekitar daerah ini melibatkan taman perumahan dan kampung tradisional sejak empat hari lalu menimbulkan kemarahan mereka terhadap Jabatan Bekalan Air (JBA), wakil rakyat dan menteri besar (MB).
Malah menurut penduduk, beberapa kawasan perumahan seperti Taman Setia Jasa, Seberang Temerloh dan Mentakab turut mengalami gangguan bekalan air sejak 1 Mac lalu.
Tinjauan Harakahdaily ke Taman Setia Jasa yang mempunyai lebih 400 buah rumah dan seramai 1,800 penduduk mendapati penduduk mula menzahirkan kemarahan dengan memasang sembilan kain rentang sebagai protes kepada JBA, wakil rakyat dan MB untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung masalah bekalan air itu.
Seorang penduduk dari taman sama, Ghazali Idris, 63, berkata, gangguan bekalan air di taman perumahan itu berlaku sejak sebulan lalu dengan ada ketikanya air keluar kecil. Tetapi sejak awal minggu lalu langsung tiada air.
Menurutnya, gangguan itu berlaku pada sebelah petang hingga subuh, namun sejak Sabtu lalu, langsung tiada bekalan air.
“Dulu dah pernah berlaku teruk macam ini tetapi selesai, sekarang jadi semula. Kami dah adu pada JBA tetapi mereka kata tak tahu punca dan ada yang ada paip bawah tanah bocor.
"Keadaan ini membuatkan kami di sini jadi seperti balik ke zaman dulu. Bayangkan, saya memandu kereta sejauh 30 kilometer menuju ke Chenor untuk memunggah air Sungai Pahang setiap hari bagi kegunaan makan minum dan kebersihan untuk ahli keluarga,” katanya.
Menurut Ghazali, masalah air di Taman Setia Jasa itu turut menyebabkan pelajar-pelajar sekolah di situ mengalami masalah lewat ke sekolah kerana terpaksa mandi di Jengka setiap pagi.
“Saya ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal pagi, balik ke kampung di Jengka untuk mandi dan patah semula ke sekolah di Temerloh. Anak orang lain pun macm tu.
“Jadi sampai bila masalah ini hendak selesai? Kita harap JBA segera selesaikan jangan penduduk telefon pun tak mahu jawap. Bayangkan penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,” katanya.
Taman Setia Jasa terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab dan Parlimen Temerloh.
Seorang penduduk lagi, Ahmad Harun, berkata ini merupakan kali kedua penduduk menghadapi krisis air yang serius dan lama sehingga terpaksa memunggah air dari luar.
"Baru-baru ini ada penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin, walaupun ada pihak yang menolong tapi teruk memunggah air. Bagaimana pula kalau berlaku kematian?
"Saya fikir Temerloh ini tidak sepatutnya menghadapi masalah air berulang kali kerana berada dipinggir Sungai Pahang yang mewah air. Jadi sudah tentulah ini kelemahan JBA," katanya.
Ahmad berharap, supaya JBA segera selesaikan masalah yang menghantui penduduk iaitu dengan JBA menghantar empat lori tangki air sehari dengan tiga kali penghantaran.
Sementara itu, peniaga warung makan di situ, Rahim Bakri, turut mengakui ketiadaan air menyebabkan perniagaannya banyak terjejas kerana untuk memasak dan membersih terpaksa menggunakan air yang banyak dan beliau terpaksa memunggahnya dari luar.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31590:penduduk-marah-krisis-air-paling-teruk&catid=54:negeri-pahang-darul-makmur&Itemid=99
No comments:
Post a Comment