Wednesday, July 20, 2011

FRU guna kanister Israel sahkan kezaliman BN – Shuhaimi Shafiei




(Oleh: Ahmad Fadli)

SHAH ALAM: Kanister gas pemedih mata yang digunakan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyerang peserta himpunan Bersih, didedahkan adalah jenis sama digunakan tentera Israel untuk membunuh rakyat Palestin.

Ia sekaligus mengesahkan kekejaman BN yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk meniru pendekatan tentera zionis bagi mendatangkan kecederaan kepada rakyat yang menentangnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata demikian mengulas laporan Suara Keadilan edisi terbaru, yang mendedahkan bahawa FRU menggunakan kanister tersebut untuk menyerang peserta Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Kanister mengeluarkan gas jenis CS itu dikeluarkan syarikat Combined System Inc dari Amerika Syarikat yang berupaya menyebabkan kecederaan mata, paru-paru dan penyakit kulit.

Ia pernah meragut nyawa seorang warga Palestin, Jawaher Abu Rahmah dari Kampung Bil’in pada 1 Januari 2011 akibat terhidu gas berlebihan yang dikeluarkan kanister itu.

Sebelumnya pada April 2009, abang Jawaher, Baasem Abu Rahmah juga mati akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata itu di bahagian dada.

Pendedahan itu dilakukan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya yang mendakwa syarikat Federal Laboratories berpengkalan di Amerika Syarikat, pernah disaman berikutan penyalahgunaan gas pemedih mata yang sama pada 1992.

Ia menyebabkan syarikat itu terpaksa membayar pampasan kepada 30 keluarga Palestin.

Menurut Shuhaimi, beliau tidak terkejut dengan pendedahan itu kerana polis yang diperalatkan Umno akan menggunakan apa sahaja termasuk meniru pendekatan tentera Israel menzalimi rakyat Palestin.

“Kita memang tidak terkejut. Dari awal lagi (kita tahu) mereka akan guna kekerasan yang boleh mendatangkan kematian (kepada peserta himpunan),” katanya.

“Mereka akan guna apa-apa sahaja cara, termasuklah ilmu yang diajar APCO untuk memusnahkan kebangkitan rakyat,” kata Shuhaimi.

Katanya, ia bukti kelakuan ganas polis terhadap demonstran Bersih pada 9 Julai lalu sememangnya disengajakan untuk mendatangkan kecederaan kepada warga Malaysia yang menuntut reformasi pilihan raya.

“Polis Malaysia dengan arahan Umno sememangnya berniat melakukan kecederaan serius terhadap semua peserta Bersih. Malangnya, perancangan jahat mereka tidak berhasil kerana ia memakan diri,” kata Shuhaimi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17069



http://www.keadilandaily.com/fru-guna-kanister-israel-sahkan-kezaliman-bn-shuhaimi-shafiei/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...