(Oleh: Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR: Pengarah Biro Antarabangsa KEADILAN, Yusmadi Yusuf berkata, Malaysia tidak mungkin berperanan seperti negara-negara maju sekiranya terus mencabuli hak asasi dan demokrasi di negara ini.
Katanya, kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil iktibar selepas kritikan dan imej buruk yang digambarkan media antarabangsa berhubung keganasanan polis semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.
Tambah beliau, kecaman masyarakat antarabangsa mengenai layanan keras pihak berkuasa terhadap peserta perhimpunan aman itu, dianggap memalukan dan mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.
“Kita telah menerima teguran termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amnesty International. Kita harap ini bukanlah imej yang mahu digambarkan kepada dunia tentang Malaysia,” kata Yusmadi, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.
Terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cuba memadamkan fakta dan berita mengenai laporan berkaitan perhimpunan itu yang disiarkan oleh majalah antarabangsa The Economist.
Anggota parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dalam Twitter nya hari ini, The Economist keluaran 16 Julai telah disaring dan dipadamkan oleh KDN.
Yusmadi dalam pada itu turut mengulas layanan baik oleh kerajaan di luar negara terhadap peserta perhimpunan itu di lebih 30 bandaraya di seluruh dunia.
Antaranya London, Washington, Los Angeles, New York, Seoul, Melbourne, Taiwan, Bangkok, Kaherah dan Paris.
Ia mencerminkan tahap demokrasi matang yang diamalkan di negara-negara tersebut.
“Dalam masa sama wakil kerajaan Malaysia menunjukkan ‘perhubungan awam’ yang baik kepada rakyat sendiri di mata kerajaan dan media asing,” kata Yusmadi merujuk ‘sikap baik’ Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menyantuni peserta himpunan Bersih di kota London.
“Begitu juga sikap yang sama dtunjukkan diplomat di Kedutaan Malaysia
di Washington DC,” kata Yusmadi.
Namun, kata Yusmadi, apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya apabila kerajaan menggunakan polis dan undang-undang untuk melakukan hambatan kepada rakyat yang mahu menuntut keadilan.
“Sedangkan undang-undang sepatutnya membela dan melindungi kita. Berbanding dengan rakyat Malaysia di luar negara, nampaknya hak mereka lebih terjamin,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17050
http://www.keadilandaily.com/selepas-bersih-imej-malaysia-terus-tercemar-di-mata-dunia-yusmadi/
No comments:
Post a Comment