Tuesday, August 9, 2011

2 saksi pertama gagal ditemubual

Posted by admin on August 9th, 2011

Peguam-peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal untuk menemu bual dua daripada 15 saksi utama walaupun mahkamah membenarkan beliau membela diri minggu depan.Pihak pendakwa memaklumkan pasukan peguam Anwar mengenai bantahan itu melalui satu panggilan telefon pagi tadi selepas pasukan pembela tiba di Mahkamah Tinggi di sini untuk menemu bual bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan (gambar) dan bekas ketua polis Melaka Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof.

Temu bual itu biasanya dilakukan untuk menentukan sama ada seseorang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Pihak pembela juga berniat mahu memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. Kedua-dua mereka dilaporkan kemungkinan mengelak daripada ditemu bual dalam kes liwat kedua Anwar kecuali disepina oleh mahkamah.

Selain Najib dan Rosmah, terdapat saksi lain termasuk bekas pengarah eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) Mohamad Ariff Abdul Kareem dan Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia Omar Malek Ali Merican.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada awal perbicaraan yang menyaksikan hari pertama Anwar semalam dipanggil membela diri.

Zabidin dalam keputusannya berkata apabila pendakwa raya menawarkan saksi maka pendakwaraya bertanggungjawab memastikan saksi hadir ke mahkamah.

Hakim juga bersetuju peguam bela berhak menemubual saksi dengan syarat saksi sedia ditemubual di mahkamah.

Bagaimanapun, menurut Zabidin adalah terpulang kepada saksi sama ada mereka mahu ditemu-bual ataupun tidak.

Zabidin berkata, pihak pembelaan ada hak untuk temuramah saksi berdasarkan syarat saksi itu, yang bersetuju untuk ditemuramah.

Anwar pada 16 Mei lalu diperintahkan membela diri selepas mahkamah memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.


http://www.kl-today.com/2011/08/2-saksi-pertama-gagal-ditemubual/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...