Saturday, August 6, 2011

Gempur gereja: PAS tolak terlibat

Posted by admin on August 5th, 2011

Khalid Samad menjauhkan kepimpinan PAS Selangor daripada kenyataan Exco Kerajaan Negeri Datuk Hasan Ali yang mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sambil berkata majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utara bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam.Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan pandangan Hasan yang dikeluarkan petang semalam bukan pendirian PAS Selangor, sekali gus memperlihatkan perpecahan yang mendalam dalam hubungan kepimpinan parti itu di peringkat negeri itu.

“Apakah penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah al-Quran dan doa? Ini bukan pendirian PAS. Ia pendirian beliau sebagai Exco yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama,” katanya lagi.

“Muslim hadir di gereja bukan petanda murtad. Datuk Seri Najib Razak menemui Pope di Vatican. Adakah ia menunjukkan murtad?” kata Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Jais dan polis dilaporkan telah mengadakan serbuan ke atas gereja itu yang terletak di Petaling Jaya malam kelmarin ekoran satu aduan yang tidak spesifik.

Serbuan itu dibuat kira-kira tiga minggu selepas Najib mengunjungi Pope di Vatican untuk menjalin hubungan diplomatik.

Hasan merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor sehingga awal Jun lalu. Beliau digantikan dengan Adun Meru dan Khalid turut dilantik semula sebagai salah seorang timbalannya.

Khalid menegaskan, tidak kira apa juga undang-undang, Jais seharusnya hormat premis gereja dan mendapatkan waran sebelum mengambil tindakan.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu seringkali memperlihatkan perbezaan pendapat dengan Hasan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008.

Dalam kenyataannya dikeluarkan lewat petang semalam, Hasan mempertahankan tindakan Jais yang menyerbu majlis makan malam Gereja Methodist Damansara Utama atas alasan ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.

Hasan menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan pada majlis itu.

Hasan menambah, seramai 12 orang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat.

Kenyataan itu berkata kesemua 12 mereka telah diarah untuk hadir di Jais bagi siasatan lanjut. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Malam satu kenyataan semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri Selangor memandang serius tindakan Jais dan polis menyerbu majlis makan malam muhibbah itu.

Khalid berkata beliau secara peribadi telah menghubungi Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden tersebut.

Ho berkata, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam kelmarin.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

“Ini adalah majlis makan malam bagi orang ramai datang atas semangat 1 Malaysia. Kebanyakannya beragama Kristian… ada juga (hadirin), kira-kira 15 orang Melayu,” katanya lagi.


http://www.kl-today.com/2011/08/gempur-gereja-pas-tolak-terlibat/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...