Saturday, August 6, 2011

JAIS pertahan isu serbu gereja

Posted by admin on August 5th, 2011

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertahankan tindakannya membuat serbuan pada majlis makan malam Gereja Methodist Damansara Utama Rabu lalu.Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, pihaknya akan mengeluarkan laporan penuh mengenai serbuan tersebut selepas siasatan terhadap 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan selesai.”Kita akan sediakan laporan nanti selepas siasatan selesai. Siasatan terhadap 12 orang berkenaan akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Selain itu Marzuki berharap isu serbuan berkenaan tidak dijadikan isu kerana ia dibuat demi menjaga kepentingan umat Islam.

“Kita harap perkara ini tidak dikontroversikan, tiada sebarang tangkapan sebaliknya hanya pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai gesaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan pihak berkuasa agama itu.

Abdul Khalid yang melahirkan kekesalannya berhubung insiden itu menyatakan kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara itu dan mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.

Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.


http://www.kl-today.com/2011/08/jais-pertahan-isu-serbu-gereja/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...