Saturday, August 6, 2011

Lebih 1,000 PR didakwa jadi warga, PAS S'gor lapor polis

Jimadie Shah Othman
Ogos 5, 11
5:14pm

PAS Selangor hari ini membuat laporan polis ekoran dakwaan pertukaran rekod lebih 1,000 penduduk tetap (PR) menjadi warganegara dalam masa satu hari sahaja.

Setiausaha jabatan pilihan raya PAS negeri Mohamad Asri Sapar berkata, selepas memfailkan bantahan rasmi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Ogos, maklumat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertukar keesokan harinya.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya, beliau terkejut kerana rekod 1,108 penama itu bertukar menjadi warganegara.

"Saya khuatiri ada pihak-pihak tertentu sedang berusaha untuk memasukkan bukan warganegara sebagai pengundi," laporan polisnya itu dipetik.

Beliau ditemani Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman ketika membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam petang ini.

Dalam aduannya, Mohamad Asri, 37, berkata beliau khuatir terdapat unsur subahat di kalangan SPR dan JPN untuk menjayakan "usaha haram" itu.

"Adalah amat membimbangkan sekali bahawa usaha haram ini bukan sahaja akan menjejaskan proses pilihan raya di negara ini malah turut menjejaskan integriti kad pengenalan serta kepentingan dan keselamatan negara," katanya.

Mohamad Asri juga menyerahkan senarai 1,108 nama terlibat untuk membantu siasatan pihak polis.


http://malaysiakini.com/news/172113

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...