Saturday, August 6, 2011

Geran: Pengampu Umno bising sudah dijangka

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Seperti yang dijangka akan bangunlah puak Umno tegar yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas tindakan Selangor menyediakan geran memfailkan bantahan daftar pengundi baru kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Begitupun, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Paktan Rakyat Selangor yang proaktif dan pro rakyat untuk memastikan pilihan raya di negara ini berjalan dengan betul dan adil, dengan menyediakan geran berjumlah RM1 juta bagi membiayai usaha tersebut.

“Ini adalah hak rakyat untuk menentukan kepimpinan negara ini berjalan dengan betul,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya,negara akan rosak jika pemimpin yang menang bukan kerana kewibawaannya, sebaliknya kerana tipu muslihatnya melalui bantuan SPR.

Menurutnya, pengampu Umno takut hendak membuat kenyataan atas nama parti itu kerana orang yang tidak dapat melihat pun kenal tabiat buruk Umno.

Antaranya, kata beliau Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Ketua Pemuda Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Kebangsaan, Amir Hamzah Abdul Rajak dan Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar.

“Hujah puak pengampu Umno ini mudah sahaja, alangkah baiknya wang ini digunakan untuk rakyat Selangor,” ujarnya.

Tambahnya, mereka akan susah hati jikalau projek untuk kebaikan rakyat, tetapi menikus ketika pemimpin Umno membazir wang untuk kepentingan politik dan pemimpin Umno.

Katanya, rakyat tidak mendengar komen mereka ketika Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang menyiasat perkara-perkara berkaitan kewangan oleh Balkis, bekas Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor yang diketuai oleh isteri Dr Khir, untuk melihat sama ada terdapat salah laku.

Beliau berkata, pegawai-pegawai Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) dan PKNS dan yang lain memberi keterangan di perbicaraan Selcat adalah memeranjatkan.

Sebanyak RM1.7 juta telah dibayar untuk perjalanan ‘teknikal’ DisneyWorld dan Disneyland termasuk sewa bilik Presidensel di Honolulu bernilai RM110,000, RM200,000 untuk perjalanan ke Jogjakarta dan upah penari sahaja RM10,000 dan mereka juga membayar tiket penerbangan untuk orang gaji Dr Khir untuk menyertai perjalanan itu.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata mesyuarat Exco telah bersetuju menubuhkan geran tersebut.

Beliau menambah, geran itu terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik.

Oleh kerana dana kerajaan negeri digunakan, ujarnya bantahan itu hanya melibatkan kawasan di Selangor sahaja.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius aduan-aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi yang sedia ada dan senarai daftar pengundi baharu.

Menurutnya, aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf permaustatin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merunsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera.

“Kerajaan Selangor berpandangan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka jalan kepada satu pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4729-geran-pengampu-umno-bising-sudah-dijangka

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...