There was an error in this gadget

Thursday, August 25, 2011

Khir Toyo: Bukan ancaman, cuma peringatan



Salhan K Ahmad
Ogos 25, 11
4:07pm


Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo hari ini menafikan tanggapan bahawa beliau memberi ancaman kepada Umno apabila menimbulkan dakwaan berhubung konspirasi di kalangan tiga orang menteri ke atasnya.

Sebaliknya, kata Khir, ia hanyalah satu peringatan dan teguran kepada individu berkenaan, yang tetap enggan dinamakannya.

khir toyo interview 150910Beliau juga tidak berpendapat bahawa kenyataannya – berhubung konspirasi tiga orang menteri berkenaan supaya beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah – akan melemahkan lagi Umno dan BN Selangor.

"Tak ada (ancaman). Terpulanglah kepada siapa yang kena tegur itu. Mereka sepatutnya kerja lebih keras untuk perkukuhkan Umno dan memenangi pilihan raya, lebih-lebih lagi di Selangor," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, individu berkenaan sepatutnya menumpukan ke arah usaha berkenaan dan bukannya terhadap kes perbicaraan yang sedang dihadapinya.

Ditanya sekiranya salah seorang daripada individu berkenaan merupakan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Noh Omar, Khir hanya tertawa.

"Saya tak mahu sebut sesiapa. Siapa makan cili, dia rasalah pedas. Siapa makan nangka, dialah yang kena getah, bukan?," kiasnya.

Dalam pada itu, Khir turut memberi peringatan kepada individu berkenaan supaya tidak mengganggu sistem kehakiman

Beliau menimbulkan isu berkenaan kerana berasa ragu setelah menerima surat berhubung arahan mahkamah mengenai keputusan supaya beliau membela diri atas dakwaan yang dihadapinya.

"(Tapi) saya dapat (surat berkenaan) seminggu sebelum mahkamah buat keputusan (supaya membela diri). Surat itu dari mahkamah Shah Alam tapi nombor faksnya dari Putrajaya," katanya lagi.

Jelasnya, surat tersebut menimbulkan tandatanya kerana pada kebiasaannya surat seperti itu akan dihantar selepas sesuatu keputusan mahkamah dibuat.

"Kalau ikut peguam saya, amalan seperti ini jarang berlaku," katanya lagi yang menambah, salah satu daripada dua pucuk surat itu ditandatangani oleh seorang pegawai mahkamah.

Ditanya sekiranya beliau berpendapat bahawa surat berkenaan menunjukkan wujudnya campurtangan pihak tertentu dalam keputusan mahkamah, Khir berkata beliau tidak ingin membuat sebarang kesimpulan.

"Sukar untuk saya katakan, tapi ianya pelik bagi saya (terima surat sebelum keputusan mahkamah dibuat). Biarlah rakyat umum yang tentukan.

"Saya masih percaya kepada sistem perundangan. Sebab itu saya tidak buat kenyataan. Mahkamah sepatutnya bebas daripada sebarang pengaruh.

"Ianya hanya satu peringatan kepada mereka yang terlibat, jangan ganggu sistem (kehakiman). Saya cuma memberi peringatan kepada mereka bertiga supaya kembali kepada perjuangan asal," katanya lagi.



http://malaysiakini.com/news/174105

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...