Sunday, August 21, 2011

PPSMI: Najib kena buat pendirian akhir

Posted by admin on August 21st, 2011

Pertubuhan bukan kerajaan Page merayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam isu membenarkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia ekoran dua pendirian berbeza Kementerian Pelajaran minggu lalu.

Dalam satu kenyataan terbaru hari ini, pertubuhan itu merayu agar diberi peluang kepada pihak pro-PPSMI dan anti-PPSMI membentangkan kepada jemaah menteri Kabinet pandangan dan biarkan jemaah menteri memutuskan isu semasa berdasarkan fakta yang betul dan tidak berat sebelah.

Timbalan Pengerusi Page Sulaiman Mahran berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Dr Puad Zarkashi bahawa kementeriannya tegas untuk menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), tiga hari selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan menyatakan kementeriannya masih mengkaji kemungkinan membenarkan opsyen menggunakan Bahasa Inngeris mengesahkan kenyataan “saya dua hari (Rabu) lepas bahawa kata-kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan itu hanyalah wayang kulit politik untuk membeli masa hingga pelaksanaan MBMMBI pada 2012.”

“Kami tidak kisah jika pihak menteri menganggap kami ibu bapa bodoh dan mudah ditipu tetapi kami mohon di hari baik dan bulan baik Ramadan ini, janganlah memperjudikan masa depan anak-anak bangsa kita dengan retorik perjuangan bahasa,” kata beliau hari ini.

Katanya, sudah berabad-abad orang Melayu memeluk agama Islam, namun sehingga kini kebanyakan orang Melayu tidak dapat menghayati Islam sepenuhnya sebab kita belajar agama dan al-Quran dalam Bahasa Malaysia sedangkan lingua franca ajaran agama Islam adalah Bahasa Arab.

“Kebanyakan kita berpaut sepenuhnya pada ustaz-ustaz dan tidak kepada al-Quran dan hadis sebab tidak faham bahasa al-Quran.

“Begitu juga dengan ilmu sains dan matematik. lingua francanya adalah Bahasa Inggeris,” kata beliau sambil menambah, “tidak mungkin kita menjadi ilmuan tinggi dalam bidang ini dalam Bahasa Malaysia.”

Katanya, “setakat jadi juara kampung bolehlah.”

Beliau menambah, walaupun Page sedar bahawa Perdana Menteri khlas untuk mendengar suara rakyat dan telah menyatakan, ‘the days of the government knows best are over’, namun “the Little Napoleons” di bawahnya mempunyai visi dan mentaliti yang berlainan dengan pucuk kepimpinan.

“Walaupun suara rakyat terang-terang mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka namun Dr Puad masih mahu menegakkan yang ‘the government knows better’.

“Namun alasan kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris yang diberinya sangat cetek dan tidak berasas,” katanya lagi.

Tambah beliau, seorang menteri Kabinet yang Page temui telah menyatakan bahawa Kabinet tidak diberi fakta yang betul semasa diminta membuat keputusan untuk menamatkan PPSMI.

Khamis lalu, Page mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya berharap kajian menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah tidak akan menjadi “wayang kulit politik yang tidak berkesudahan.”

Sehari sebelum itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah.

Muhyiddin berkata, kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Sulaiman berkata Page mahu kerajaan dalam memutuskan pelaksanaan MBMMBI, memberi pertimbangan agar opsyen PPSMI dibawa ke Kabinet untuk diluluskan.


http://www.kl-today.com/2011/08/ppsmi-najib-kena-buat-pendirian-akhir/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...