There was an error in this gadget

Saturday, October 15, 2011

BAJET 2012: DANA RAKYAT ATAU PEMIMPIN?

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 15TH, 2011

Adil Mat Selamat

Sebagai sebuah kerajaan yang mana parti tonggaknya berideologikan satu kaum, persoalan sering timbul tentang bagaimana ia mahu mengendalikan dana rakyat pelbagai kaum yang tersimpan di kantong negara untuk dipunggah dan diagihkan secara adil kepada semua.Dalam Bajet BN yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan baru-baru ini yang berhasrat ‘memacu pembangunan masyarakat Bumiputera’, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah diberi mandat untuk melaksanakan agenda dan menyalurkan bantuan dana kepada rakyat khususnya peniaga-peniaga kecil Bumiputera.

Najib telah mengumumkan sebuah lagi skim dana iaitu Dana Mudahcara Bumiputera, enak sungguh nama ini bila didengar, dengan bantuan berjumlah RM300 juta.

Dalam pada itu juga, KKLW akan membimbing 1,100 buah syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk dibangun atau dimajukan. Sudah pasti kos untuk ‘membimbing’ syarikat-syarikat kecil ini juga akan menelan kos.

Bagus jika kerajaan mahu membantu dan membangunkan ekonomi kaum Bumiputera yang patut mendapat bantuan.

Tetapi pada dasarnya, beberapa persoalan telah timbul:

* Adakah jaminan pihak kerajaan khususnya KKLW bahawa proses permohonan dan karenah birokrasi dapat diatasi atau paling tidak dikurangkan?

* Adakah ada jaminan bahawa dana ini kelak akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan?

Antara niat dan karenah birokrasi

Di bawah KKLW sudah sedia wujud beberapa badan yang sudah sarat dengan pelbagai program di setiap satu bahagian dan bermacam-macam karenah birokrasi baik dari aspek proses permohonan, pengesahan, perbincangan dan lain-lain.

Bagi kita rakyat yang tidak mudah lupa, suatu ketika dulu dan ia sudah pun menjadi rahsia umum, di mana skandal Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah RISDA hingga hari ini tiada apa-apa tindakan yang telah diambil.

Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2000 mengesahkan secara jelas kira-kira RM40 juta peruntukan projek telah diselewengkan. Hanya rakyat yang lebih arif, siapa penghisap darah rakyat dalam kes ini.

Lihatlah, bagaimana UMNO-BN yang sepatutnya menolong rakyat miskin sedangkan pada masa yang sama hak rakyat termiskin ini turut dibahamnya. Inilah yang dikatakan Drakula, lebih menyedihkan, mangsanya adalah Bumiputera miskin sendiri.

Dan ada lagi yang amat-amat menyedihkan, rakyat miskin yang telah hidup-hidup dibohong oleh UMNO ini masih terus menyokong UMNO setelah digula-gulakan dengan kain batik dan kain pelikat semasa kempen pilihan raya, dan sekarang ini kena ditambah sedikit wang tunai.

Begitu sekali UMNO menjual anak bangsanya.

Oleh yang demikian, berdasarkan sejarah dan sistem dalam kementerian yang masih lagi sama seperti dahulu, apakah jaminan kerajaan bahawa semua dana-dana ini akan diurus dengan betul dan telus?

Tawaran sebenar untuk rakyat

Dalam hal ini, Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat tidak culas dalam memahami dan membantu golongan luar bandar dan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana renedah.

Antara lain Pakatan menawarkan:

  1. Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran.
  2. Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.

‘Disentralisasi’ ini jelas memberi makna ‘kuasa atau monopoli’ kroni kerajaan dalam melaksana dan mengurus pembangunan luar bandar akan dikurangkan, jika tidak dihapuskan sama sekali.

Dengan maksud lain, kerajaan PR apabila memerintah kelak, akan memberi kebebasan dan dorongan kepada pengusaha di luar bandar untuk merencana dan mencorak sendiri aktiviti ekonomi dan pembangunan mengikut kehendak dan keperluan mereka sendiri.

Bukankah ini demokrasi namanya?

Bukankah rakyat tidak mahu dikongkong malah mahu berdikari demi menentukan apa yang mereka mahukan di dalam kawasan mereka sendiri?

‘Hak rakyat’ adalah asas pertama dalam perjuangan Pakatan Rakyat di mana ia adalah penentu sebelum dana atau wang disalurkan.

Kuasa monopoli BERNAS juga akan turut dihapuskan. Ini bertujuan memberi dan mewujudkan persaingan pengusaha/usahawan yang sihat. Dengan dasar ini, maka kualiti dan produktiviti akan lebih mudah meningkat.

Bukankah ini dasar mewujudkan satu sistem yang telus?

UMNO tidak perlu segan untuk belajar dalam hal ini. Lagi pun ia untuk kepentingan rakyat.

http://www.kl-today.com/2011/10/bajet-2012-dana-rakyat-atau-pemimpin/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...