There was an error in this gadget

Saturday, October 15, 2011

KELUARGA TOLAK HASIL INKUES KORONER

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 15TH, 2011

Keluarga Ahmad Sarbaini Mohamed sekali lagi menggesa agar suruhanjaya diraja diadakan untuk menyiasat kematian bekas pegawai Kastam Diraja Malaysia itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.Naib Presiden PKR N. Surendran berkata keluarga Allahyarham Sarbaini sehingga kini tidak boleh menerima keputusan koroner.Surendran berkata keluarga Sarbaini tidak dapat menerima keputusan memandangkan koroner didakwa telah mengetepikan keterangan pakar bahawa rakaman CCTV yang diambil ketika kunjungan ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan telah dipadamkan dengan sengaja.

“Ini sesuatu yang sangat luar biasa. Koroner mengatakan bahawa ia kesilapan manusia dan tidak memberi perhatian yang sebenar ke atas isu ini,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR. Turut hadir ibu Sarbaini dan adik-beradiknya. “Tetapi apa yang penting ialah ada keterangan pakar polis dari makmal forensik polis di Cheras… yang dengan jelas mengatakan bahawa (rakaman) CCTV telah diusik oleh seseorang yang mahir,” katanya lagi.

Surendran berkata sukar untuk diterima apabila koroner menerima keterangan bahawa wujud elemen kesilapan manusia, yang disampaikan oleh pengarah SPRM Wilayah Persekutuan tetapi menolak pandangan pakar forensik yang layak.

“Siapa yang mengusik dan mengapa koroner tidak memberi tumpuan ke atas butiran ini? Mengapa beliau mengetepikannya? Sehingga kini, tiada penjelasan mengapa atau bagaimana rakaman CCTV diambil ketika Sarbaini mati dipadamkan,” kata beliau.

Dalam keputusannya akhir bulan lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.

Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam penghakimannya berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.

Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian disebabkan nahas, kata koroner.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Mengenai teori Sarbaini mengambil nyawanya sendiri atau membunuh diri, Aizatul Akmal berkata beliau tidak percaya dengan teori bahawa Sarbaini berbuat demikian kerana ketiadaan bukti berlakunya perkara itu.

“Keterangan pakar patologi forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Faridah Mohd Noor menunjukkan arwah tidak membunuh diri berdasarkan ketiadaan tanda-tanda yang biasanya wujud dalam kes sedemikian iaitu kelar di mana-mana bahagian anggota badan atau kandungan dadah atau racun di dalam badannya,” katanya.

Aizatul Akmal berkata pakar perunding kanan patologi di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shahrom Abdul Wahid juga menolak kemungkinan bahawa Sarbaini akan membunuh diri kerana tiada kesan luka akibat cubaan membunuh diri yang dijumpai pada tubuh Sarbaini.

“Tiada nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian dan tiada kesan dadah atau alkohol pada sampel darah si mati mahupun pada air kencing atau kandungan perut si mati, dan kedua-dua pakar itu menolak kemungkinan arwah mati disebabkan apa-apa penyakit,” katanya.

Aizatul Akmal mendapati teori bahawa Sarbaini telah dibunuh disangkal Dr Faridah dan Dr Shahrom dalam keterangan mereka.

Aizatul Akmal berpendapat sekiranya Sarbaini dipukul, pengsan dan kemudiannya dibuang ke luar tingkap, pastinya tiada kesan beliau cuba melawan kejatuhannya.

Menurutnya, tiada elemen khianat dalam kematian Sarbaini kerana tiada penglibatan pihak ketiga dan tiada apa-apa keterangan yang dapat menunjukkan mana-mana orang yang terlibat secara jenayah dalam sebab-sebab kematian Sarbaini.

Inkues yang bermula pada 4 Julai dan berakhir 4 Ogos lepas menyaksikan 34 saksi memberi keterangan termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, pegawai forensik dan beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia.

Keluarga Sarbaini tidak akan berhenti daripada mengenakan tekanan ke atas kerajaan sehingga suruhanjaya diraja diadakan bagi menyiasat kematiannya, kata Surendran.

“Mereka akan terus mengenakan tekanan dan menekan sehingga kami mendapat suruhanjaya diraja dan sehingga kami mendapat kebenaran. Ia tidak akan berakhir di sini,” kata beliau lagi.

http://www.kl-today.com/2011/10/keluarga-tolak-hasil-inkues-koroner/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...