Saturday, October 15, 2011

HANYA MUSLIM JAHAT TAKUT HUDUD

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 15TH, 2011

Pertamanya tahniah kepada komponen Pakatan Rakyat atas sikap saling menghormati dan cuba memahami kerenah serta kehendak antara parti-parti komponen. Pertembungan ketegasan generasi senior PAS dan DAP berkaitan dapat direda oleh generasi pertengahan serta generasi baru bukan saja dalam Pakatan Rakyat, bahkan mereka yang sekadar memerhati dari luar.

Tulisan ini sekadar mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda terhadap kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka yang berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada yang mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha, menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam kepada masyarakat keseluruhannya? Kebiasaannya mereka yang menentang hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada jahil , atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan Hudud digeruni oleh Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu takut.

Memang sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima sesuatu yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika majoriti menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan (kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Tidak pasti persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat umum memandang serong terhadap usaha PAS mendaulatkan hukum Islam. Mufti-mufti, ulama’ samada dalam UMNO atau non partisan mendiamkan diri, tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain.

Tidaklah juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS, SNAP atau mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat PAS mengangkat hudud untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau menyanggah kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam agama mereka? Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama.

Namun, jika ahli UMNO sendiri menyanggah dan cuba mengelirukan dengan memberikan gambaran negatif, sedangkan non muslim dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) boleh menyokong bahkan sedia memberi penerangan kepada rakan-rakan non muslim, mungkin UMNO boleh berkursus atau mengambil subjek Perundangan Islam dari mereka (sekadar sindiran).

Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey “semua” rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal? Adakah mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat penguatkuasa? Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di mahkamah? Pastinya ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang mengatakan undang-undang sedia ada samada undang-undang sivil mahupun syariah perlu dihentikan sementara dan dilaksanakan semula apabila “semua” rakyat mengetahui kandungannya dan hak mereka.

Dalam kes qazaf, agak pelik juga Jabatan Agama Islam negeri-negeri seolah-olah tidak memberi respon terhadap tuduhan demi tuduhan terhadap dakwaan liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Paling tidak pun, mereka kata ini bukan di mahkamah syariah sebagai mencuci tangan. Sehingga JAWI ( Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pun menolak untuk dilibatkan atas alasan bukan urusan mereka. Jangan nanti ada yang berkata bila ada organisasi agama lain yang campurtangan terhadap urusan perjalanan tuduhan liwat ini, barulah geng-geng nasionalis bertempik supaya orang non muslim jangan campurtangan urusan agama Islam.

Apa yang susahnya untuk membuktikan UMNO yang mengaku beragama Islam mendakwa DSAI dibawah undang-undang Islam? DSAI beragama Islam, Dr Munawar Anees seorang muslim, Sukma Darmawan seorang muslim, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga muslim, apakah susah untuk dibawa ke mahkamah syariah? Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi keseluruhan perjalanan kehidupan termasuk undang-undang sudah pasti sepatutnya digunakan demi menegakkan keadilan.

Satu ketika kononnya negarawan kita berkata lebih kurang maksudnya jika nak makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang maksud jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak maju? Bgaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya. Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya. Persoalannya, adakah dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda wang ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat Islam diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka ingin mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan Ramadhan tidak dilaksanakan kepada non muslim?

Apa maksud adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya tak adil (samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik lelakinya baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa ibunya tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuk sedikit sedangkan abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang berkata tak adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang isteri dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya.

Adakah mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan keyakinan terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu serta dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis?

Apa pun, tahniah buat pimpinan Pakatan Rakyat kerana cermat menghadapi isu ini. PAS perlu lebih berkerja keras untuk menerangkan kepada rakyat menggunakan segala medium terhad yang ada sebagai jihad bekal mengadap Allah di akhirat kelak.

http://www.kl-today.com/2011/10/hanya-muslim-jahat-takut-hudud/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...