There was an error in this gadget

Saturday, October 15, 2011

TIADA SEBAB MELAYU HILANG KUASA!

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 14TH, 2011

Zeanaaima Mohd Yusof

Kenyataan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Melayu akan kehilangan kuasa ekonomi, sosial dan politik di Malaysia amatlah mengerikan. Katanya, menilai suasana politik hari ini, keadaan ini akan berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi.Malah, contoh dilema Melayu Singapura yang tidak berdaya memprotes daging babi dihidangkan dalam majlis rasmi membabitkan orang Melayu yang dikemukakan Tun Mahathir seharusnya menginsafkan betapa porak perandanya negara ini jika ramalan beliau jadi kenyataan.
Teras hujah beliau ialah perpaduan yang menjadi unsur utama kekuatan politik Melayu kini sudah terburai oleh sengketa politik sesama Melayu. Perpecahan ini akan melemahkan segala rongga dan raga Melayu – baik di segi ekonomi, sosial dan agama mereka.

Tun Mahathir menggambarkan, dalam keadaan di mana orang Melayu menjadi anggota minoriti dalam mana-mana perkongsian kuasa, mereka akan terpaksa “berhutang” kepada pihak lain untuk memperkukuhkan kedudukan. Setiap hutang perlu dibayar. Maka semakin lunturlah penguatkuasaan Melayu di bumi sendiri.

Sudah pasti tanpa perlu dirujuk kembali kepada mantan Presiden Umno ini apakah penawar kepada persoalan yang akan menjadi igauan bangsa Melayu zaman berzaman ini, semua yang berkepentingan akan dapat menggapai formula penyelesaiannya – kukuhkan perpaduan Melayu, insyaAllah, kemurungan bangsa dapat dielakkan.

Yang berat di bahu setiap insan Melayu yang ingin mengelakkan ramalan Dr Mahathir ini menjadi kenyataan ialah bagaimana cara mereka menyusun kesatuan dan perpaduan daripada puing-puing perpecahan hari ini?

Mengapakah mudah sangat Melayu terdorong untuk memperkecil, mempersenda dan paling jelek sekali mememufarakahkan Melayu lain dalam persaingan mengukuhkan kuasa dan penguasaan? Keyakinan diri yang melampau lazimnya menelurkan keangkuhan dan apabila dibelit dengan pengaruh kuasa mutlak akan melorong kepada kezaliman!

Ini hakikat. Dalam lipatan sejarah Melayu keadaan ini terus berulang. Dengki, irihati dan taksub pada kebolehan sendiri menternak perpecahan di kalangan Melayu. Sudah tentu Tun Mahathir yang banyak berfikir tentang perkara perpecahan Melayu ini akur akan realiti sejarah Melayu ini.

Soalnya bolehkah citra negatif ini dikikis? Tentu boleh. Tun Mahathir sendiri pernah berjaya melakukannya. Apabila mengambil alih kuasa Perdana Menteri pada 1981, Tun bermula dengan keikhlasan menghimpunkan segala unsur dan potensi kekuatan Melayu. Tiada banteng ideologi yang boleh mengalih fokusnya.

Sebagai pemikir, Tun Mahathir mengenalpasti individu, pertubuhan dan gerakan Melayu yang ada. Beliau juga cekap memahami jalur yang boleh mengukuhkan perpaduan Melayu ialah Islam – ideologi yang perlu dibentangkan dari kacamata yang positif.

Pertama sekali beliau mengenalpasti individu. Maka Presiden Angkatan Belia Islam (Abim) Anwar Ibrahim ditambatnya. Pemuda itu dilamar menyertai Umno. Jalur agama disulam dengan idealisme belia. Peremajaan Umno segera menjadi realiti. Tun Mahathir pun menggandingkan Anwar dengan Sanusi Junid, Rais Yatim, Adib Adam, dan ramai lagi untuk sentiasa menghangat dan mengakrabkan perpaduan Melayu.

Berduyun anak muda Melayu berjinak dengan Umno. Keghairahan berpolitik, memelihara kepentingan agama, ekonomi Melayu, menjadi pendorong asli. Sejak itu, Melayu yang agak konservatif anutan mereka kurang mendapat perhatian ummah. Mereka hanya berlingkar di kalangan orang yang berfikiran jumud dan tercicir dalam sayembara mempupuk kekuatan umat Melayu.

Saat kritikal sama ada program kejuruteraan sosial atau tindakan afirmatif untuk menyusun semula masyarakat yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru masuk ke penghujung hayat pelaksanaannya pada 1990, dilalui dengan mudah kerana kuasa politik Melayu ketika itu amat gah.

Itu adalah dividen perpaduan. Namun yang jadi persoalannya mengapa realiti hari ini tidak demikian bagi orang Melayu? Mengapa perlu ada Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam seMalaysia (PAS), bersaing dan berdendam bunuh membunuh sesamai sendiri hanya didorong oleh idealisme Melayu yang songsang?

Pelaku politik yang menentukan perpaduan Melayu 1990an masih wujud. Malah masih aktif. Umum tahu, perpecahan yang melumpuhkan perpaduan Melayu berlaku dalam zaman pemerintahan Tun Mahathir sendiri.

Malah beliau sendiri menguasai lebih 40 peratus senario politik Melayu moden pasca kemerdekaan. Hingga hari ini ketokohannya masih dhormati. Beliau yang mentautkan perpaduan Melayu tetapi di zaman beliau juga terungkai kekuatan Melayu.

Cuma Tun Mahathir paling layak dan yang perlu memulakan gerak Melayu berpadu – cari kekuatan dari syariah agama, tenaga orang muda, gilap idealisme bangsa – dan paling penting lunturkan keyakinan diri yang melampau bahawa hanya satu pihak sahaja (tidak kira ia bermaksud Dr Mahathir atau Umno sahaja) layak menerajui perpaduan Melayu.

Menafikan ada pihak Melayu lain yang mampu menyumbang pada pengukuhan ikatan Melayu adalah satu dosa.

Itulah punca kekalutan, ketakutan Tun Mahathir mengenai masa depan Melayu. Berilah salam kepada mereka yang dianggap seteru. Rangkullah mereka dalam selimut Melayu yang berpadu.

Dan bukan kerap menghamburkan kebencian, kedengkian dan persengketaan di khalayak generasi baru yang sentiasa dahagakan iklim politik, ekonomi, sosial dan penghayatan agama umat yang berpadu.

Jadikanlah perbezaan pendapat benar-benar satu rahmat!

http://www.kl-today.com/2011/10/tiada-sebab-melayu-hilang-kuasa/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...