Friday, October 7, 2011

Bajet 2012: Saya Mendengar Permintaan Anda - Najib

Khamis Oktober 6, 2011

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau gembira dengan penglibatan orang ramai dalam mengemukakan cadangan mengenai belanjawan kepada kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dalam persediaan pembentangan Belanjawan 2012 pada Jumaat ini, beratus-ratus cadangan diterima daripada rakyat dan organisasi-organisasi perwakilan di mana perkembangan itu amat menggembirakannya walaupun terpaksa mempertimbangkan setiap cadangan dikemukakan.

"Selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, pada minggu ini saya akan menyampaikan satu daripada amanat yang paling penting dalam mana-mana masyarakat demokratik iaitu perancangan bajet bagi tahun yang akan datang.

"Dalam persediaan bajet ini, saya dan kerajaan turut menjemput orang ramai untuk mengemukakan cadangan-cadangan mengenai bajet kepada kerajaan di mana ratusan cadangan telah diterima daripada rakyat Malaysia dan organisasi-organisasi perwakilan dan saya gembira dengan perkembangan ini, walaupun terpaksa mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan," katanya dalam entri terbaru "Menghitung Hari Ke Pembentangan Bajet" pada blog www.1Malaysia.com.my malam Rabu.

Najib berkata perkembangan itu menunjukkan pendekatan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bukanlah satu slogan tetapi adalah mengenai nilai-nilai murni termasuklah menilai cadangan dibuat orang ramai.

Beliau berkata proses menentukan belanjawan itu adalah berlatarbelakangkan kemajmukan dan kepelbagaian ekonomi di Malaysia di mana tidak ada satu jawapan atau jalan penyelesaian yang sudah tersedia yang boleh diguna pakai setiap kali.

Najib berkata pada dasarnya, Malaysia mempunyai ekonomi yang stabil dengan pertumbuhan kukuh berterusan dan pertumbuhan positif itu pula datang dengan cabarannya tersendiri iaitu harapan dan aspirasi rakyat yang tinggi kerana mereka mahu berupaya untuk merancang masa hadapannya dengan penuh yakin.

"Inilah Malaysia, sebuah masyarakat yang sedang mengharungi arus peralihan. Kita sedang mengalami, antaranya, peningkatan jangka hayat, pembandaran yang semakin pesat dan peningkatan pada tahap dan peluang pendidikan.

"Perubahan sosio-ekonomi ini turut memupuk satu Malaysia yang baru, yang dipenuhi dengan cita-cita dan aspirasi yang memberangsangkan.

"Inilah sesuatu yang saya anggap sebagai "masalah yang baik", yang menunjuk ke arah hadapan, mencabar kita untuk menguji tahap keupayaan masing-masing untuk melangkaui batas ke peringkat yang lebih tinggi.

"Inilah yang telah terkandung dalam visi pengasas-pengasas kita terdahulu, inilah yang telah mereka perjuangkan tanpa mengira penat lelah, sebelum dipertanggungjawabkan kepada kita untuk diteruskan. Inilah tanggungjawab yang saya bertekad untuk laksanakan bersama-sama anda semua," katanya.

Perdana Menteri berkata kemerosotan ekonomi global telah memberi kesan yang mendalam kepada negara-negara di seluruh dunia dengan Malaysia tidak terkecuali dalam mengalami impak kenaikan harga komoditi-komoditi sedunia dan dasar-dasar berpandangan singkat sesetengah ekonomi.

Najib berkata kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi satu isu yang begitu serius sehinggakan kerajaan telah mengambil tindakan untuk memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketujuh bagi menangani masalah itu kerana beliau sedar di Malaysia, kumpulan yang paling merasai impak dari isu itu adalah antara yang paling gigih bekerja.

Beliau berkata sepanjang dua tahun tujuh bulan menerajui negara, beliau keluar bertemu dengan seberapa ramai rakyat dan mendengar pelbagai keluhan dan cerita termasuk mengenai gaji yang mereka terima, sukarnya menabung untuk membeli rumah, mendapatkan pendidikan terbaik bagi anak-anak serta menampung keluarga dan orang tua mereka.

Katanya rintihan itu diceritakan kepadanya oleh pelbagai rakyat yang ditemui dan ini menguatkan lagi azam beliau untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.

"Namun begitu, ada satu perkara harus diperjelaskan: masalah-masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan serta-merta, dan tidak akan lenyap sepenuhnya. "Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan oleh mana-mana individu. Biarpun ada pihak yang cuba meyakinkan anda dengan sesuatu usul, namun mereka tidak pula menjelaskan apa kesan keseluruhannya terhadap anda," katanya.

Najib berkata adalah menjadi kewajipan bagi seseorang pemimpin untuk memilih keputusan yang terbaik bagi kepentingan orang ramai namun, kerapkali juga keputusan itu terpaksa melepaskan kesenangan jangka pendek demi kemakmuran jangka panjang.

Katanya beliau tidak akan menjanjikan penyelesaian yang serta merta tetapi akan berusaha untuk memastikan asas-asas kepada dasar sedia ada betul untuk memelihara pertumbuhan ekonomi, yang kini berada di paras yang diidamkan oleh negara-negara lain yang lebih maju.

Ini termasuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan sektor pekerjaan dan untuk memastikan bahawa negara mempunyai dasar-dasar pekerjaan yang mengiktiraf perubahan realiti di Malaysia, terutama faktor jangka hayat yang meningkat, katanya.

Perdana Menteri berkata rata-rata rakyat yang ditemuinya faham apabila beliau menyatakan perkara-perkara sebegini malah mereka juga memahami bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti dan pada masa yang sama akan sentiasa menegakkan prinsip-prinsip 1Malaysia.

"Mereka faham bahawa sepanjang perjalanan kita ini, mereka digalakkan untuk berhubung dengan saya secara terus dan menyuarakan terus kepada saya tentang bagaimana dasar-dasar yang telah saya laksanakan mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka faham, dan saya pasti anda juga begitu," katanya.

Menyusuli pembentangan bajet Jumaat ini, katanya kerajaan akan meneruskan langkah untuk menjelaskan keputusan-keputusan ini kepada anda semua dan kesannya kepada semua rakyat Malaysia.

"Di samping itu, saya akan menulis susulan kepada blog ini mengenai bajet tersebut," katanya. -BERNAMA


http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=%2F2011%2F10%2F6%2Fmstar_berita%2F20111006094910&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...