There was an error in this gadget

Friday, October 7, 2011

HARUSSANI SOKONG HUDUD DI KELANTAN

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 6TH, 2011

Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) menasihatkan pentadbiran Najib agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan” selepas kerajaan pusat terus dengan pendiriannya menyekat langkah sedemikian atas alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.Menurut Mufti Perak, Putrajaya perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan hudud memandangkan undang-undang jenayah syariah Islam itu sudah digubal pada 1993.

“Kerajaan pusat perlu beri peluang kepada Kelantan untuk laksanakan hudud, Nik Aziz juga kata sudah bersedia… saya setuju dan sokong, cuma dari segi prosedur pelaksanaan perlu lengkap, lagipun nanti kalau kerajaan pusat tak benarkan nanti orang marah.

“Benarkan Kelantan laksanakan hudud, hudud bukan perkara senang nak dilaksanakan kerana banyak perkara perlu dipatuhi… benarkan sebagai percubaan untuk kita yang lihat bagaimana ia dilaksanakan dan kadar jenayah di Kelantan selepas ia dilaksanakan kemudian baru kita nilai,” kata beliau ketika dihubungi media.

Harussani yang sebelum ini berusaha mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya sejak selepas pilihan raya umum 2008 menegaskan, hukum hudud adalah tuntutan Islam dan ia perlu dilaksanakan sekiranya sudah bersedia.

“Kita nak kurangkan kadar jenayah, sekarang kalau kita lihat kalau merompak hukuman disebat dan dipenjara, jual dadah juga sama, tapi adakah mereka sudah insaf tapi kalau kudung tangan sudah pasti mereka akan berfikir dua kali… Islam laksana hudud, saya setuju,” katanya.

Beliau juga berkata, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

“Bukan Islam tiada kena mengena dalam hukum agama Islam, ia tidak akan dikenakan kepada bukan Islam,” katanya.

Ditanya mengenai hukum hudud tiada dalam sistem perundangan negara, Harussani berkata “hal undang-undang saya tidak tahu, saya tak mahu cakap tapi saya setuju dilaksanakan hudud.”

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini menegaskan untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Beliau turut meletakkan harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.

Selain itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu.

Pada 24 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS pada 1994.

Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Katanya, kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Ekoran satu kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelum respons Najib itu, Nik Aziz memohon Najib agar menarik balik surat 1994 dan membenarkan kerajaan negerinya melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

http://www.kl-today.com/2011/10/harussani-sokong-hudud-di-kelantan/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...