Suasana agak kecoh sebaik loceng dibunyikan apabila ahli parlimen Pakatan yang kelihatan ‘terlalu yakin’ akan dapat menggagalkan rang undang-undang itu mengejek wakil kerajaan yang mula berlari masuk untuk memenuhkan korum.
Bagaimanapun, sebaik sahaja keputusan diumumkan Pandikar Amin, beberapa anggota pembangkang yang kecewa terus meninggalkan dewan.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika menggulung rang undang-undang itu berusaha keras mempertahankan peruntukan dalam rang undang-undang itu bagi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.
Beliau menegaskan bahawa penubuhan perbadanan itu tidak sesekali berniat untuk mengambil tanah sesiapa di kawasan tersebut.
Katanya dengan nada penuh emosi berkata, penubuhan perbadanan itu sebaliknya hanya sebagai pemudah cara untuk membangun dan memajukan orang Melayu di kawasan itu.
Menurutnya kerajaan sudah meluluskan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang semuanya berkepentingan bumiputera iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), Perbadanan Putrajaya dan Permodalan Hartanah Berhad untuk membangunkan Kampong Bharu dan mempastikan kepentingan Bumiputera terpelihara.
“Kita tidak memberi ruang syarikat swasta untuk ambil alih tanah orang Melayu di Kampong Bharu kecuali dengan persetujuan mereka.
“Kalau tak ada perbadanan, bagaimana hendak bantu mereka yang tidak mampu untuk membangunkan sendiri tanah masing-masing,” tegasnya.
Rang undang-undang itu yang dikemukakan untuk bacaan kali pertama pada Isnin antara lain bertujuan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dengan tanggungjawab melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu.
Perbadanan itu juga berperanan untuk menggalak, merangsang, meningkat, memudah dan menyelaras pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu.
Semasa sesi perbahasan sebelum itu, dakwaan ‘jual Melayu’ yang dilontarkan seorang anggota Parlimen kerajaan kepada wakil rakyat PAS mencetuskan pertikaman lidah dan menjadikan sesi perbahasan rang undang-undang itu yang ‘panas’.
Keadaan itu berpunca apabila Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mencelah perbahasan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), mendakwa perbentangan rang undang-undang itu sebagai cubaan Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk menggadaikan orang Melayu.
Ekoran itu, Bung Moktar membalas dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa PAS yang sebenarnya menjual orang Melayu kerana parti itu mendewa-dewakan komunis sebagai pejuang.
“Yang menjual orang Melayu ialah PAS…dalam dewan ini Melayu pun kena jual…Batu (Tian Chua) jual. Hasrat murni kerajaan diputar belit.
“Kita (Barisan Nasional) tidak akan aniaya Melayu, Cina, India. Kita bangun bersama-sama untuk masa depan negara kita,” katanya.
Dakwaan Bung Mokhtar itu menyebabkan beberapa ahli parlimen Pakatan bangun untuk membantah dan mendesak ahli parlimen Kinabatangan itu menarik balik kenyataannya menyebabkan keadaan menjadi hingar-bingar.
Pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang berterusan kira-kira lima minit sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee bertindak mengetuk penukul keadilan sebanyak tiga kali dan meminta semua ahli parlimen bertenang.
Bagaimanpun cubaan Ronald gagal mententeramkan keadaan apabila masih ada ahli parlimen yang terus bertikam lidah, termasuk Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) yang mengemukakan Peraturan Mesyuarat dan meminta Bung menarik balik kenyataannya kerana mendakwa Bung Mokhtar telah mengeluarkan banyak kenyataan yang menghina.
“Sepanjang perbahasan, Kinabatangan tuduh kita dijual sedangkan perbahasan berhubung Kampong Bharu. Yang hendak dijual ialah orang Kampong Bharu oleh Umno.
“Dia keluarkan banyak perkataan menghina, saya rasa ia satu cara perbahasan yang tak Parlimentarian,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan Ronald terpaksa mengambil ketetapan bahawa tidak ada sebarang pelanggaran Peraturan Mesyuarat berlaku, kerana berpendapat Bung Mokhtar tidak bermaksud menjual sesiapa, sebaliknya menyifatkan ahli parlimen Shah Alam itu membuat terjemahan secara literal.
http://www.kl-today.com/2011/10/rang-undang-undang-kg-baru-diluluskan/
No comments:
Post a Comment