Friday, October 7, 2011

JAIS ’SIASAT’ GEREJA DUMC, BUKAN ’SERBU’

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 6TH, 2011

Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini menegur media yang melaporkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja pada Ogos lalu sebagai satu “serbuan.”Katanya, istilah berkenaan menyebabkan JAIS dilihat “kasar” dalam tindakannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama itu.Sebaliknya, media harus melaporkan tindakan berkenaan sebagai satu “siasatan”, katanya lagi.Maksudnya, kedua-dua perkataan tersebut memberi maksud yang berbeza ke atas tindakan JAIS.
“Apa yang berlaku dua, tiga minggu lalu. Kita ambil satu perkataan siasat jadi serbu.

“Siapa yang serbu… Serbu dalam keadaan menggeledah, dalam keadaan tendang pintu, serbu dalam keadaan tabur bahan-bahan…

“(Tetapi maksud) siasat lain, tegasnya di hadapan kira-kira 180 hadirin termasuk pengamal media di Shah Alam.

Hasan yang juga ADUN Gombak Setia berkata, beliau dan barisan exco negeri kini dilarang daripada membuat sebarang kenyataan walaupun “banyak benda” yang ingin diperkatakannya berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, beliau mematuhi arahan tersebut untuk mengelakkan kenyataannya “dimanipulasikan” mengikut kehendak dan selera mana-mana media, katanya.

Ditanya dalam sidang media kemudiannya, Dr Hasan berkata beliau “tidak nampak” media melaporkan isu itu dengan salah tetapi masalah timbul disebabkan “kecenderungan” laporan berkenaan.

“Kecenderungan laporan itulah yang menyebabkan sedikit masalah.

“Dan saya rasa isu ini melibatkan (orang) Islam dan bukan Islam, melibatkan dua agama, menyebabkan sensitifnya perkara ini,” katanya.

Beliau yang enggan menamakan mana-mana individu juga mendakwa, terdapat pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

“Saya tidak mahu guna perkataan eksploitasi, tapi itulah perkataannya. Eksploitasi situasi itu yang menyebabkan apa yang berlaku tidak sepatutnya sebagaimana yang dikehendaki ianya berlaku,” katanya.

Dr Hasan turut menjelaskan saranannya supaya media bersimpati dengan JAIS dengan “memberikan berita dalam konteks yang dikehendaki oleh JAIS.”

“Saya tidak minta sokong JAIS, tidak, tidak, tidak.

“Saya mahu melihat media, fahami kehendak JAIS, fahami idealisme JAIS, (dan) fahami hati benak JAIS,” katanya ketika ditanya.

Dr Hasan ketika ditanya mengenai bilakah Sultan Selangor akan mengumumkan laporan lengkap berhubung tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).Dr Hasan berkata, ia “bukan dalam bidangnya” untuk mengulas perkara tersebut.”Itu rundingan antara Menteri Besar (Tan Sri Khalid) dan Tuanku. Saya belum meninjau perkara itu, elok kita tunggu (keputusan) daripada Istana,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hasan juga berkata beliau kini masih menunggu “kelapangan” daripada Sultan Selangor untuk berbincang lanjut berhubung isu pemberian tauliah kepada ahli politik.

Katanya lagi, beliau juga ingin bertemu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membincangkan perkara itu..

“Kita tengok kelapangan yang ada pada Istana, kelapangan yang ada JAIS dan MAIS.

“Tetapi apa pun, kelapangan istanalah lebih penting daripada kelapangan orang lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Implementasi Dasar dan Strategi: Peranan Media Dalam Mendepani Ancaman Akidah di Shah Alam hari ini.


http://www.kl-today.com/2011/10/jais-siasat-gereja-dumc-bukan-serbu/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...