Sunday, October 23, 2011

BERJAYAKAH HIMPUN KUMPUL 100,000 PESERTA?

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 23RD, 2011

Peruntukan untuk melindungi sensitiviti agama dan kedudukan istimewa Islam perlu dijadikan sebahagian daripada undang-undang baru yang akan digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri, gesa Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) hari ini. Pengerusi bersamanya Mohd Azmi Abdul Hamid menekankan bahawa peruntukan itu perlu disepadukan dalam dua undang-undang baru, yang dijangka akan digubal tahun depan, bagi memastikan keharmonian agama dan kaum di Malaysia dipertahankan.

Malah kata beliau, enakmen peringkat negeri untuk mencegah kes-kes murtad di kalangan Muslim tidak mencukupi dan perlu diperbaiki.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa agama Islam agar melihat kes-kes murtad dengan lebih serius.

“Kami merasakan tidak cukup. Kita tidak serius dalam mengadakan penguatkuasaan,” kata beliau kepada pemberita selepas menutup gerakan Himpun di Stadium Shah Alam di sini.

Sambil tidak menafikan bahawa ada kelemahan dalam pengagihan duit zakat, Azmi berkata, ia tidak bermakna agama-agama lain mengambilnya sebagai peluang untuk menyebarkan kepercayaan mereka ke atas Muslim.

“Kesemua agensi ada kelemahan, bukan hanya agensi agama. Tetapi ada pihak mengambil peluang dengan kelemahan,” katanya.

“Ia tidak betul,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dua undang-undang termasuk ISA akan dimansuhkan. Ia akan digantikan dengan dua akta baru, dijangka tahun depan.

Beberapa kain rentang turut dipasang di kawasan stadium, antaranya tertulis Pertahankan Institusi Raja, Hidup Melayu Hidup Islam, Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Seorang individu mengumumkan melalui pembesar suara di stadium bahawa terdapat pihak tertentu yang mengedarkan risalah yang “boleh timbulkan masalah.”

“This is a peaceful assembly. Tolong jangan resahkan perhimpunan ini.

“Siapa yang jumpa orang yang edar risalah itu, tangkap dan bawa kepada polis,” kata individu yang membuat pengumuman itu lagi.

Kehadiran beberapa pemimpin PAS di Perhimpunan Sejuta Umat menjadi perhatian wartawan dan pemerhati di Stadium Shah Alam hari ini.

Antara pemimpin berkenaan ialah exco hal ehwal agama Islam Selangor, Datuk Hasan Ali dan juga ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

Berikut adalah 10 resolusi Perhimpunan Sejuta Umat

1) Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

2) Kerajaan yang memerintah baik diperingkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dari perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara yang dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

3) Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebeagai kandungan utama.

4) Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segara menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam perlembagaan persekutuan.

5) Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada aqidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

6) Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7) Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

8) Menyeru semua institusi dalam masyarakyat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

9) Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10) Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbedaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama bersatu menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.


http://www.kl-today.com/2011/10/berjayakah-himpun-kumpul-100000-peserta/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...