Sunday, October 23, 2011

UMNO DAN PR DESAK UIA ‘BEBASKAN’ AZIZ

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 23RD, 2011

Tindakan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pensyarah undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari membantut proses penyuburan ilmu kepada rakyat.Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan ini sekali gus merendahkan martabat para akademia dalam tugasan harian mereka untuk memberi pandangan dan pendapat dalam kepakaran mereka.“Adalah sesuatu yang memalukan dan menzalimi para cendakiawan di Malaysia apabila ditekan dan disekat hanya kerana memberi pandangan bersandarkan fakta-fakta imperikal yang sememangnya menjadi kepakaran mereka.

“Isu yang timbul, yang dipolemikkan oleh sesetengah media dan politikus tertentu melibatkan Aziz Bari, harus dianalisa ketepatannya terlebih dahulu dalam konteks perundangan, bukan sekadar persepsi daripada sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau, “mereka seharusnya diberikan ruang untuk memberi komentar mahupun kritikan selagimana ia bersifat membina dan berada dalam kerangka undang-undang negara.

“Oleh yang demikian atas prinsip kebebasan akademik, PKR berharap isu ini dapat dirungkai oleh UIA agar ia dapat dikendalikan dengan penuh hemah dan wibawa tanpa mencemarkan budaya ilmu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga semalam telah menasihatkan rektor UIA untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Beliau menyifatkan tindakan di atas Aziz Bari itu adalah “memudaratkan”.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau menghormati autonomi universiti dan “saya setelah membaca surat tunjuk sebab dan laporan bertulis, saya kekal dengan kenyataan-kenyataan saya sebelum ini.”

Khamis lalu, Saifuddin berkata beliau sedih dan terganggu dengan perkembangan di UIA.

Katanya, kandungan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atas Aziz juga tidak sesuai.

“Menggunakan Seksyen 15(1), tidak menggunakan budi bicara yang baik.

“Memudaratkan? Tolonglah, kita universiti. Akibat gantung adalah memudaratkan,” katanya.

Saifuddin mengakui isu yang melibatkan adalah urusan dalaman universiti tetapi bertanya apakah ia bukan sebahagian daripada masyarakat dan “ini zaman media baru.”

Kata beliau, Aziz belum disabit kesalahan dan berharap penggantungan akan ditarik balik.

“Harap tarik balik penggantungan… harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam),” katanya.

Ketua Penerangan PKR pula yang juga bekas Pensyarah di UIA, Dr Muhammad Nur Manuty, menyifatkan penggantungan tugas Aziz Bari sebagai satu lagi manifestasi penerusan politik membuli dan campur tangan terhadap pelbagai institusi penting negara yang semakin mengggila sekarang ini.

“Gejala seburuk ini tidak mungkin berlaku di mana-mana negara yang dianggap maju dan tinggi martabat akademiknya,” kata beliau dalam satu kenyataan media yang berasingan.

Beliau berkata, sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, UIA sewajarnya memiliki kebebasan akademik dan keterbukaan dalam memberikan pandangan khususnya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan ahli akademik yang terlibat.

“UIA sepatutnya tidak harus memberikan reaksi yang menampakkan ia dipengaruhi oleh pihak luar yang boleh menjejas imej dan martabat akademiknya.

“Seharusnya, kenyataan beliau itu perlulah dilihat dari perspektif seorang pakar perlembagaan yang sememangnya diiktiraf, berautoritatif dan menjadi rujukan akademik sekian lama,” katanya.

Abdul Aziz dipetik sebelum ini berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Kenyataannya itu mengundang kontroversi apabila beberapa pemimpin Umno termasuk media yang dikuasai mereka mendakwa tindakan itu cuba memburuk-burukkan institusi raja-raja Melayu sehingga tekanan dibuat bagi beliau digantung tugas.

http://www.kl-today.com/2011/10/umno-dan-pr-desak-uia-bebaskan-aziz/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...