Sunday, October 23, 2011

MUHYIDDIN YAKIN BN TAWAN SELANGOR

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 23RD, 2011

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah menjadi kecenderungan parti pembangkang untuk meletakkan semua kesalahan ke atas UMNO dan Barisan Nasional (BN).Beliau merujuk kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menyalahkan penulis blog pro-UMNO yang mendakwa anak lelakinya itu mencabul kehormatan seorang rakan pelajar wanita berusia 16 tahun dan cuba melepaskan diri dari hukuman.

“Jangan salahkan sesiapa. Bagaimanapun, ia menjadi kecenderungan pembangkang dan Pakatan. Apabila mereka ada masalah sendiri, mereka mula menyalahkan UMNO.

“Bagaimanapun sekiranya ada kesalahan, kita perlu mencari apa punca utama,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin BN Selangor di sini hari ini.

Muhyiddin juga meminta Guan Eng membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Penafian adalah tidak mencukupi. Kalau tidak buat, minta polis untuk menyiasat dan bersihkan nama,” katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa BN sudah melihat “gelombang biru” di Selangor yang menunjukkan keinginan semula rakyat kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Gelombang itu sudah nampak berlaku di seluruh Selangor. Ada kesedaran baru kerana mereka tahu mereka sudah bagi peluang kepada pakatan selama tiga tahun, tapi banyak masalah berlaku,” katanya, merujuk kepada kerajaan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS di Selangor.

“Ramai rakyat Selangor termasuk peniaga berjumpa saya dan tanya bila pilihan raya… Mereka kata mereka tidak tahan lagi dengan (kerajaan) pakatan; susah mahu berniaga, susah mahu hidup. ‘Bila pilihan raya saya mahu pangkah BN’. Itu kenyataan yang mereka buat,” katanya.

Muhyiddin yang turun padang mendekati rakyat merentasi beberapa daerah di Selangor hari ini, berkata berbekalkan pengalaman lebih 50 tahun, BN diyakini mampu membawa Malaysia ke tahap pencapaian lebih tinggi selaras dengan aspirasi rakyat.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang rancak melaksanakan pelbagai pelan pembangunan bagi memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan selesa, aman dan sejahtera, sebagaimana ditekankan dalam Belanjawan 2012.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Selangor dilihat tidak mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat, seperti yang berlaku dalam isu pengurusan bekalan air di negeri berkenaan.

Yang penting bukan soal kerajaan negeri nak berniaga dan mendapat keuntungan; yang penting ialah nasib rakyat kita di Selangor dan Wilayah Persekutuan, hampir lima juta rakyat akan menanggung kesusahan nanti,” kata Muhyiddin pada acara yang dihadiri ribuan penduduk sekitar Dengkil dan Sepang itu.

Beliau menggesa parti komponen BN supaya terus membantu rakyat Selangor dan sekaligus memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum nanti.

http://www.kl-today.com/2011/10/muhyiddin-yakin-bn-tawan-selangor/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...