Wednesday, October 12, 2011

AHMAD JAIS MENINGGAL DUNIA PAGI TADI

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 11TH, 2011

Seniman Datuk Ahmad Jais yang bulan lalu dimasukkan di Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam kerana sesak nafas meninggal dunia pagi ini. Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9 pagi tadi.Penyanyi veteran itu yang nama sebenarnya Mohd Jais Ahmad, 75, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu akibat sukar bernafas bulan lalu dan dilaporkan sudah sedar dan boleh bercakap walaupun agak terhad pada 1 Oktober lalu.

Ahmad Jais dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu pada 22 September lepas akibat sesak nafas sebelum dipindahkan ke ICU.

Penyanyi yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar 1960-an mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu tetapi sakitnya mula serius pada malam 20 September sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 Shah Alam.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Selamat Hari Raya” dan “Budi Setahun Segunung Intan” yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lepas kerana kesukaran bernafas.

Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menerusi mesej Twitter mengucapkan takziah atas pemergian seniman itu.

“Salam takziah, Dato Ahmad Jais telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi,” kata beliau.

Persembahan terakhir Allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

http://www.kl-today.com/2011/10/ahmad-jais-meninggal-dunia-pagi-tadi/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...