Sunday, May 24, 2009

Adlin-Emelda selamat diijabkabulkan

Ahad Mei 24, 2009

SERI PENGANTIN...Kejelitaan Emelda terselah dalam persalinan baju kurung moden rekaan Calvin Thoo. Foto The Star Oleh: LEW YONG KAN.

IPOH: Dengan sekali lafaz, pengacara dan pelakon Adlin Aman Ramlie, 37, sah bergelar suami kepada aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29.

Mereka dinikahkan oleh penolong pendaftar perkahwinan, penceraian, rujuk kawasan PGA Ulu Kinta, Zainudin Abu Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, di sini, tepat pukul 5.28 petang tadi.

Dalam majlis yang berlangsung secara sederhana itu, Emelda menerima wang hantaran RM30,000, mas kahwin RM1001 serta tujuh dulang hantaran daripada Adlin.

CANTIK...Baju warna putih yang disarungkan ke tubuh Emelda nyatakan menyerlahkan lagi kejelitaannya.

Antaranya adalah kamera digital, senaskhah al-Quran, set wangian, beg tangan dan kasut, dan sirih junjung.

Sementara itu, Adlin menerima sembilan dulang hantaran daripada Emelda seperti beg silang, senaskhah al-Quran, jam tangan, dan kasut.

TENANG... Dengan sekali lafaz Adlin dan Emelda sah sebagai pasangan suami isteri. Foto mStar Online Oleh: SITI AZIRA ABD AZIZ.

Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Calvin Thoo kelihatan gembira dan teruja setelah selesai diijabkabulkan.

"Saya sangat seronok dan teruja kerana dalam tempoh empat tahun bersama Mel, sebagai lelaki memang saya mencari pasangan yang dirasakan sesuai.

Sebahagian barang hantaran daripada pihak perempuan kepada pengantin lelaki.

"Apabila dapat bertunang dan nak berada di alam bersama dia, saya rasa bangga kerana akan mengahwini perempuan yang saya kenal luar dan dalam.

"Semasa diijabkabulkan, saya rasa sangat 'excited'," luah Adlin dalam satu sidang media di rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8, di sini.

Pelakon Emilia Rosnaida menjadi pengapit kepada Emelda.

Dalam pada itu, Emelda berkata sebelum itu, dia berasa sebak kerana tidak dapat berkongsi hari bahagia bersama ayahanda tercinta, Abdul Hamid Mad Ally yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu.

"Saya rasa sedih sebab bapa tiada kerana saya dengan arwah sangat rapat.

"Selepas itu, saya rasa lega kerana selalunya perempuan akan berasa lebih risau daripada lelaki. Alhamdulillah, majlis nikah pun telah selesai.

Emelda nyata tenang walaupun berdebar ketika melangkah masuk ke dalam masjid untuk upacara akad nikah.

"Saya rasa tak salah pilih orang (Adlin) dan selalu yakin yang dia akan menjadi suami saya dalam empat tahun kami bersama," ujar Emelda.

Majlis yang dihadiri oleh 200 orang tetamu itu turut dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah mempelai iaitu ibu Emelda, Rokiah Ibrahim, 63, ibu Adlin, Ruminah Sidek, 63, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida dan suami, pengacara AF7, AC Mizal serta pelakon dan penyanyi Aqasha.

Pasangan pengantin yang menyemai cinta sejak empat tahun lalu itu mengikat tali pertunangan mereka pada 14 Mac lalu sempena tarikh lahir Emelda.

Majlis resepsi sebelah Emelda pada esok hari di Dewan Banquet SUK Perak, di sini turut mengambil sempena tarikh lahir Adlin yang jatuh pada 23 Mei.

Sementara itu, majlis resepsi sebelah Adlin dijangka akan diadakan pada 21 Jun depan di Meru, Klang secara ‘rewang’ iaitu kenduri gotong-royong.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/24/mstar_hiburan/20090522202105&sec=mstar_hiburan

Cinta Adlin-Emelda ke jinjang pelamin


ADLIN ceria bersama Emelda Rosmila selepas mereka diijabkabulkan di Ulu Kinta, Perak semalam.


IPOH – Dengan sekali lafaz, pengkritik tetap Akademi Fantasia (AF7), Adlin Aman Ramli, 36, sah menjadi suami kepada pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta dekat sini semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Nikah, Cerai dan Rujuk Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Zainudin Abdul Arshad dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahiran Adlin ke-37 hari ini.

Elmelda Rosmila yang juga adik ipar kepada pengacara AF7, AC Mizal, menerima wang hantaran RM30,000 beserta mas kahwin RM1,001 dan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh.

Turut hadir ibu Adlin, pelakon veteran, Ruminah Sidek, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida, AC Mizal, pelakon, Akashah dan penerbit filem, Raja Azmi.

Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan putih lega kerana impian mereka untuk berumahtangga selepas empat tahun bercinta termakbul.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Majlis berinai Emelda-Adlin meriah

Ahad Mei 24, 2009

BAGAI PINANG DIBELAH DUA: Emelda dan Adlin. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

BERMULA selepas waktu Maghrib, orang ramai mula bertandang di majlis berinai pasangan mempelai aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid dan pelakon Adlin Aman Ramlie, semalam.

Kebanyakan tetamu yang hadir ke rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8 itu terdiri dari kalangan sanak saudara dan jiran tetangga bagi meraikan mempelai selepas sah bergelar suami isteri.

Kira-kira pukul 8 hingga 9 malam, majlis bermula dengan Marhaban daripada sekumpulan wanita diikuti dengan sesi karaoke.

Selepas pukul 9 malam, dianggarkan lebih 300 tetamu yang hadir lebih memeriahkan majlis itu.

Tidak sampai seminit Emelda keluar dari bilik pengantin ke pelamin indah rekaan Butik Pengantin Nasha, para tetamu sudah mula menyerbunya untuk melihat lebih dekat dan mengambil gambar kenangan.

JELITAWAN: Emelda menggayakan baju pengantin berkonsepkan kontemporari dari Butik Pengantin Nasha dengan solekan oleh Baby Elle. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Warna busana merah dari Butik Pengantin Nasha itu menyerlahkan lagi kecantikan Emelda yang mempunyai kulit putih melepak.

Walaupun suasana agak hiruk-pikuk dan sukar untuk dikawal, tetapi tetamu ada yang memberikan kerjasama untuk memberi ruang kepada jurugambar bertugas merakamkan gambar Emelda sementara menanti kehadiran Adlin.

Dalam keriuhan itu, suasana menjadi meriah diselang-seli dengan hiburan daripada lagu-lagu karaoke yang didendangkan oleh jiran terdekat dan keluarga mempelai.

Tepat pukul 10 malam, barulah kelibat Adlin yang kacak dengan pakaian pengantin warna senada dengan Emelda yang turut didatangkan dari butik yang sama.

Selain majlis berinai, keluarga kedua belah pengantin diberi peluang untuk menepung tawar pengantin.

Tetamu terpaksa diminta duduk bagi memberi ruang kepada pengantin dan orang yang menepung tawar.

RUPAWAN: Adlin menjadi fokus tetamu yang hadir. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA AB. AZIZ

Waktu itu, tetamu semakin ramai masuk ke dalam rumah yang menempatkan pelamin dan mempelai namun keadaan yang bertambah gamat itu berjaya ditenangkan semula selepas kakak Emelda, Emylia Rosnaida bertindak mengawal tetamu dan meminta mereka duduk.

Selepas upacara menepung tawar selesai, ahli keluarga, sanak saudara dan tetamu diberi peluang untuk bergambar dengan mempelai.

Mereka bukan sahaja tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Emelda dan Adlin, malah Emylia dan suaminya, AC Mizal serta penyanyi dan pelakon Aqasha yang menjadi pengapit Adlin turut menarik perhatian mereka yang mahu bergambar.

Kemeriahan majlis itu terus berlangsung sehingga lewat pagi walaupun tetamu sedikit demi sedikit beransur pulang ke rumah masing-masing.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/24/mstar_hiburan/20090523175320&sec=mstar_hiburan

Mati larikan RM3,000


RUMAH mangsa yang agak terpencil mendorong seorang lelaki menjadikan lima penghuninya tebusan dan culik di Melaka semalam.


JASIN – Seorang penjenayah warga asing yang mengikat satu keluarga untuk dijadikan tebusan selama 11 jam di Kampung Jambatan Air Baruk, di sini, akhirnya mati dalam kejadian berbalas tembak petang semalam.

Sejurus sebelum ditembak, lelaki berasal dari Lombok, Indonesia itu yang dikenali sebagai Harapan, 27, menjadikan seorang mangsa sebagai perisai manusia apabila menyedari dia sudah dikepung 12 anggota polis.


HARAPAN


Bagaimanapun, drama tembakan yang meragut nyawanya pada pukul 2 petang itu sebenarnya sudah pun bermula sebaik dia menceroboh rumah mangsa pada pukul 1 pagi semalam dan mengikat seorang wanita dan tiga anaknya yang berusia lima hingga sembilan tahun.

Dia bersenjatakan selaras senapang patah dan parang.

Sebaik suami wanita itu pulang, dia diacu dengan senapang dengan amaran keluarganya akan dicederakan jika tidak berjaya mendapatkan wang tebusan berjumlah RM3,000.

Namun, lelaki itu yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit tidak mempunyai wang sebanyak itu dan berjaya meyakinkan suspek supaya membenarkannya menelefon seorang rakan untuk bantuan.

Rakan mangsa bagaimanapun hanya menyerahkan RM500, menyebabkan suspek tidak berpuashati.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Ancaman denggi, chikungunya

KUALA LUMPUR – Dalam kesibukan orang ramai memberi tumpuan terhadap virus influenza A (H1N1) yang kini kian susut, penyakit denggi dan chikungunya pula dalam diam terus mengancam dengan mengorbankan empat nyawa dalam tempoh 10 hingga 16 Mei lalu.

Pihak berkuasa kini mengalihkan tumpuan kepada kedua-dua wabak itu berikutan peningkatan 180 peratus kes chikungunya manakala empat peratus kes bagi denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kes denggi telah meningkat di sembilan negeri dengan laporan 912 kes dalam masa seminggu.

Katanya, ia membabitkan kenaikan di Perlis sebanyak 200 peratus, Pahang (60 peratus), Sabah (47 peratus), Sarawak (32 peratus), Selangor (18 peratus), Melaka (14 peratus), Kedah (11 peratus) dan Terengganu (enam peratus).

Jelas Mohd. Ismail, pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis kediaman masih menjadi kawasan utama pembiakan nyamuk aedes.

Mengenai chikungunya, beliau memberitahu, sebanyak 276 kes telah dilaporkan dalam tempoh 10 hingga 16 Mei lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Friday, May 22, 2009

25 pelatih PLKN masih dirawat


ROSYATI YUSOF mengusap muka anaknya, Siti Nazlia Mohd. Nazir, 18, di Hospital Serdang semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 25 pelatih Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas, Semenyih masih menerima rawatan kerana disyaki mengalami demam selesema, berkurangan berbanding 30 pelatih kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata, lima pelatih lagi sudah dibenarkan keluar dari bilik isolasi kem berkenaan.

Beliau berkata, daripada 25 pelatih yang masih dirawat, 19 pelatih dirawat di bilik isolasi kem, manakala lima lagi di Hospital Serdang dan satu di Hospital Kajang.

Katanya, lima pelatih yang dirawat di Hospital Serdang merupakan dua pelatih yang dirujuk dari Hospital Kajang manakala baki tiga pelatih dirujuk dari Kem PLKN untuk tujuan isolasi dan rawatan lanjut.

Dr. Ismail berkata, semua pelatih berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan dua pelatih yang dirawat di hospital dijangkiti infeksi respiratori iaitu infeksi Adenovirus. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Tangguh balik jika demam

PUTRAJAYA - Sesiapa sahaja, daripada pelancong asing hingga kepada rakyat dan pelajar Malaysia di Amerika Syarikat dinasihatkan supaya menangguhkan rancangan ke negara ini jika mereka ada simptom influenza A (H1N1) seperti demam dan selesema.

Kebimbangan pihak berkuasa Malaysia mengenai penularan semula wabak itu ialah ekoran cuti musim panas yang mungkin menyaksikan ramai pelajar Malaysia pulang bercuti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, nasihat itu bukan bermakna pihak berkuasa tidak bersedia menghadapi kebanjiran masuk orang ramai terutama dari negara yang mempunyai banyak kes H1N1 seperti Amerika Syarikat.

"Kedatangan mereka ini dialu-alukan dan ia bukanlah satu masalah kerana kita ada persediaan yang cukup bagi mengawal penularan wabak itu.

"Cuma harapan kita sebaik-baiknya tangguhkan dulu jika demam, jika tidak mereka akan dikuarantin apabila tiba di Malaysia," katanya pada pemberita di sini semalam.

Beliau baru pulang daripada menghadiri persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

Katanya, mesyuarat itu diberitahu mengenai kebimbangan bahawa virus penyakit itu boleh merebak dengan lebih cepat pada musim sejuk di negara-negara hemisfera selatan.

Mengenai status dalam negara, Tiong Lai berkata sehingga semalam, tiada kes baru yang disahkan positif virus influenza A walaupun terdapat 16 kes yang dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Terima bil telefon ‘hantu’

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas hanya dua bulan MyKadnya hilang, seorang pelajar tersentak apabila menerima bil telefon ‘hantu’ berjumlah ribuan ringgit yang dihantar sebuah syarikat telekomunikasi secara berterusan sehingga kini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa didakwa menggunakan empat nombor telefon bimbit berbeza disediakan syarikat itu sejak sembilan bulan lalu walaupun tidak pernah mendaftar talian berkenaan.

Lim You Sun, 20, yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota mendakwa masalah itu bermula Oktober tahun lalu apabila dia menerima empat penyata bil telefon meminta melunaskan pembayaran talian yang digunakannya sepanjang bulan berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat semua penyata bil berlainan nombor berjumlah lebih RM3,000 itu didaftar menggunakan nama saya serta dipos ke kampung halaman di Melaka. 

“Perkara itu dianggap tidak munasabah kerana saya hanya menggunakan satu nombor telefon bimbit dan ia kemungkinan didalangi seseorang yang menggunakan MyKad saya untuk pendaftaran semua talian berkenaan,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, dompet miliknya berisi MyKad dan dokumen lain hilang selepas pulang dari sebuah pasar malam di Cheras pada 30 Julai tahun lalu.

Kata Lim, dia cuba menghubungi semua nombor itu dan mendapati dua daripadanya sudah ditamatkan perkhidmatan. 

“Saya seterusnya pergi ke syarikat telekomunikasi untuk menjelaskan perkara sebenar dan meminta membatalkan pembayaran bil telefon itu.

“Bagaimanapun, kakitangan syarikat itu seolah-olah tidak mengendahkan permintaan saya dan masih menghantar bil sehingga ke hari ini yang mencecah RM9,000,”
katanya yang turut membuat dua laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521054731/Article/index_html

4 beranak tiada tandas, bekalan air



KUANTAN: Empat beranak di Kampung Sepat, di sini, bukan saja hidup dalam kedaifan, malah kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiami tidak dilengkapi sistem pembetungan najis menyebabkan mereka terpaksa menggali lubang di belakang rumah untuk membuang air kecil atau besar.

Lebih memburukkan keadaan, kediaman dibina kerajaan negeri untuk rakyat miskin itu turut tidak dilengkapi sistem paip untuk menyalurkan bekalan air bersih.

Ketua keluarga berkenaan, Abdullah Salleh, 55, berkata keadaan serba kekurangan itu terpaksa dilalui mereka sekeluarga sejak mendiami rumah itu tiga tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa menggali perigi bagi mendapatkan sumber air untuk kegunaan harian seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian.

“Mujur, adik-beradik membantu membelikan pam penyedut air bagi memudahkan saya sekeluarga menggunakan air perigi berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, dia hanya menyara keluarga dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan hasil bekerja sebagai tukang sapu di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Hijrah, dekat Penor manakala isteri, Samsiah Ismail, 33, tidak bekerja menyebabkan mereka tidak mampu membina sistem pembetungan sendiri.

“Saya hairan mengapa kediaman PPRT yang dibina tidak dilengkapi sistem pembetungan najis.

“Walaupun, pemaju membina bilik air dan tandas yang dilengkapi mangkuk tandas tetapi apa gunanya jika tidak ada salur kumbahan dan paip,”
katanya.

Bukan Influenza A

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


SERDANG: “Saya dimaklumkan doktor anak perempuan saya mempunyai tanda-tanda awal menghidap penyakit Influenza A (H1N1).

Seluruh hidungnya bernanah dan dia akan ditahan selama seminggu,” kata Rosyah Yusof, 45, ibu kepada Siti Nadlia Mohd Nazir, 18, seorang daripada tiga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Setia Ikhlas, Semenyih, dekat sini, yang dikuarantin di Hospital Serdang (HS), sejak semalam.

Difahamkan, tindakan kuarantin itu dilakukan berikutan 30 pelatih terbabit disyaki menghidap penyakit influenza selepas mengalami demam panas, namun pihak kementerian menafikan mereka dijangkiti penyakit H1N1.

“Saya berharap dia tidak dijangkiti penyakit itu dan segera sembuh,” katanya ketika ditemui di HS, semalam.

Tinjauan Harian Metro di hospital itu mendapati dua pelatih wanita dan seorang lelaki ditahan di bilik khas untuk proses kuarantin.

Manakala 27 lagi pelatih yang dikuarantin di bilik isolasi Kem Setia Ikhlas hanya demam biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menasihatkan ibu bapa semua pelatih yang dikenal pasti mempunyai simptom influenza, tetapi tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1) tidak panik dan sentiasa mendapatkan maklumat lanjut mengenai simptom itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua pelatih terbabit diberi rawatan dan pengawasan ketat oleh Kementerian Kesihatan dan Hospital Serdang.

“Doktor sedang menunggu keputusan ujian darah yang dijangka keluar selewat-lewatnya esok (bagi pesakit yang sedang dirawat).

“Dua pembantu perubatan sudah dihantar ke kem itu bagi mengawasi keadaan pelatih lain,”
katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, berkata semua pelatih terbabit disyaki mengalami simptom influenza, namun dipercayai tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Mereka mengalami gejala demam, batuk ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu sebelum diberikan rawatan susulan.

“Seramai 26 pelatih kini dirawat di bilik isolasi kem itu, manakala tiga lagi dirawat di Hospital Serdang dan seorang daripada mereka ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU),”
katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya akan membuat pengawasan dan kawalan bagi menangani situasi itu termasuk melakukan pengawalan vektor untuk memastikan virus berkenaan tidak menular.

“Antara tindakan diambil ialah semburan kabus, kajian aedes, pemantauan, pemeriksaan harian semua pelatih, merawat serta merujuk kes yang berisiko ke hospital berhampiran,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jenis influenza berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Kami baru menerima kes itu pagi ini (semalam). Sampel sudah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki menghidap demam denggi.

“Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061519/Article/index_html

104 pelatih PLKN keracunan lepas makan ‘ayam busuk’



PASIR MAS: Hidangan makan malam berlauk ‘ayam busuk’ dipercayai menjadi punca 104 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Cancun Park di sini, mengalami keracunan makanan, kelmarin.

Daripada jumlah itu, 35 pelatih dihantar ke tiga hospital termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) dan Hospital Pakar Perdana untuk rawatan lanjut.

Kejadian kali ketiga membabitkan kem sama tahun ini menyebabkan seorang pelatih terpaksa ditahan di wad manakala yang lain menerima rawatan pesakit luar.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku selepas semua pelatih menikmati hidangan nasi goreng berlauk ‘ayam busuk’ yang disediakan kontraktor makanan kem itu untuk sajian makan malam.

Selepas 45 minit menikmati hidangan itu, pelatih mengadu sakit perut kepada jurulatih menyebabkan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pelatih PLKN kem itu, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Malam tadi (kelmarin) berlaku satu lagi satu episod keracunan membabitkan pelatih PLKN. Berdasarkan siasatan, kami percaya kejadian itu berpunca daripada hidangan ayam busuk yang dinikmati bersama nasi goreng,” katanya pada sidang media di Hospital Pasir Mas di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan turut mendapati, pelatih kem sudah tiga kali i keracunan makanan berikutan kegagalan kontraktor menguruskan hidangan dengan baik dan bersih.

Kejadian pertama direkodkan pada 14 April lalu apabila 17 pelatih kem itu keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam diikuti kejadian kedua, pada 12 Mei lalu membabitkan menu sama.

“Keadaan itu menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri terpaksa menyita premis terbabit sebelum kerja penyediaan makanan diserahkan kepada pengusaha luar, namun keadaan tetap sama,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya menutup premis makanan itu serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga.

“Masalah ini (keracunan) boleh dielak jika pelatih dan jurulatih PLKN mengambil berat mengenai petunjuk keracunan seperti makanan berbau supaya tidak mengalami keracunan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061538/Article/index_html

Suspek miliki 3 rekod jenayah

IPOH: Siasatan awal polis mendapati suspek yang ditahan selepas menceroboh dalam kejadian samun bersenjata mengakibatkan tiga terbunuh di Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah semalam mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kesalahan mencuri. 

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan polis semalam selepas suspek terbabit yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah diberkas pemilik rumah ketika dia cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas merompak rumah mangsa. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata suspek ditahan pada jam 2.45 petang selepas diikat suami mangsa di hadapan rumah teres setingkat berkenaan.

Beliau berkata, suspek kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan kawalan ketat polis kerana cedera di beberapa bahagian badan akibat pergelutan dengan pemilik rumah berkenaan selepas gagal melarikan diri. 

“Polis percaya berlaku pergelutan ketika kejadian dan sebaik tiba, polis mendapati ketiga-tiga mereka yang ditemui di ruang tamu rumah itu sudah meninggal dunia. 

“Mereka ditemui dengan kesan tikaman dan tetakan di beberapa anggota badan dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat,” katanya. 

Katanya, ketika lelaki itu ditahan, suspek melarikan sebuah komputer riba milik mangsa malah, polis turut mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Daripada siasatan awal, kami mengesahkan hanya sebuah komputer riba yang dilarikan dari rumah mangsa dan suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau kerana kesalahan mencuri mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan. 

“Polis turut menemui sebilah pisau daripada beg suspek yang dipercayai digunakan sebagai senjata ketika kejadian,”
katanya.

Majikan pulang jengah anak bongsu

IPOH: “Ini bukan kali pertama rumah majikan saya dimasuki pencuri kerana sebelum ini pernah beberapa kali rumahnya menerima ‘kunjungan’ penjenayah, namun saya tidak menyangka tragedi ini akhirnya meragut nyawanya. 

“Malah, majikan saya sudah mengambil beberapa langkah keselamatan termasuk memasang alat penggera bagi mengelak berlakunya kecurian tetapi apakan daya, kejadian ini sudah ditakdirkan berlaku,” kata Mohd Zaid Tajuddin, 27, seorang pekerja kepada pemilik salun, Wah Yah Mat Zi, 42, yang mati dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni di sini, semalam. 

Mohd Zaid berkata, dalam kejadian samun sebelum ini, majikannya pernah terserempak dengan penjenayah yang baru keluar dari rumahnya selepas melakukan jenayah itu hingga memaksanya memasang alat keselamatan.

Katanya, kebiasaannya majikannya itu jarang pulang ke rumah, tetapi pada hari kejadian semalam dia mengambil keputusan pulang ke rumahnya kerana ingin melihat anak bongsunya yang ditinggalkan dengan seorang pembantu rumah warga Indonesia. 

“Sebelum ini, anak bongsunya, Ermin Denish, 5, dijaga neneknya tetapi majikan saya itu mengambil pembantu rumah untuk sementara waktu bagi menjaga anaknya. 

“Difahamkan, pembantu rumah berkenaan baru saja tiba dari Indonesia dan mula bekerja dengan majikan saya sejak minggu lalu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. 

Mohd Zaid berkata, Wah Yah majikan yang baik dan ceria malah sentiasa mengambil berat kebajikan pekerja.

“Masih terngiang-ngiang pesanan yang ditinggalkannya supaya menikmati makanan yang dibawanya sebelum dia meninggalkan salun. 

“Saya sama sekali tidak menyangka itu pesanan terakhir daripadanya dan lebih menyayat hati kerana dia meninggal dalam keadaan yang trajis,”
katanya. 

Sementara itu, seorang lagi pekerja mangsa, Norhaslinda Ibrahim, 37, berkata mangsa menawarkan pekerjaan kepadanya apabila dia membuka cawangan salunnya yang baru di Greentown Mall pada Disember lalu. 

“Wah Yah mengajak saya bekerja dengannya kerana dia baru saja membuka cawangannya yang baru di Greentown Mall dan kekurangan pekerja,” katanya.

Penyeluk saku keluar duit ATM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir yang menjadi mangsa seluk saku terkejut apabila penjenayah terbabit turut mengeluarkan wang RM5,000 dari akaun bank menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya dalam masa kurang 30 minit.

Lebih membingungkan, penjenayah terbabit mampu mengetahui nombor pin rahsia kad ATM miliknya bagi membolehkan wang berkenaan dikeluarkan dengan mudah.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa mendakwa dompetnya diseluk ketika dia membeli-belah di sebuah kedai tekstil terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Menurutnya, mangsa yang sebelum itu memasukkan dompetnya dalam bungkusan plastik hanya menyedari kehilangannya selepas melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan.

“Difahamkan dalam dompet mangsa ada kad pengenalan, wang tunai RM160 dan sekeping kad ATM.

“Sejurus menyedari kehilangan kad ATM berkenaan, mangsa yang berasal dari Subang Jaya segera ke bank berhampiran untuk memastikan kad ATM miliknya tidak disalah guna,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sampai ke bank pada jam 2.15 tengah hari terkejut apabila semakan bank mendapati wang tunai berjumlah RM5,000 di dalam akaunnya sudah dikeluarkan.

“Penjenayah itu mungkin menggunakan peralatan khas untuk peroleh nombor pin rahsia kad ATM saya sebelum mengeluarkan wang.

“Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian gagal mengesan identiti suspek berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di lokasi berkenaan,”
katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang eksekutif wanita berusia 24 tahun menjadi mangsa ragut ketika berjalan ke keretanya yang diletakkan di Jalan Ceylon di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa yang bekerja di sebuah bank dikatakan berjalan kaki sebelum tiba-tiba dihampiri dari arah belakang oleh motosikal ditunggang seorang lelaki.

Difahamkan, suspek yang memakai topi keledar tutup muka penuh kemudian meragut beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521062136/Article/index_html

Jeritan maut

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz 
am@hmetro.com.my 

IPOH: “Mana bini aku, mana bini aku...,” jerit Jafri Tajul Aripin, 47, kepada seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan bunuh dua beranak dan seorang pembantu rumah di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Jafri yang menangkap lelaki terbabit dengan bantuan seorang rakan berkata, dia mulanya bergegas pulang ke rumah apabila mendengar jeritan isterinya, Wah Yah Mat Zi, 42, ketika berbual menggunakan telefon bimbit sebelum talian itu terputus.

Bimbang kejadian buruk menimpa keluarganya, Jafri segera memasuki rumahnya lalu mendapati mayat Wah Yah dan pembantu rumah terbujur di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

Dalam keadaan terkejut itu, dia terus mencari anak bongsunya, Ermin Denish, 5, sebelum mayatnya ditemui di dalam bilik air.

Dia kemudian terserempak seorang lelaki dipercayai suspek yang terburu-buru cuba melarikan diri dari rumahnya dengan melompat pagar sambil membawa sebuah beg menuju ke sebuah motosikal.

Berang dengan kejadian kejam itu, kata Jafri, dia mencapai sebilah parang dalam keretanya sebelum mengejar suspek di hadapan rumah.

Dengan bantuan rakan, Ahmad Hanafiah, 38, yang kebetulan ternampak lelaki terbabit dikejar Jafri, mereka berjaya menghalang suspek daripada melarikan diri dengan menggunakan kereta.

“Lelaki terbabit terjatuh sebelum saya menangkapnya dengan dibantu rakan yang kebetulan berada di kawasan rumah.

“Kami mengikatnya dengan hos getah sementara menunggu ketibaan polis,”
katanya ketika ditemui di rumahnya. 

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Wah Yah yang juga pemilik salun, Ermin serta pembantu rumah mereka dikenali sebagai Dani, 18, ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman dan kelar di beberapa bahagian badan dalam kejadian samun bersenjata.

Harian Metro difahamkan, Wah Yah baru saja mengeluarkan wang RM4,000 dari bank berdekatan sebelum dia dipercayai diekori penjenayah terbabit sehingga ke rumah. 

Saksi kejadian yang juga kenalan Jafri, Ahmad Hanafiah, 38, berkata dia hairan apabila melihat rakannya berlari masuk ke rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya cemas sebelum berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku. Apabila tiba di tempat kejadian, saya melihat seorang lelaki melompat keluar dari pagar rumah mangsa dengan membawa sebuah beg dan bergegas menaiki motosikalnya. 

“Saya dan Jafri menghalang suspek dengan menggunakan kereta dan terus keluar menangkap lelaki terbabit yang terjatuh sebelum sempat dia melarikan diri,”
katanya. 

Ahmad berkata, ketika kejadian, dia baru saja mengeluarkan wang di sebuah bank berhampiran rumah mangsa sebelum ternampak rakannya itu kelihatan cemas. 

“Sebelum itu, saya baru saja selesai melakukan kerja mengecat pagar di Jabatan Penerbangan Awam dan kebetulan melalui kawasan kediaman mangsa,” katanya. 

Sementara itu, Jafri terpaksa ditenangkan saudaranya dan lebih menyayat hati apabila anak perempuan mangsa berusia 10 tahun berlari sambil meraung “Mami, Mami” sebelum mendapatkan ayahnya selepas mengetahui kejadian menimpa ibu. 

Keadaan di sekitar rumah mangsa juga sesak dengan kehadiran 300 orang menyebabkan polis mengeluarkan arahan supaya orang ramai beredar. 

Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa keluar dari rumah berkenaan jam 6.10 petang sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090521052904/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...