Wednesday, November 3, 2010

Mengaku Leka Nikmat Tuhan, Nabil Masih Cintakan Irma

Rabu November 3, 2010

Nabil akui dirinya lalai dengan kehidupan.

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Nabil Ahmad terpaksa akur dan menerima keputusan Irma Hasmie, untuk memutuskan hubungan cinta mereka yang telah terjalin sejak dua tahun lalu.

Menurut Nabil, dia terpaksa mengikut kata Irma seperti mana pendedahannya dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu yang enggan memulihkan semula hubungan mereka.

"Jika sebelum ini saya tidak mengaku kami berpisah, kini saya ingin katakan yang saya sudah solo. Mungkin sebelum ini saya terlalu leka dengan pemberian Allah S.W.T yang telah memberi kesenangan hidup, seorang kekasih yang cantik dan kerjaya yang bagus.

"Setakat ini, tiada perancangan lagi untuk pulihkan hubungan kami. Saya cuma ingin memperbaiki diri saya dahulu, barulah saya baiki hubungan kami jika Tuhan izinkan. Lagipun dia dah kata tak mahu saya lagi.

"Benda ini satu pengajaran buat saya. Mungkin selama ini saya lalai. Apa-apa pun, saya anggap perkara ini ada hikmahnya. Walaupun sekarang fikiran saya sedang serabut, saya perlu berfikir secara positif dan selesaikannya secara perlahan-lahan. Saya percaya ada orang lagi besar dugaannya berbanding diri saya," tuturnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Dengan nada suara agak kesal atas kejadian yang berlaku, Nabil berkata sebenarnya dia telah membuat persiapan kahwin sedikit demi sedikit untuk menempuh hari bahagia mereka yang dijangka pada tahun 2012 itu.

Nabil terpaksa akur dengan keputusan Irma yang ingin memutuskan hubungan.

"Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan saja yang menentukan. Begitu juga dengan saya, beberapa persiapan kahwin dah pun dibuat sikit-sikit. Mana tahu satu hari nanti jodoh kami masih ada. Tapi, andaikan Irma telah berjumpa dengan lelaki yang lebih baik, saya tidak kisah.

"Apa-apa pun yang sedang saya hadapi, kerjaya akan menjadi keutamaan saya dan saya perlu fokus dan kawal emosi saya tanpa mengganggu kerjaya saya sehingga menyusahkan orang lain," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Bujang Terlajak arah Profesor Razak Mohaideen.

Tambah Nabil, dia ingin menegaskan bahawa, gambar seorang wanita yang diambil bersamanya serta beberapa rakan lain yang tersebar di internet tidak ada kaitan langsung dengan masalahnya dengan Irma. Sebaliknya wanita itu merupakan kenalan baru Nabil.

"Tak fasal-fasal, dia pula terkait dalam masalah kami. Saya harap, orang luar tidak mengaitkan dia lagi," tegasnya.

Ditanya adakah Nabil masih lagi mencintai Irma, jawab Nabil:

"Saya masih sayangkan dia. Rasanya, perasaan sayang masih lagi ada bagi pasangan yang baru lepas putus cinta. Hal ini merupakan satu masalah seperti yang turut berlaku kepada pasangan-pasangan lain. Tapi disebabkan kami dikenali, maka ia menjadi besar.

"Saya ingin doakan sebuah kehidupan yang terbaik buat Irma. Saya tahu dia seorang wanita yang baik. Dulu, masa saya masih bersamanya, kalau ada apa-apa masalah, dia pasti akan berbincang dengan saya. Sekarang ini, saya harap dia ada kawan-kawan yang boleh berkongsi masalah. Kepada Irma, jagalah diri baik-baik,” kata Nabil.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_hiburan/20101102194456&sec=mstar_hiburan

Hubungan kami sudah berakhir - Nabil



“Ya. Saya sahkan hubungan kami selama tiga tahun ini telah berakhir,” ungkap Nabil ketika diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Irma Hasmie yang dikatakan berakhir baru-baru ini.

Nabil yang sebelum ini menafikan dakwaan Irma itu, kini akur dengan takdir jodoh mereka.

Bagaimanapun juara Raja Lawak musim kedua itu menafikan wujudnya orang ketiga dalam hubungan mereka. Jelas Nabil, dia telah berbincang bersama Irma untuk meletakkan punca perpisahan mereka sebagai perkara yang terlalu peribadi.

“Saya akur jika sampai di sini sahaja jodoh kami. Tetapi apa yang ingin saya tegaskan hubungan kami berakhir bukan kerana orang ketiga seperti yang didakwa,” ujar Nabil ketika dihubungi Sinar Harian.

Bercerita mengenai gambar mesranya yang tersebar di internet bersama seorang gadis yang dikenali sebagai Zaris Uqasha, Nabil berkata dia mengenali gadis itu selepas hubungannya dengan Irma berakhir.

Nabil juga menafikan kakak kepada pelakon Zaris Nelly itu adalah pramugari yang dikatakan menjadi ‘orang ketiga’ dalam hubungan mereka.

“Saya baru sahaja mengenali Uqasha selepas putus dengan Irma. Kebetulan perkara ini terjadi dan Uqasha dipersalahkan. Dia sebenarnya tidak terlibat dan semua ini adalah salah faham.

“Saya mengenali dia melalui seorang kawan kerana dia merupakan kawan kepada kawan saya itu. Buat masa ini saya masih lagi single dan belum bersedia untuk mencari pengganti Irma,” katanya yang turut mengesahkan hubungannya dengan Irma berakhir sejak awal Oktober lalu.

Nabil menjelaskan, dia tidak pernah mencurangi Irma dan tidak pernah berkawan dengan wanita lain ketika masih bersama Irma.

“Bagi saya apa yang berlaku ini sudah tertulis. Masalah putus cinta, bercinta adalah perkara normal yang biasa berlaku pada sesiapa pun. Hanya kerana saya dikenali, jadi perkara ini jadi sensasi.

“Bayangkan kalau saya pengurus kilang dedak dan bukan orang terkenal, tentu perkara ini tidak digembar-gemburkan,” seloroh Nabil yang kini sibuk dengan penggambaran Bujang Terlajak arahan Profesor A Razak Mohaideen.

Tambah Nabil lagi, buat masa ini mereka selesa membuat haluan masing-masing serta memberi ruang antara satu sama lain. Namun dia tidak menolak untuk kembali bersama Irma jika tertulis masih ada jodoh antara mereka.



Cukuplah disini! - Irma

Sementara itu Irma Hasmie yang dihubungi Sinar Harian enggan memberi sebarang komen dan menganggap kenyataannya di sebuah akhbar sebelum ini sudah terang dan jelas.

Irma mengakui hubungannya dengan Nabil sudah berakhir. “Tiada apa yang mahu saya katakan lagi. Apa yang pasti, semuanya telah berakhir, cukuplah sampai di sini sahaja dan saya tak mahu panjangkan lagi cerita ini. ” kata Irma yang sebelum ini juga pernah putus cinta dengan aktor, Farid Kamil.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8362491.asp

IPO PETRONAS RM5.05 sesaham

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/11/03

MUHYIDDIN menunjukkan Prospektus PETRONAS Chemicals Group Berhad selepas majlis pelancaran prospektus berkenaan di KLCC, semalam.
MUHYIDDIN menunjukkan Prospektus PETRONAS Chemicals Group Berhad selepas majlis pelancaran prospektus berkenaan di KLCC, semalam.
Jumlah saham RM12.5 bilion terbesar di Asia Tenggara atasi Maxis

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG), membuat tawaran awam permulaan (IPO) 2.48 bilion saham sempena penyenaraiannya di Bursa Malaysia, iaitu pada harga RM5.05 sesaham bagi pelabur runcit, serta sehingga RM5.20 sesaham bagi pelabur institusi.

Berdasarkan harga tawaran berkenaan, IPO anak syarikat PETRONAS itu yang mewakili 31 peratus jumlah sahamnya adalah bernilai kira-kira RM12.5 bilion, menjadikannya IPO terbesar di Asia Tenggara setakat ini, mengatasi IPO Maxis Bhd pada November 2009 yang bernilai RM11.2 bilion.
Apabila disenaraikan di Papan Utama 26 November nanti, saham syarikat itu akan dimasukkan sebagai antara komponen utama indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI Bursa Malaysia.

Daripada 2.48 bilion saham bernilai 10 sen sesaham yang ditawarkan itu, 1.78 bilion adalah saham sedia ada, manakala 700 juta lagi adalah saham terbitan baru.

Sebanyak 1.486 bilion sedia ada itu akan ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing pada harga yang akan ditentukan menerusi proses pembidaan, iaitu sehingga RM5.20 sesaham, manakala 293.02 juta lagi untuk langganan rakyat Malaysia, pengarah PCG dan PETRONAS serta pelanggan syarikat itu yang layak pada harga RM5.05 sesaham.

Saham terbitan baru sebanyak 700 juta itu pula ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing terpilih pada harga tawaran pelabur institusi.
Pengerusi PCG, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata penyenaraian itu memberikan peluang kepada rakyat Malaysia melabur dalam saham PCG untuk menikmati pulangan jangka panjang sama seperti penyenaraian anak syarikat PETRONAS lain sebelum ini.

“PCG mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang hasil pembinaan lebih banyak kompleks produk petrokimia dan perkembangan industri sampingan lain,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO PCG di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas; Presiden dan Ketua Eksekutif PCG, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut dan Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Tan Sri Md Nor Yusof.

Wan Zulkiflee berkata, PCG akan menggunakan dana yang diraih daripada IPO itu untuk mengembangkan perniagaan petrokimianya termasuk membina loji ammonia dan urea di Sabah dianggarkan bernilai antara AS$900 juta (RM2.8 bilion) hingga AS$1 bilion (RM3.1 bilion).

PCG, katanya dijangka memperoleh kebenaran bagi memulakan projek itu dalam tahun kewangan akan datang.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya yang dibacakan Muhyiddin berkata, penyenaraian PCG akan menyumbang kepada perkembangan pasaran modal tempatan kerana ia meningkatkan lagi kecairan pasaran yang diperlukan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Menjelang akhir tahun ini, penyenaraian anak syarikat PETRONAS termasuk Malaysia Marine & Heavy Engineering Bhd Jumaat lalu secara kolektif akan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada permodalan pasaran dan kira-kira 16 peratus daripada komponen indeks," katanya.

Mangsa Pindah Akibat Banjir Di Rantau Panjang Bertambah

Rabu November 3, 2010

KOTA BAHARU: Mangsa banjir yang dipindahkan di Rantau Panjang pada sebelah pagi ini bertambah berbanding semalam iaitu seramai 452 orang berikutan limpahan air Sungai Golok.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata kesemua mereka ditempatkan di dua lokasi pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan stesen keretapi lama di pekan Rantau Panjang.

"Di stesen keretapi lama mangsa yang ditempatkan di situ seramai 410 orang manakala bakinya di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi yang baru dibuka malam tadi," katanya.

Petang semalam mangsa banjir yang dipindahkan di Rantau Panjang adalah seramai 297 terdiri daripada penduduk Kampung Rantau Panjang Lama.

Beliau berkata paras air Sungai Golok di situ pada bacaan pukul 8 pagi ini surut sedikit iaitu 10.14 meter melebihi bahaya 9 meter. Paras air di sungai utama yang lain dilaporkan telah surut ke paras biasa sejak semalam berikutan cuaca kembali cerah tanpa hujan.

Jurucakap itu berkata dua jalan alternatif ke Jeli dari Rantau Panjang masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Lalang Pepuyu dan Lubok Stol.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat banjir di jajahan itu.

Zon Bebas Cukai di pekan Rantau Panjang juga dilaporkan banyak premis masih ditutup berikutan kawasan itu yang terletak bersebelahan Sungai Golok masih digenangi air.

Cuaca di Kelantan pagi ini cerah. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_berita/20101103095824&sec=mstar_berita

Lebih 20,000 Mangsa Banjir Dipindah Di Kedah

Air melimpahi sebahagian Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Kampung Malau di Jitra, Kedah, Selasa. Seramai 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir akibat banjir yang disifatkan sebagai yang terburuk sejak tahun 2005.


Rabu November 3, 2010

ALOR SETAR: Berikutan banjir yang semakin buruk di utara Semenanjung jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat dan menyebabkan gangguan bekalan air di tiga daerah di negeri Kedah.

Di KEDAH, seramai 20,902 penduduk daripada 5,734 keluarga di beberapa daerah di negeri itu dipindahkan ke pusat penempatan banjir akibat dilanda banjir teruk sejak dua hari lepas.

Daripada jumlah itu 12,872 penduduk daripada 3,655 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, manakala 3,908 mangsa daripada 984 keluarga adalah dari Padang Terap, 3,182 penduduk daripada 878 keluarga di Kota Setar dan 940 penduduk daripada 217 keluarga di Pokok Sena.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata 88 pusat penempatan mangsa banjir dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 40 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, empat di Pokok Sena serta sembilan di Kota Setar.

Tinjauan Bernama di daerah paling teruk dilanda banjir iaitu Kubang Pasu mendapati air semakin naik walaupun hujan telah berhenti kerana aliran air dari daerah Padang Terap.

Sementara itu, tiga daerah iaitu Kota Setar, Pokok Sena dan sebahagian kawasan di daerah Pendang mengalami gangguan bekalan air bermula semalam dan hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) hari ini, gangguan bekalan air itu disebabkan oleh Intake Loji Bukit Pinang Fasa 1, 2, 3, dan 4 dan Nephelometric Turbldity Unit (NTU) ditenggelami air terlalu tinggi.

Pihak Sada memohon maaf di atas kesulitan itu dan sebarang aduan dan pertanyaan boleh hubungi Pusat Informasi Sada di talian hotline 1-300-88-0017.

Di PERLIS, keadaan banjir di sekitar Kangar bertambah buruk dengan angka mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 6,052 orang berbanding lebih 4,500 mangsa petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata mereka ditempatkan di 40 pusat pemindahan yang diwujudkan di seluruh Perlis.

Setakat ini, 4,127 mangsa yang dipindahkan ialah dari kawasan Kangar manakala 1,091 dari kawasan Padang Besar dan 834 orang dari kawasan Arau.

Sementara itu, para petugas media di Perlis beroperasi di luar pejabat hari ini berikutan laluan ke pejabat di bandar Kangar ditenggelami air.

Beberapa wartawan juga terpaksa berhadapan dengan tugas sukar kerana ada yang menjadi mangsa banjir dan terpaksa berpindah termasuk dua wartawan Biro Bernama di Perlis.

Di KELANTAN, mangsa banjir yang dipindahkan di Rantau Panjang pada sebelah pagi ini bertambah iaitu seramai 452 orang berbanding semalam 297 mangsa berikutan limpahan air Sungai Golok.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata kesemua mereka ditempatkan di dua lokasi pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan stesen keretapi lama di pekan Rantau Panjang. Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya sudah mengarahkan 1,182 pegawai dan kakitangan bersiap sedia bagi menghadapi musim banjir khususnya di bahagian utara semenanjung Malaysia berikutan amaran hujan lebat di tiga negeri itu mulai semalam.

Beliau berkata ini kerana banjir mendedahkan masyarakat kepada risiko berlakunya penyakit berjangkit seperti cirit-birit, deman kepialu, taun dan leptospirosis.

"Seperti kita sedia maklum, banjir boleh menimbulkan berbagai masalah kesihatan terutama kepada kanak-kanak, wanita dan warga tua. Jadi, kumpulan ini perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya kepada pemberita di Gua Musang hari ini.

Katanya pasukan kesihatan dan perubatan di pusat-pusat pemindahan akan ditempatkan secara tetap sekiranya jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut melebihi 500 orang.

Liow berkata tindakan yang akan diambil juga merangkumi penyediaan serta memastikan stok ubat-ubatan, peralatan, vaksin dan alat pelindung diri sentiasa mencukupi. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_berita/20101103112310&sec=mstar_berita

Penduduk berebut beli kuih kering di pasar raya

KANGAR: Penduduk berebut-rebut mendapatkan makanan hingga menyebabkan jualan kuih kering di pasar raya sekitar Kangar kehabisan berikutan banjir yang mula menenggelamkan hampir keseluruhan bandar itu, semalam.

Tinjauan mendapati barangan makanan, termasuk mi segera, roti dan biskut kehabisan sejak malam kelmarin ketika air mula melimpah memasuki bandar Kangar.


Setakat ini, hampir 4,000 penduduk dipindahkan ke 35 pusat pemindahan yang disediakan Jawatankuasa Bencana Alam di seluruh Perlis berbanding 1,600 mangsa dicatatkan jam 12 tengah malam kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengarahkan semua cuti kakitangan agensi yang berkaitan dibekukan berikutan banjir bertambah buruk sekarang. Malah, dilaporkan ada kampung di sekitar Kangar dinaiki air sehingga dua meter hingga menyebabkan pasukan penyelamat menggunakan sampan untuk memindahkan mangsa.


“Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis menyetujui langkah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis melepaskan takungan air di empangan Timah Tassoh selepas mencatat paras tertinggi 30.45 meter iaitu melebihi paras bahaya.


“Kami sedar tindakan melepaskan air takungan terbabit memberi kesan kepada bandar Kangar tetapi terpaksa dilakukan bagi mengelak kejadian lebih buruk terhadap empangan berkenaan,” kata Md Isa selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sena, di sini, awal pagi semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Azizan Hamid; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Jamil Saad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali.


Md Isa menasihatkan penduduk menjaga keselamatan diri dan keluarga serta tidak membiarkan anak bermain air banjir tanpa diawasi hingga boleh menyebabkan kemalangan jiwa.

Katanya, banjir memusnahkan 11,000 hektar kawasan penanaman padi manakala dua pertiga daripada negeri itu dinaiki air banjir bermula malam Ahad lalu.


Difahamkan, 4,000 mangsa berasal dari lebih 30 kampung terjejas kini ditempatkan di 35 pusat pemindahan yang dibuka pihak berkuasa termasuk lebih separuh di sekitar Kangar dan Arau, yang dilapor mula dinaiki air sejak malam kelmarin.


Berdasarkan maklumat, selain kawasan pusat bandar dan beberapa taman sekitar pinggir daerah itu dilaporkan dinaiki air sehingga dua meter bermula 10 pagi semalam, kawasan pekan Arau termasuk sekitar Istana Diraja Arau, turut terjejas sekali gus menghalang laluan keluar masuk ke lokasi berkenaan.


Selain itu, beberapa laluan utama memasuki Kangar dan Arau ditutup selepas terhalang dengan banjir manakala laluan ke Padang Besar masih lagi gagal dilalui terutama kenderaan kecil terutama di Balai Baru, Beseri dan juga Padang Melangit.


Difahamkan, sehingga semalam 21 sekolah di seluruh negeri membabitkan 11 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah diberikan cuti bencana membabitkan 9,226 pelajar, selepas semua premis terbabit sama ada terjejas atau digunakan untuk tujuan pemindahan.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi berkata, sehingga kini 35 pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri terutama di sekitar Kangar dan Arau, manakala beberapa pusat di sekitar Padang Besar ditutup semula.


Difahamkan, banjir yang melanda Perlis bermula malam Ahad lalu berpunca daripada hujan lebat yang secara tidak langsung menyebabkan takungan air di beberapa sungai utama termasuk Empangan Timah Tasoh melimpah.


Malah, tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuka enam pintu air untuk melepaskan lebihan takungan turut dikatakan menjadi pendorong kepada peningkatan paras air, sekali gus menenggelamkan hampir dua pertiga kawasan negeri.


Pengarah JPS Perlis, Ir Nishad Mohamed Mohd Shaffy, ketika ditemui bagaimanapun menafikan tindakan pihaknya melepas keluar air melalui enam pintu di empangan terbabit menjadi punca utama banjir di Perlis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendudukberebutbelikuihkeringdipasarraya/Article/index_html

Terpaksa catu makanan

HAADYAI (Selatan Thailand): Rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa apabila terperangkap di dalam hotel penginapan berikutan banjir besar melanda bandar ini sejak kelmarin, terpaksa mencatu makanan masing-masing.

Setakat ini, Wisma Putra cuba mengenal pasti jumlah rakyat Malaysia yang terperangkap di dalam banjir di wilayah selatan negara itu melalui Konsulat Malaysia di Songkla.


Antara yang terperangkap dalam hotel di bandar itu dua keluarga dari Pulau Pinang yang melancong ke Krabi dan sepatutnya pulang semula ke Malaysia kelmarin tetapi terhalang apabila mengetahui Lebuhraya Utara-Selatan di Changlun ditutup.

Mangsa menginap di bandar itu apabila dinasihatkan tidak meneruskan perjalanan ke Danok sebelum memasuki Malaysia berikutan bimbang banjir lebih besar di kawasan berkenaan.


Eksekutif Pemasaran, Rita Muhammmad, 28, berkata dia dan suami, Zulfitri Md Zain dan dua anak mereka yang berusia satu dan lima tahun memasuki Thailand Jumaat lalu, bersama keluarga adik perempuannya.


“Kami sepatutnya bertolak pulang semula semalam (kelmarin) tetapi kini terperangkap di Hotel Florida Haadyai,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terpaksacatumakanan/Article/index_html

3 pusat pemindahan dibuka di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Tiga pusat pemindahan di jajahan ini mula dibuka sejak pagi semalam bagi menempatkan keluarga yang terjejas selepas rumah masing-masing dinaiki air berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Sehingga jam 5 petang semalam, tiga pusat pemindahan iaitu Stesen Keretapi Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi dan Masjid Kubang Kual mula menempatkan 340 mangsa.


Tinjauan Harian Metro di salah sebuah pusat pemindahan itu semalam, mendapati kawasan terbabit dinaiki air setinggi 0.5 hingga 1 meter.

Mangsa mula sibuk memindahkan barangan masing-masing termasuk keperluan memasak yang dibawa sendiri dari rumah mereka.


Mangsa, Hasnah Yusuf, 50, dari Kampung Kedai Lama, dekat sini, berkata, rumahnya mula dinaiki air sehingga paras pinggang sejak jam 7.30 malam lagi.


Bagaimanapun, katanya, dia sudah melakukan persiapan awal dengan meletakkan barangan penting di tempat lebih tinggi sebelum berpindah ke pusat pemindahan.

“Banjir ini perkara biasa dan memang dijangkakan pada waktu begini. Saya sudah bersedia meletakkan barangan penting di tempat tinggi supaya selamat,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3pusatpemindahandibukadiRantauPanjang/Article/index_html

14,818 mangsa dipindah

ALOR SETAR: Banjir di Kedah bertambah buruk apabila seramai 14,818 penduduk membabitkan 4,188 keluarga di empat daerah di negeri itu iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Kota Setar dipindahkan ke 87 pusat penempatan apabila rumah mereka dinaiki air sedalam antara satu dan lebih dua meter berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu.

Kubang Pasu mencatat mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 10,834 orang membabitkan 3,108 keluarga diikuti Padang Terap, 3,478 orang daripada 927 keluarga, Kota Setar seramai 438 orang daripada 136 keluarga manakala Pokok Sena membabitkan 68 orang daripada 17 keluarga.


Tinjauan Harian Metro di daerah Padang Terap, semalam mendapati, keadaan bertambah buruk apabila laluan utama dari Kuala Nerang ke Padang Sanai ditutup kerana dinaiki air sedalam 1.5 meter di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dan di bangunan Majlis Daerah Padang Terap.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Padang Terap, Abdul Gafar Yahya berkata, 38 kampung membabitkan 11 mukim di daerah itu terjejas dengan banjir kerana ditenggelami air setinggi paras pinggang sehingga menenggelamkan kenderaan selain terputus perhubungan jalan raya, semalam.


“Kita membuka 41 pusat penempatan sementara di beberapa tempat di mukim ini apabila paras air naik mendadak selepas hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/14_818mangsadipindah/Article/index_html

Budak maut, warga Jerman hilang

ALOR SETAR - Banjir yang melanda Kedah sejak Sabtu lalu meragut korban pertama apabila seorang kanak-kanak berusia 13 tahun ditemui mati lemas manakala seorang warga emas berbangsa Jerman hilang dalam kejadian di Padang Terap dan Kubang Pasu semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Supritendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, mayat kanak-kanak itu, Mohd. Zaki Amani Shaari ditemui selepas dilaporkan hilang ketika memukat ikan di kawasan bendang bersama abangnya di Kampung Charok Bongor, Kuala Nerang dekat sini kira-kira pukul 5 petang semalam.

Katanya, mayat Mohd. Zaki ditemui kira-kira sejam kemudian di tempat dia dilihat tenggelam oleh penduduk kampung yang menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam pada itu, seorang wanita warga emas berbangsa Jerman dikhuatiri lemas setelah dihanyutkan arus deras berhampiran rumahnya di Kampung Kerenjis, Kota Giam, Jitra dekat sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Haminuddin berkata, mangsa, Erna Fisher, 64, dilaporkan hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika keluar bersama anak dan menantunya untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka dinaiki air.

Difahamkan, paras banjir di kampung berkenaan mencecah dua meter dan keadaan berbahaya kerana arus deras.

"Anak dan menantunya berjaya menyelamatkan diri tetapi mangsa dihanyutkan. Sehingga pukul 5 petang ini (semalam) mangsa belum ditemui," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Konvokesyen UUM ditangguh

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) terpaksa menangguhkan sesi kelima dan keenam Sidang Kedua Majlis Konvokesyen ke-23 semalam berikutan kejadian banjir di beberapa daerah di Kedah sejak kelmarin.

Naib Canselornya, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, majlis konvokesyen bagi dua hari pertama sebelum ini yang bermula 31 Oktober hingga 1 November 2010 berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun, katanya, sesi kelima dan keenam pada hari terakhir konvokesyen itu terpaksa ditangguhkan kerana banjir di kawasan sekitar universiti.

Jelasnya, jalan utama yang menghubungkan UUM dengan bandar Alor Setar membabitkan Lebuh Raya Utara-Selatan ditutup kepada semua kenderaan manakala beberapa laluan alternatif tidak selamat untuk digunakan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Lebih 20,000 mangsa banjir dipindahkan


BEBERAPA penduduk mengusung warga emas, Koo Weng Lim, 60, yang lumpuh diKampung Kota Giam, Jitra semalam.


ALOR SETAR – Keadaan banjir di Utara dan Pantai Timur Semenanjung bertambah buruk apabila lebih 20,000 penduduk terpaksa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir semalam.

Di Kedah, seramai 15,432 penduduk daripada 4,251 keluarga di empat daerah di negeri tersebut dipindahkan ke 79 pusat pemindahan berbanding 2,000 penduduk kelmarin.

Paras air Sungai Kuala Nerang mencatat peningkatan 21.05 meter (m) berbanding kelmarin 19.81m melepasi paras bahaya 17.07m dan Sungai Padang Terap mencatat paras air 15.29m melepasi paras bahaya 13.02m.

Sementara itu, di Perlis, jumlah mangsa banjir meningkat dua kali ganda apabila 4,600 penduduk dipindahkan semalam berbanding 1,600 penduduk kelmarin.

Banjir yang sebelum ini melanda Padang Besar dan Arau kelmarin memasuki beberapa kawasan di sekitar Kangar apabila beberapa bangunan awam dan jalan di Kangar termasuk Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ditenggelami air.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

ADUN Lenggeng Diarahkan Bela Diri Atas Dakwaan Rasuah

Rabu November 3, 2010

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim hari ini diarahkan membela diri atas tiga dakwaan mendapatkan dan menerima rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Ahmad Nasfy Yasin berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ADUN penggal pertama itu.

April lalu, Mahkamah Sesyen di sini telah membebaskan Mustafa, 51, daripada tuduhan tersebut bagaimanapun pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan berkenaan.

Beliau dituduh menerima rasuah sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan kepada seorang kontraktor M. Manimaran, 37, bagi mendapatkan permit menjual pasir.

Sebelum ini, hakim Mahkamah Sesyen, Amran Jantan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_mahkamah/20101103104842&sec=mstar_mahkamah

Hukuman mati ke atas pembunuh Along



PUTRAJAYA - Seorang anggota polis tetap menjalani hukuman mati selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh penyanyi kumpulan Spoon, 11 tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang mendapati Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati bersalah terhadap tuduhan membunuh Sabi’ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Sewaktu keputusan itu diumumkan, Mohamed Ya’cob, 44, dari cawangan pengawal pengiring Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, kelihatan tenang.

Abdull Hamid yang mengumumkan keputusan itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah apabila menerima maklumat daripada Mohamed Ya’cob mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan yang membawa kepada penemuan mayat Along, di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras.

Abdull Hamid berkata, selain maklumat mengikut Seksyen 27 itu, terdapat keterangan mengikut keadaan yang membawa kesimpulan bahawa Mohamed Ya’cob telah membunuh Along.

"Terdapat keterangan menunjukkan bahawa Mohamed Ya’cob merupakan orang terakhir bersama dengan si mati, malah seorang saksi pendakwa, Mohd Fadzil Mohd Yatim juga telah memberi keterangan bahawa dia telah diminta oleh Mohamed Ya’cob untuk meninggalkan mereka (Ya’cob dan Along) di tempat di mana mayat Along ditemui kemudian.

"Selain itu, terdapat keterangan bahawa Mohamed Ya’cob menyoal si mati berkali-kali dengan suara yang keras tentang hubungannya (Along) dengan isterinya (Ya’ cob)," katanya.

Mohamed Ya’cob, yang merupakan pengawal peribadi kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 dan ke-11 pada 1999, didakwa membunuh penyanyi berumur 19 tahun itu di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.

Along yang popular dengan lagu 'Rindu Serindu-Rindunya' dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 dan polis kemudian menjumpai rangka manusia dipercayai penyanyi itu, yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, pada 6 Januari 2000.

Pada 29 Ogos 2008, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamed Ya’cob terhadap sabitan dan hukuman mati yang dihadapinya.

Dalam keputusannya itu, Abdull Hamid tidak bersetuju dengan hujah peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohamed Ya’cob bahawa anak guamnya tidak diberikan satu perbicaraan yang adil kerana Hakim Mahkamah Tinggi telah mengambil kira-kira lima tahun dan lima bulan untuk menyediakan asas penghakimannya.

Abdull Hamid berkata, bukan semua kelewatan boleh membatalkan semua prosiding mahkamah.

"Mahkamah Tinggi telah memberikan keputusannya pada 10 April 2002, iaitu sebulan, empat hari selepas selesai mendengar perbicaraan kes itu.

"Maka, tidak boleh mengaitkan isu kelewatan dengan hak Mohamed Ya’cob untuk mendapatkan perbicaraan yang adil," katanya.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, Mohamed Ya’cob memberitahu Mohd Fadzil bahawa dia mensyaki isterinya ada hubungan dengan si mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8364455.asp

Hukuman gantung dikekalkan



GAMBAR fail menunjukkan Mohamed Ya’cob dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh Along Spoon pada 26 Disember 1999.


PUTRAJAYA - Seorang anggota polis tetap akan menjalani hukuman mati selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh penyanyi kumpulan Spoon 11 tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang dibuat selepas mendapati Lans Koperal Mohamed Ya'cob Demyati bersalah terhadap tuduhan membunuh Sabi'ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along (gambar kecil) dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya pada 10 April 2002.

Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md. Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Sewaktu keputusan itu diumumkan, Mohamed Ya'cob, 44, dari cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, kelihatan tenang.


Sunday, October 31, 2010

Buang toksin dalam tubuh




SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran bahan kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan kerang terus diperkatakan hingga kini.

Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968.

Dalam insiden tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia bertoksik tinggi itu.

Bagaimanapun, peristiwa tersebut menyebabkan para saintis lebih giat mengkaji kehadiran logam berat berbahaya di dalam hidupan laut yang menjadi makanan masyarakat dunia.

Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin serta mackerel kerana ia tercemar dengan merkuri.

Tahap radiasi merkuri ikan tuna dikenal pasti berdasarkan jenis dan tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri mampu merosakkan perkembangan otak serta fizikal janin.

Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja.

Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup atau sesuatu yang disentuh oleh tangan.

Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri, aluminium kadmium, dan plumbum.

Semula jadi


BEKAM penyahtoksin ialah antara kaedah alternatif untuk membuang toksin daripada dalam tubuh.


Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak 43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada tahun 2008 berpunca daripada kandungan isi rumah.

Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan toksik berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan (hidung), kulit dan mata.

Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein, karbohidrat, vitamin, serat dan antioksidan.

Namun, terdapat bahan beracun seperti cyanogenic glycoside di dalam sesetengah ubi.

Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan sampingan bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau acrylamide.

Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti aflatoksin dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati dalam bekalan makanan pada tahap berbeza-beza.

Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini, hampir 99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya.

Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa tambahan Rhodamine B.

Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah pinggang dan koronari jantung.

Risiko


SESETENGAH jenis ikan mungkin dicemari logam berat, bergantung pada tempat ia ditangkap.


Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan badan dan seeloknya diharamkan penjualannya.

Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik masih digunakan dalam produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau Pinang mendapati ia mengandungi asid borik dalam semua sampel.

“Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya (0.78 hingga 13.5 bps) asid borik.

“Asid borik amat toksin. Walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, ia boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang dan hilang selera makan,” katanya kepada Jurnal.

Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar sotong kering, mereka dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati ia dicemari kadmium.

Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran, dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik.

Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan.

Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh menjejaskan sistem endokrin.

Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di sekitar negeri Kedah.

Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air kencing, peluh dan pembuangan air besar.

Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal berfungsi?

Nyahtoksin

Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak, sesetengah orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran atau toksin yang terperangkap itu dengan pelbagai cara.

Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh.

Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi oleh organ tubuh.

“Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam tubuh,” terang beliau.

Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi chelation yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses tersebut, katanya.


BUAH-BUAHAN dapat membantu mengeluarkan toksin daripada tubuh tetapi awas ia juga mungkin telah dicemari racun.


Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur.

Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin setiap tiga atau enam bulan sekali.

“Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat perlu untuk memastikan toksik keluar daripada tubuh.

“Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah pinggang atau hati di samping berlakunya dehidrasi,” katanya.

Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak, individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur.

Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap toksin di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa ‘melekat’ pada lemak.

Selain itu, tubuh turut memerlukan agen pemulihan.

“Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai anggur boleh membantu memulihkan organ yang luka akibat proses nyahtoksin,” kata Esther.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Jururawat datang ke rumah


LOVE On Wheels menyediakan pakar dan jururawat terlatih.


MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth di Melbourne, Australia pada awal Oktober lalu bagi mendapatkan rawatan jangkitan kuman dalam dada.

Setelah dibenarkan keluar, Dr. Mahathir diletakkan di bawah pengawasan melalui penjagaan di rumah.

Khidmat tersebut, mengikut gambaran Dr. Mahathir yang ditulis dalam blognya, chedet.co.cc, membuatkan beliau berasa dijaga dengan baik seperti di hospital tetapi dalam suasana selesa di rumah dan di samping keluarga.

“Saya percaya khidmat seperti ini dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun,” ujarnya.

Manakan tidak, dengan adanya khidmat seperti itu, ahli keluarga yang menjaga pesakit dapat terus bekerja seperti biasa.

Mereka juga tidak perlu menanggung pelbagai kos seperti tol dan petrol atau caj bermalam di wad.

Malah, di Jerman, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Love On Wheels Healthcare Services Sdn. Bhd. (Love On Wheels), Mohan Kumar sudah ada 9,000 pengendali yang menawarkan perkhidmatan penjagaan perubatan bergerak.

Paling muda

“Ini menunjukkan penjagaan kesihatan mobil bukan perkara baru dalam industri perubatan di Eropah. Ia mungkin sudah berusia lebih 10 tahun di sana,” ujarnya.

Love On Wheels merupakan operator khidmat penjagaan kesihatan bergerak berintegrasi sepenuhnya yang pertama di Malaysia.

Ia beroperasi menggunakan tenaga dan kepakaran jururawat berdaftar, pakar fisiologi, pakar terapi pekerjaan dan pakar diet.

“Tidak lama lagi kami akan menambah perkhidmatan lain termasuk penjagaan pelegaan dan pendidikan keibubapaan,” kata Mohan.

Berpejabat di Kelana Jaya, Selangor, Love On Wheels sudah pun membuat lebih daripada 200 lawatan ke rumah pesakit di sekitar Lembah Klang sejak beroperasi awal tahun ini.

“Pesakit paling muda berumur lebih dua tahun. Dia mendapatkan rawatan terapi pertuturan.

“Pesakit paling tua pula berumur 93 tahun untuk rawatan fisioterapi.

“Jika sebelum ini dia terlantar di katil di rumah, sekarang dia sudah dapat berjalan,” dedah Mohan.

Kajian Health Services Research (HSR), Amerika Syarikat ke atas warga tua yang mendapatkan rawatan lanjutan di rumah juga mendapati biarpun kesan positifnya sedikit, namun corak pemulihan yang konsisten menjanjikan impak yang penting dalam perkembangan industri perubatan.

“Memang sudah terbukti penjagaan selepas rawatan di rumah meningkatkan kadar pemulihan pesakit.

“Mereka berada dalam persekitaran yang selesa, jadi kadar pemulihan sewajarnya lebih tinggi.

Kos


KHIDMAT penjagaan di rumah dapat mengurangkan pelbagai kos seperti tol, minyak dan masa.


“Lagipun, keluarga ialah satu unit di Malaysia. Mereka tidak sepatutnya dipisahkan,” terang Mohan.

Berpendapat cabang perubatan ini amat penting dalam memastikan pesakit pulih dengan sebaiknya selepas mendapat rawatan, Mohan mencadangkan syarikat insurans supaya menghasilkan produk baru yang dapat meliputi penjagaan pesakit di rumah.

“Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini ada menyebut tentang pengecualian cukai sehingga RM5,000 ke atas perbelanjaan perubatan bagi ibu bapa pembayar cukai termasuklah untuk penjagaan di rumah atau pusat jagaan.

“Jadi syarikat insurans perlu menghasilkan produk yang bersesuaian yang dapat membantu orang ramai menggunakan peluang ini,” usulnya.

“Selain itu, syarikat yang merencana untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menderma ke rumah-rumah kebajikan dan sebagainya bolehlah mempertimbangkan sumbangan berbentuk penjagaan kesihatan seperti ini kepada warga emas di pinggir bandar dan sebagainya,” cadang Mohan

Hakikatnya, Mohan sendiri pernah menjadi penjaga pesakit.

“Saya melihat sendiri betapa sukar untuk arwah emak dan ayah saya bersiap setiap kali perlu berkunjung ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Ia sangat memenatkan bagi golongan berusia seperti mereka. Sampai di hospital mereka perlu menunggu giliran pula.

“Jadi dari situlah lahirnya Love On Wheels,” kata bekas akauntan ini.

Bagaimanapun, Love On Wheels tidak melibatkan perkhidmatan kecemasan atau penggunaan ambulans.

“Masa bukanlah faktor penting dalam kerja kami.

“Sebaliknya kami membantu memulihkan pesakit yang memerlukan rawatan seperti fisioterapi, kaunseling diet, terapi pekerjaan, terapi pertuturan, kaunseling psikososial, pengurusan luka, penjagaan pesakit berpenyakit kritikal dan sebagainya,” umum Mohan.

Menurutnya, kos purata untuk penjagaan atau rawatan di rumah yang disediakan ialah kira-kira RM100 sehari.

“Caj untuk perkhidmatan ini bergantung pada jenis rawatan yang diperlukan pesakit, kekerapan rawatan dan jangka masa keseluruhan rawatan.

“Keperluan pesakit akan dinilai dalam lawatan pertama ke rumah mereka.

“Dari situ barulah dapat ditetapkan jenis rawatan, tempoh rawatan dan kekerapan rawatan tersebut,” kongsinya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_05.htm

Ibu tua terbiar

Oleh ARIFIN SALLEH

ALOR GAJAH: Dia mempunyai enam anak berusia 20 hingga 50 tahun, tapi semuanya memilih untuk membawa haluan masing-masing hingga menyebabkan hidup si ibu dalam kedaifan.

Itu nasib K Puspathy, 75, warga emas yang hanya bergantung dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk meneruskan kehidupannya di sebuah rumah usang sejak beberapa tahun lalu.


Dia yang menetap di Kampung Machap Baru, dekat sini, tinggal seorang diri di rumah usang yang menunggu masa untuk rebah ke bumi selepas mendiang suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.


Puspathy berkata, kehidupannya mula berubah selepas kesemua anaknya tidak tinggal bersama dengannya, sekali gus menyebabkannya sentiasa merenung nasib diri pada sisa-sisa usia.

Menurutnya, walaupun menyedari keadaan rumah yang diduduki sejak 35 tahun lalu itu tidak selamat, dia tidak mempunyai pilihan lain selepas kediaman lamanya diambil bagi pembinaan empangan.


“Saya terpaksa tinggal di rumah ini kerana tiada rumah lain, selain biasa dengan keadaan ini. Walaupun rasa kurang selesa, apa boleh buat kerana ini saja tempat yang ada selagi saya masih hidup.

“Sebelum ini saya ada memohon bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin tetapi tiada tanah untuk menyokong permohonan. Jika mohon pun belum tentu boleh dapat, menyebabkan tiada pilihan selain terpaksa tinggal di rumah usang ini.


“Cuma saya masih bernasib baik apabila berjiran dengan sebuah keluarga Melayu yang banyak menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit kerana mereka sentiasa mengambil berat keadaan saya yang tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurutnya, keadaan rumah itu memang teruk kerana terlalu usang dengan lantai semakin mereput, manakala bumbung pula bocor dan terpaksa ditutup menggunakan plastik sampah bagi mengelak basah jika ditimpa hujan.


Malah, katanya, lantai papan pecah di banyak tempat dan berlubang, manakala siling rumah bocor dan tidak selamat untuk didiami selain pernah beberapa kali dimasuki ular sawa dan binatang liar.


“Semua bumbung dan siling bocor, kalau hujan lebat waktu saya tidur, saya terpaksa berlari turun ke bawah rumah sambil membawa bantal dengan kain selimut untuk berteduh.


“Apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak mampu bekerja kecuali mengharapkan wang bantuan, dan tinggal bertemankan beberapa ekor binatang peliharaan bagi menghilangkan kesunyian, tetapi perlu sentiasa cekal untuk meneruskan hidup.


“Lagipun, saya biasa dengan keadaan di sini. Bila angin kencang, bumbung rumah bergegar dan pasti ada dinding atau bumbung tertanggal, malah papan lantai turut tercabut, tetapi saya nak pergi ke mana lagi, mahu mengharapkan anak, mereka pun jarang menjenguk,” katanya.


Jirannya, Harun Omar, 53, yang juga keluarga angkat kepada warga emas itu berkata, warga emas berkenaan pernah memohon rumah di bawah PPRT sejak dua tahun lalu, tetapi hingga kini tiada jawapan.


“Kalau tengok pada struktur rumah didiami Puspathy, memang tidak sesuai. Saya bukan apa, cuma khuatir kalau perkara tidak diingini berlaku terhadap dirinya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibutuaterbiar/Article/index_html

Pelajar kena cekup di hotel murah

Oleh SURAYA ROSLAN

PETALING JAYA: Niat sepasang remaja untuk bermalam di sebuah hotel murah di sini tidak kesampaian apabila dicekup dalam operasi penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), tengah malam kelmarin.

Remaja perempuan berusia 21 tahun itu dari sebuah institusi pengajian tinggi awam disyaki berdua-duaan dengan teman lelakinya yang datang dari Perak.


Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu yang bekerja sebagai pemandu lori dikatakan mahu menghabiskan baki cutinya dengan kekasihnya di hotel terbabit.


Ketua Unit Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa Jais Shah Alam, Mohammad Haffizi Mohd Roslan berkata, operasi bersepadu bersama beberapa anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dibuat khas selepas mendapat aduan orang ramai mengenai wujud aktiviti tidak bermoral di sebuah hotel di sini.

“Malah, dalam serbuan itu juga, kami terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum remaja perempuan yang lengkap berpakaian membuka pintu. “Hasil pemeriksaan kami mendapati lelaki berkenaan berpakaian lengkap dan berseluar pendek, manakala kekasihnya berpakaian lengkap. Kedua-duanya terus menuju ke sebuah katil selepas membuka selak pintu bilik,” katanya di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.


Mohammad Haffizi berkata soal siasat mendapati kedua-dua remaja terbabit didapati tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan seterusnya dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

Difahamkan, gadis itu memberi alasan dia hanya menemani teman lelakinya seketika sebelum ke kolej.


Menurutnya, kedua-dua mereka dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.


Mengikut Seksyen 18 (1), Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, pesalah yang berkhalwat boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.


Sementara itu, sebuah kelab malam berdekatan hotel berkenaan yang menjadi tumpuan remaja Islam untuk mendapatkan keseronokan dengan mengambil minuman memabukkan dan berpakaian menjolok mata turut diserbu penguat kuasa Jais.


“Tiga remaja lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan ketika leka meneguk minuman keras manakala enam wanita Islam ditahan kerana berpakaian tidak senonoh dan boleh mencemar agama,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarkenacekupdihotelmurah/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...