Wednesday, November 3, 2010

Penduduk berebut beli kuih kering di pasar raya

KANGAR: Penduduk berebut-rebut mendapatkan makanan hingga menyebabkan jualan kuih kering di pasar raya sekitar Kangar kehabisan berikutan banjir yang mula menenggelamkan hampir keseluruhan bandar itu, semalam.

Tinjauan mendapati barangan makanan, termasuk mi segera, roti dan biskut kehabisan sejak malam kelmarin ketika air mula melimpah memasuki bandar Kangar.


Setakat ini, hampir 4,000 penduduk dipindahkan ke 35 pusat pemindahan yang disediakan Jawatankuasa Bencana Alam di seluruh Perlis berbanding 1,600 mangsa dicatatkan jam 12 tengah malam kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengarahkan semua cuti kakitangan agensi yang berkaitan dibekukan berikutan banjir bertambah buruk sekarang. Malah, dilaporkan ada kampung di sekitar Kangar dinaiki air sehingga dua meter hingga menyebabkan pasukan penyelamat menggunakan sampan untuk memindahkan mangsa.


“Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis menyetujui langkah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis melepaskan takungan air di empangan Timah Tassoh selepas mencatat paras tertinggi 30.45 meter iaitu melebihi paras bahaya.


“Kami sedar tindakan melepaskan air takungan terbabit memberi kesan kepada bandar Kangar tetapi terpaksa dilakukan bagi mengelak kejadian lebih buruk terhadap empangan berkenaan,” kata Md Isa selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sena, di sini, awal pagi semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Azizan Hamid; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Jamil Saad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) Perlis, Abdullah Ali.


Md Isa menasihatkan penduduk menjaga keselamatan diri dan keluarga serta tidak membiarkan anak bermain air banjir tanpa diawasi hingga boleh menyebabkan kemalangan jiwa.

Katanya, banjir memusnahkan 11,000 hektar kawasan penanaman padi manakala dua pertiga daripada negeri itu dinaiki air banjir bermula malam Ahad lalu.


Difahamkan, 4,000 mangsa berasal dari lebih 30 kampung terjejas kini ditempatkan di 35 pusat pemindahan yang dibuka pihak berkuasa termasuk lebih separuh di sekitar Kangar dan Arau, yang dilapor mula dinaiki air sejak malam kelmarin.


Berdasarkan maklumat, selain kawasan pusat bandar dan beberapa taman sekitar pinggir daerah itu dilaporkan dinaiki air sehingga dua meter bermula 10 pagi semalam, kawasan pekan Arau termasuk sekitar Istana Diraja Arau, turut terjejas sekali gus menghalang laluan keluar masuk ke lokasi berkenaan.


Selain itu, beberapa laluan utama memasuki Kangar dan Arau ditutup selepas terhalang dengan banjir manakala laluan ke Padang Besar masih lagi gagal dilalui terutama kenderaan kecil terutama di Balai Baru, Beseri dan juga Padang Melangit.


Difahamkan, sehingga semalam 21 sekolah di seluruh negeri membabitkan 11 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah diberikan cuti bencana membabitkan 9,226 pelajar, selepas semua premis terbabit sama ada terjejas atau digunakan untuk tujuan pemindahan.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi berkata, sehingga kini 35 pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri terutama di sekitar Kangar dan Arau, manakala beberapa pusat di sekitar Padang Besar ditutup semula.


Difahamkan, banjir yang melanda Perlis bermula malam Ahad lalu berpunca daripada hujan lebat yang secara tidak langsung menyebabkan takungan air di beberapa sungai utama termasuk Empangan Timah Tasoh melimpah.


Malah, tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuka enam pintu air untuk melepaskan lebihan takungan turut dikatakan menjadi pendorong kepada peningkatan paras air, sekali gus menenggelamkan hampir dua pertiga kawasan negeri.


Pengarah JPS Perlis, Ir Nishad Mohamed Mohd Shaffy, ketika ditemui bagaimanapun menafikan tindakan pihaknya melepas keluar air melalui enam pintu di empangan terbabit menjadi punca utama banjir di Perlis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendudukberebutbelikuihkeringdipasarraya/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...