Wednesday, November 3, 2010

IPO PETRONAS RM5.05 sesaham

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/11/03

MUHYIDDIN menunjukkan Prospektus PETRONAS Chemicals Group Berhad selepas majlis pelancaran prospektus berkenaan di KLCC, semalam.
MUHYIDDIN menunjukkan Prospektus PETRONAS Chemicals Group Berhad selepas majlis pelancaran prospektus berkenaan di KLCC, semalam.
Jumlah saham RM12.5 bilion terbesar di Asia Tenggara atasi Maxis

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG), membuat tawaran awam permulaan (IPO) 2.48 bilion saham sempena penyenaraiannya di Bursa Malaysia, iaitu pada harga RM5.05 sesaham bagi pelabur runcit, serta sehingga RM5.20 sesaham bagi pelabur institusi.

Berdasarkan harga tawaran berkenaan, IPO anak syarikat PETRONAS itu yang mewakili 31 peratus jumlah sahamnya adalah bernilai kira-kira RM12.5 bilion, menjadikannya IPO terbesar di Asia Tenggara setakat ini, mengatasi IPO Maxis Bhd pada November 2009 yang bernilai RM11.2 bilion.
Apabila disenaraikan di Papan Utama 26 November nanti, saham syarikat itu akan dimasukkan sebagai antara komponen utama indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI Bursa Malaysia.

Daripada 2.48 bilion saham bernilai 10 sen sesaham yang ditawarkan itu, 1.78 bilion adalah saham sedia ada, manakala 700 juta lagi adalah saham terbitan baru.

Sebanyak 1.486 bilion sedia ada itu akan ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing pada harga yang akan ditentukan menerusi proses pembidaan, iaitu sehingga RM5.20 sesaham, manakala 293.02 juta lagi untuk langganan rakyat Malaysia, pengarah PCG dan PETRONAS serta pelanggan syarikat itu yang layak pada harga RM5.05 sesaham.

Saham terbitan baru sebanyak 700 juta itu pula ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing terpilih pada harga tawaran pelabur institusi.
Pengerusi PCG, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata penyenaraian itu memberikan peluang kepada rakyat Malaysia melabur dalam saham PCG untuk menikmati pulangan jangka panjang sama seperti penyenaraian anak syarikat PETRONAS lain sebelum ini.

“PCG mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang hasil pembinaan lebih banyak kompleks produk petrokimia dan perkembangan industri sampingan lain,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO PCG di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas; Presiden dan Ketua Eksekutif PCG, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut dan Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Tan Sri Md Nor Yusof.

Wan Zulkiflee berkata, PCG akan menggunakan dana yang diraih daripada IPO itu untuk mengembangkan perniagaan petrokimianya termasuk membina loji ammonia dan urea di Sabah dianggarkan bernilai antara AS$900 juta (RM2.8 bilion) hingga AS$1 bilion (RM3.1 bilion).

PCG, katanya dijangka memperoleh kebenaran bagi memulakan projek itu dalam tahun kewangan akan datang.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya yang dibacakan Muhyiddin berkata, penyenaraian PCG akan menyumbang kepada perkembangan pasaran modal tempatan kerana ia meningkatkan lagi kecairan pasaran yang diperlukan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Menjelang akhir tahun ini, penyenaraian anak syarikat PETRONAS termasuk Malaysia Marine & Heavy Engineering Bhd Jumaat lalu secara kolektif akan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada permodalan pasaran dan kira-kira 16 peratus daripada komponen indeks," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...