Tuesday, September 30, 2008
Ampunkan adik, mak!
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Rasa berdosa kerana ditangkap ketika berkhalwat pada malam Ramadan menyebabkan seorang pelajar perempuan hampir sasau dan bertindak seperti orang hilang akal apabila menangis teresak-esak sambil memohon ampun kepada pencegah maksiat, seolah-olah ibunya berada di depan matanya.
Gadis berusia 18 tahun yang juga pelajar sebuah universiti awam, dikatakan bercakap seorang diri dengan merayu dosanya dimaafkan ibunya walaupun ketika itu orang tuanya berada ratusan kilometer di kampung di Kota Tinggi, Johor.
Ketika kejadian, gadis terbabit dikatakan mengambil kesempatan cuti hujung minggu bertemu buah hatinya bagi melepaskan rindu di sebuah rumah sewa di Kajang, Selangor.
Menceritakan insiden berkenaan, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Ahmadi Baharudin, berkata dia menerima aduan daripada penghuni rumah itu yang tidak tahan dengan sikap buruk rakan serumah yang gemar melakukan maksiat.
Katanya, pengadu memaklumkan rumah disewanya bersama beberapa rakan lelaki sering dijadikan markas bagi meneguk minuman keras selain melakukan seks bebas.
“Katanya, setiap hujung minggu rakannya sering membawa dua hingga empat gadis untuk melakukan hubungan seks sambil meneguk arak.
“Setiap kali rakan-rakan serumahnya membawa balik perempuan, dia akan keluar kerana tidak tahan melihat perlakuan jijik mereka,” katanya.
Ahmadi berkata, susulan maklumat itu, dia bersama beberapa petugas Sidim menyiasat dan menyerbu rumah terbabit pada jam 10 malam, kelmarin.
Namun, katanya sebaik tiba di lokasi, hatinya tersentak seketika apabila mendapati rumah itu terletak betul-betul di depan surau dalam kawasan perumahan terbabit.
“Saya dan rakan mengucap serta mengeluh panjang melihatkan keadaan itu. Ternyata remaja yang dimaksudkan itu langsung tidak ada rasa malu walaupun kedudukan surau itu beberapa meter dari rumah mereka,” katanya.
Menurutnya, selepas yakin lokasi dituju, mereka mengetuk pintu rumah terbabit berulang kali sebelum dibuka beberapa remaja lelaki yang kelihatan terhuyung-hayang mabuk.
“Kami terus masuk dan mendapati lima remaja lelaki berada di ruang tamu,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati empat lagi remaja lelaki berada di tingkat atas sedang asyik meneguk botol besar arak berjenama ‘T Son’.
Menurutnya, semua belia berusia 19 hingga 20 tahun terbabit didapati masih menuntut.
“Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan di sebuah bilik di tingkat bawah mendapati sepasang remaja lelaki dan perempuan dalam keadaan sungguh mengaibkan,” katanya.
Ahmadi berkata, pasangan terbabit ditemui atas katil tanpa seurat benang dan apabila disoal, mereka mengaku sudah melakukan hubungan seks sebanyak dua kali.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati gadis berumur 18 tahun itu baru tiba dari Johor Bahru pada sebelah petang semata-mata untuk berjumpa kekasihnya yang juga seorang pelajar kolej di sini, berusia 20 tahun.
“Gadis terbabit mengaku dia mula ketagih melakukan hubungan seks selepas kali pertama terjebak dengan perbuatan maksiat itu beberapa minggu lalu.
“Namun, gadis terbabit yang kini mengikuti kelas matrikulasi tiba-tiba meraung dan menangis sekuat hati. Kami terkejut atas perubahan tingkah laku mendadaknya itu,” katanya.
Ahmadi berkata, gadis terbabit menitis air mata tidak henti-henti sambil menjerit, ‘emak, ampunkan dosa adik! Adik tak buat lagi!’ berulang kali sambil bersujud seolah-olah ibunya berada di depan mata.
Tingkah laku aneh yang berlanjutan kira-kira 15 minit itu menyebabkan Ahmadi dan rakannya tergamam dan cuba memujuk gadis terbabit bertenang.
“Gadis itu mungkin berasa amat bersalah atas dosa maksiat dilakukan. Namun selepas dinasihatkan, gadis yang dikenali sebagai Nor itu dapat ditenteramkan.
“Kami bertanya asal-usulnya sebelum gadis itu memberitahu mempunyai seorang saudara yang tinggal di Puchong. Saya segera menghubungi saudaranya itu sebelum sepasang suami isteri yang mengaku ibu dan bapa saudara gadis itu datang mengambilnya,” katanya.
Menurutnya, gadis terbabit dan teman lelakinya juga sempat diberikan kaunseling supaya bertaubat nasuha dan meninggalkan perbuatan terkutuk itu.
“Malah, bapa dan ibu saudara gadis berkenaan turut diminta memaklumkan kejadian berkenaan kepada ibu bapa kandung gadis terbabit bagi mengelakkan insiden maksiat sama berulang,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Tuesday/30092008
No comments:
Post a Comment