Sempena hari raya Aidilfitri ini, wartawan ADHAM SHADAN dan jurufoto HAFIZH KOSHMAT mengajak para pembaca mengenali hentian Puduraya yang menjadi hentian ikon untuk pulang ke kampung di ibu kota.
-------------------------------------------------------------------
KALIMAH raya bukan sembarangan. Ia menggambarkan betapa besarnya sesuatu itu. Mungkin begitulah gambaran yang boleh diberikan apabila berpadunya hari kebesaran umat Islam, Hari Raya Aidilfitri dan hentian Puduraya di Kuala Lumpur. Begitu jitu.
Seringkali apabila hari raya menjelang tiba, tidak akan ada sesiapapun mampu menyangkal kaitannya dengan hentian bas Puduraya. Di hentian inilah, sebilangan warga kota berpusu masuk sebagai titik permulaan menuju ke desa, demi hasrat murni menemui ayah bonda tercinta. Pulang ke kampung pada hari perayaan sudah menjadi tradisi warga Malaysia.
Walaupunterdapat beberapa hentian bas ekspres lain di ibu kota namun, hentian yang terletak di persimpangan Jalan Pudu ini mempunyai signifikan yang terlalu besar.
Ia merupakan terminal bas ekspres utama dan paling lama di ibu kota berbanding terminal-terminal bas yang ada pada hari ini.
Sebelum hentian Putra mengambil alih sebahagian besar perjalanan ke Timur atau hentian Duta mengambil alih sebahagian perjalanan ke Utara tanah air, semuanya bermula di sini.
Puduraya mula dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pada 2 Oktober 1976. Kini, sudah 32 tahun dan ia terus berbakti kepada penghuni kota.
BEGINILAH rupa stesen kereta api Jalan Sultan yang terletak di tapak asal hentian Puduraya.
-------------------------------------------------------------------
Mengenalinya lanjut, Puduraya sebenarnya terbina di atas asas kemeriahan pusat pengangkutan awam ibu kota, apabila tapak asalnya merupakan sebuah stesen keretapi. Stesen berkenaan, Stesen Keretapi Jalan Sultan amat terkenal sebagai tempat persinggahan pengunjung luar ke pusat bandar sebelum tahun 1976.
"Puduraya dilihat sebagai satu bangunan yang amat moden pada zaman itu. Kala itu pun, tidak banyak bangunan-bangunan pencakar langit. Berdekatan dengannya, cuma terdapat bangunan Cahaya Suria. Bangunan Dayabumi yang terletak berhampiran Dataran Merdeka pun boleh dilihat terus dari sini!" kata seorang pekerja, Mat Nor Rahim yang telah berkhidmat di Puduraya lebih 20 tahun. Dia mengimbau kenangan ketika mula berkhidmat Puduraya pada pertengahan 1980-an.
Ceritanya lagi, dahulu di sebelah Puduraya terdapat sebuah padang bola yang dinamakan padang bola SCRC yang menjadi tumpuan warga kota kerana ia padang paling dekat dalam bandar. Tapak padang bola itu kini merupakan bangunan Plaza Rakyat.
"Mungkin kerana menyedari terdapatnya bekas-bekas laluan keretapi sedia ada, maka ia kini ditransformasi menjadi laluan transit aliran ringan (LRT)," katanya lagi.
Seorang lagi pekerja lama, Rosmah Sidek bercerita, ketika Puduraya mula beroperasi dahulu, keadaan amat jauh berbeza dari sekarang.
"Dulu, keadaan di sini agak lengang. Masa itu pun pengangkutan bas baru-baru popular. Kaunter tiket pun tidak banyak, ada 18 buah sahaja. Orang yang datang pun tidak ramai. Sekarang ini, mana tidak sibuk. Kaunter tiket sahaja ada lebih 100 buah," katanya yang bermula bertugas di Puduraya sebagai penjaga kaunter tiket dan kini merupakan kerani di pejabat pengurusan.
"Terdapat antara kaunter-kaunter tiket yang ada di Puduraya sekarang, asalnya tapak sebuah restoran dan pejabat pos," katanya.
Cerita Rosmah lagi, pada zaman dulu, bukan sahaja sebagai pusat yang menyatukan bas-bas di ibu kota, Puduraya ibarat satu mercu yang mesti diketahui terutamanya bagi mereka yang bukan dari Kuala Lumpur.
"Macam mana pun orang akan cari Puduraya," ujarnya.
PAPAN-PAPAN tanda lebih ceria kini menghiasi Puduraya.
-------------------------------------------------------------------
Jelas sekali, bangunan Puduraya suatu ketika dahulu telah menjadi satu daya tarikan di Kuala Lumpur. Dengan wajah moden binaannya, lengkap dengan tingkat-tingkat hotel di atasnya, ia dilihat sebagai terminal bas yang amat menyelesakan kala itu.
Namun, peredaran masa turut mempengaruhi segalanya seiring kepesatan. Apabila semakin banyak bangunan-bangunan pencakar langit dibina, keadaan bas berubah serta kadar pengguna bas meningkat seiring populasi manusia, mungkin keupayaan yang dimiliki Puduraya dahulu kini jadi terbatas.
Menurut Shytul Shahryn Mohamad Shaari, Pengurus Besar UDA Mall Sdn. Bhd., selaku agensi yang mengurus hentian ini, Puduraya telah direka mengikut keperluan pada masa ia dibina.
"Kapasiti, ruang dan saiznya diukur mengikut keadaan bas dan bilangan pengguna pada masa itu. Tapaknya yang berkeluasan 7,293 meter persegi itu juga telah digunakan semaksimanya untuk pembinaannya. Apabila dunia semakin berubah, bas semakin besar saiznya, ada pula yang dua tingkat, syarikat bas bertambah, bilangan bas dan pengguna meningkat dengan banyaknya, faktor-faktor ini turut mempengaruhi keupayaannya dan menyumbang kepada kesesakan," kata Syhtul.
Sebagai contoh, Puduraya memiliki 24 platform tetapi 23 platform sahaja yang berfungsi. Ini kerana, platform paling hujung tidak mungkin dapat membolehkan saiz bas yang besar pada hari ini untuk melakukan pusingan.
Dalam sehari, Puduraya menampung purata 40,000 pengunjung dan jumlah ini akan meningkat sekali ganda apabila waktu puncak seperti menjelang hari raya. Ia menerima 800 jadual perjalanan dalam sehari dan pada hari raya jumlahnya boleh meningkat melebihi 1000 jadual perjalanan.
"Mujurlah pada raya tahun ini, demi mengelakkan keadaan menjadi lebih sesak, semua perjalanan ke Selatan telah dipindahkan ke hentian bas sementara, Bukit Jalil," katanya sambil menjelaskan pada hari biasa ia menampung purata 423 perjalanan ke Utara, 354 perjalanan ke Selatan dan 76 perjalanan ke Timur.
Shytul memberitahu bermula dari tahun 2005, renovasi dan pembaikpulihan besar-besaran telah dilakukan ke atas hentian Puduraya. Bangunan tersebut dicat baru keseluruhannya. Jika dahulu luar bangunannya berwarna agak terang, kini ia dicat dengan warna kecoklatan. Surau juga telah dibina baru.
Pertambahan papan-papan tanda pula menceriakan. Kaunter tiket ditambah, aspek pengwayaran, pengudaraan dan pencahayaannya diperelok dan mana yang bocor dibaiki.
"Kami sedar betapa panasnya keadaan di bawah platform sana, apatah lagi apabila 60 buah bas berhenti pada satu-satu masa. Kita telah meletakkan 16 set sistem kipas yang baru di situ," katanya sambil menegaskan UDA Holdings Berhad berkhidmat atas tanggungjawab sosial.
"Pada hemat saya Puduraya akan kekal relevan. Jika pun ia ditakdirkan tidak lagi menjadi terminal bas ekspres pada masa akan datang kerana keperluan zaman yang mendesak, dengan keupayaannya menyatukan pelbagai jaringan pengangkutan, ia masih sesuai untuk menjadi hab pengangkutan untuk bas henti-henti. Atau setidak-tidaknya, berpotensi menjadi pusat membeli-belah," katanya yang menjelaskan dari kira-kira 300 kedai yang tersedia di Puduraya, dianggarkan 90 peratus daripadanya merupakan pemilik yang sudah begitu lama.
-------------------------------------------------------------------
Bagi seorang peniaga runcit, Husin Hasan yang telah berniaga di situ selama 32 tahun, dia berada di situ saban hari dan dia lebih tahu berbanding orang ramai di luar sana tentang apa yang berlaku di Puduraya.
"Pakcik melihat ia terus membangun, maju dan maju. Amat berbeza dulu dan sekarang. Dari zaman pakcik bujang sampai sudah beranak pinak, pakcik kekal di sini. Pakcik sudah selesa di sini menyajikan barangan dan makanan untuk pengguna-pengguna bas dan tidak terfikir untuk ke tempat lain," kata lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu.
Tangannya pantas mengupas sebiji mangga, pengalaman tiga dekad berniaga terpapar dari gayanya.
http://www.kosmo.com.my/30092008
No comments:
Post a Comment